Monday, December 31, 2007

berhenti berharap

Aku tak percaya lagi dengan apa yang kau beri
Aku terdampar di sini tersudut menunggu mati
Aku tak percaya lagi akan guna matahari
Yang dulu mampu terangi sudut gelap hati ini

Aku berhenti berharap dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat tak ada cinta kudapat
Kenapa ada derita bila bahagia tercipta
Kenapa ada sang hitam bila putih menyenangkan

Aku pulang tanpa dendam, kuterima kekalahanku
Aku pulang tanpa dendam, kusalutkan kemenanganmu

Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukkan aku bahagia
Kau tunjukkan kau derita

Rebahkan tangguhmu, lepaskan perlahan
Kau akan mengerti semua

Friday, December 28, 2007

di simpang-simpang

Jiwa yang kacau hanya menguak keruh. Hanya hati yang bahagia mampu membahagiakan yang lain.

Wednesday, December 26, 2007

labyrinth

Adalah lebih mudah untuk meninggalkan seseorang tanpa mengucapkan selamat tinggal. Pertamanya mungkin mudah untuk kembali kelak. Keduanya mungkin untuk menutup rasa bersalah sekiranya langsung tidak kembali. Aku kira Ed telah sampai ke penghujung perjalanan cintanya dengan Eric. Labyrinth* itu diterokanya penuh ghairah, walau hakikat setiap tapak langkahnya maju menyamai 10 tapak menyentapnya ke belakang. Di penghujung pencarian itu,

"Tiada Eric di sini", kata Ed cemas dan bingung.

"Hanya aku", katanya lagi, kecewa tapi pasrah.

NOKTAH.

*labyrinth ['laeberin] kn jaringan lorong, jalan dll yg berliku-liku dan yg sukar utk dilalui tanpa pertolongan; (ki) keadaan yang kusut (DBP 1979).

Sunday, December 23, 2007

apa benar

Hidup ini umpama tertambat pada satu roda agung, yang berterusan berputar mengikut mekaniknya, naik ke atas, turun ke bawah. Kalau roda itu adalah merry-go-round, maka pandangan di bawah itu tidaklah seteruk mana. Walau tidak menjangkau awan tapi masih setara pada horizon di kaki langit. Kalau roda itu adalah kincir air, maka mungkin pandangan di bawah itu gelap, lantaran mata tertutup dan nafas tertahan kerana bimbangkan lemas terbenam.

Ke mana aku di hari-hari girang Ed?

Entah. Pasti bukan di sisinya kerana gembira dan euphoria bahagia itu bukan bersumberkan aku. Tapi aku setia, memerhatinya dari jauh. Bagai anak kecil meneroka semula hidup buat kali pertama. Seperti mengejar rama-rama? Tidak, Ed mencungap berlari, dia bukan athletic. Mungkin lebih kepada mengejar semut yang berulang-alik ke sarang busut. Ada masanya dia menghalang perjalanan soldadu semut itu dengan batu atau lubang air. Ada masanya dia mengganggu soldadu itu dengan tarikan baru, butir-butir gula pasir misalnya.

Kembaranya memenangi cinta Eric penuh keringat, tapi masih tertakluk pada syarat permainan yang diletakkan Eric - tentang Eleanor, tentang tuan tanah. Ed telah mencuba segala-galanya, menjadi sahabat, menjadi isteri, di tempat kerja bahkan di rumah. Di rumah? Ya menumpang teduh sebagai orang ketiga antara mereka. Kisah cinta itu bukan Ed, Eric and 143 lagi. Bukan juga Ed, Eric, Eleanor and 143. Tapi Eric, Eleanor, 143 and Ed!

Apa dia benar girang?

Entah. Jernih mata dan tulus senyumnya membenarkan apa yang cuba dia gambarkan pada aku. Tapi Ed terlalu kukenal dengan kelicikannya membohongi hati. Akalnya tak boleh dipercayai, sering cuba menjadi Tuhan dengan mengadili dan menghakimi hakikat hatinya yang tak berdaya dan tanpa upaya.

"Ini masa bersedih!" titah akal. Maka meraung-raunglah hati itu meratapi nasibnya yang hidup sengsara tanpa Eric dan perlindungan cintanya.

"Ini masa pegi jahanam!" titah akal pada masa yang lain pula. Maka menyumpah-nyumpahlah hati itu memaki nasibnya yang hidup lelah dan lemah masih menunggukan Eric dan perlindungan cintanya.

Apa mungkin aku benci pada kegirangan itu?

Entah. Mungkin aku gusar. Mungkin sebenarnya aku cemburu bila sedikit sebanyak biasnya telah mula menjauhi aku.

Wednesday, December 12, 2007

kononnya

aku adalah endoparasit
yang menikmati hidup dari dalam tubuhmu
memamah hati
mengunyah jiwa
menghirup semangat
membutuhkan kewujudan sendiri
demi carik-carik cinta (kononnya!)
yang aku kutip dan satukan (kononnya!)
sedia untuk aku dambakan (kononnya!)

aku sujud di kakimu,
kasihanilah aku!
aku perempuan malang (kononnya!)
yang berhati lara (kononnya!)
tanpa perlindungan cinta (kononnya!)
hanya punya kau di segenap alir darah dan hembus nafasku (kononnya!)

dasar parasit!
dasar pelacur!
dasar pengemis!

tak henti meminta
tapi tak pernah memberi...

disember 2007

Tuesday, December 4, 2007

cukup

"Cukup! Berhenti lukiskan warna-warna hitam kelabu, suram hatiku! Hanya palitkan warna-warna merah cinta dan kuning harapan! Ke mana kau pada hari-hari girang aku?"

Aku tertampar.

Monday, December 3, 2007

tersumpah

Ed, kita anak jalanan. Kita meneroka dunia dari intai tepian jalan, bawah jambatan, dalam semak belukar. Kita comot, berdaki dan berpanau. Kita suka kesat mulut di lengan baju, walau Ayah Cu selalu cakap nanti besar jadi pengemis! Arwah Ayah Cu, masin mulutnya kita besar menjadi pengemis. Kau mengemis cinta Eric sedang aku mengemis cinta kau.

Ed, kita membesar mengikut hati dan langkah kaki. Lepas bebas. Arwah abah kau selalu pesan, anak perempuan mesti belajar setinggi mungkin! Kalaulah dia hidup untuk melihat betapa kau mengasah akalmu setinggi kayangan, sedang kau juga melacurkan hatimu sehina lembah hitam... Kebebasan yang sebenar bukan terletak pada destinasi untuk kita pergi, tapi di ruang mana yang kita pilih untuk diami.

Semua simbolik yang kau bina dengan Eric... 143 itu, persahabatan itu, ikatan darah dan akad itu, pupuk di punggung itu hinggalah sekecil-kecil urusan memotong kuku itu kesemuanya telah diterjemah dan dibentukkan secantiknya pada Eleanor. Eric telah maju tapi kau masih tersudut di sini.

Kau tersumpah, Ed! Umpama anjing jalanan yang saban hari mencuba nasibmu di pintu dapur tuanan yang menggalang hatimu! Kau mengharap ehsan pada sisa makanan dan kasih sayang. Ada hari bahagian kau dilempar, ada hari yang tidak bersisa, ada hari hati kau diterajang sebelum perut kau terisi. Andai satu hari tuanan itu menjemput kau masuk, sama ada kau menurut atau tidak bukan persoalannya. Soalnya, bukankah ada kemungkinan kau akan dilempar keluar dan kembali menunggu sisamu pada salah satu hari malangmu akan datang? Dan sungguh, nasibmu terbukti malang.

Berhentilah menyeru cintanya dalam hampa dunia ini. Medan ini bukan medan juangmu. Cinta itu terlalu utopia untuk kau. Permukiman mahligai itu umpama mimpi, yang perlu kau harung sejuta tidur dan sedar, berkali-kali, bermalam-malam, berhari-hari!

Dan masih... demi kau, aku pasakkan hati karatku dalam ketar tangan bersembunyi di balik jubah darwis ini. Akalku sujud menghamparkan hijab mataku.

Jahanamkan semua! Pengemis ini, pelacur ini adalah cinta hati aku! Bulat! Tanpa ragu!