Tuesday, July 29, 2008

rasa aku, pada cinta

Ed, ke mari kau. Labuhkan kepalamu dipangku aku. Akan kuceritakan rasa aku pada cinta.

Aku rasa cinta itu adalah suatu zat yang hidup. Zat tanpa jisim ini membesar saban saat, setiap hati hinggalah suatu ketika, kita tersedar bahawa cinta itu telah membesar keterlaluan, obes, sehinggakan tiada ruang untuk kita menikmati sepi sendirian.

Yang demikian, oleh kerana setelah kelahirannya cinta itu membesar, menjadi remaja, belia, dan dewasa, maka matinya cinta itu pastilah memakan masa juga. Kita tidak bangkit dari tidur dan membuat keputusan untuk berhenti mencintai.

Lantas, kalau cinta itu mengambil masa untuk mati, mengapa harus kita berhenti mencintai, bukankah kekecewaan yang terkesan itu menjahanamkan rohani dan jasmani seberapa lama juga? Mengapa wujudkan duka andai boleh kita gantikan dengan ingatan bahagia?

"Aku tak rasa wujudnya cinta. Hanya ketertarikan. Oleh itu, apabila daya tarikan pada seseorang itu mati, maka hubungan itu bakal mati juga."

Kau yang meletakkan harga cinta pada ketertarikan, bukan kebahagiaan. Maka itu, kau juga sebenarnya tak pernah jatuh cinta.

Monday, July 28, 2008

kalimah cinta

Simpan diriku terseksa
Nak kuluahkan kugentar
Kekurangan kuterbongkar

Sisimu umpama syurga
Peluang emas kujamah
Bahagia yang kucari
Awal dulu

Aku
Insan yang terdampar
Yang tinggal menagih cinta

Terang dan terlindung
Dimana tempat nak kusinggah
Mengesanmu pasangan ditakdirkan

Kurempuh azab sengsara
Tak kisah asal bersua
Kau kasih penyeri jiwa
Pendorong kuhadapi hidup

Kau kasih isyarat jiwa
Kumeniti jalan yang lurus
Kau kasih isyarat jiwa
Pendorong kuhadapi hidup

Mengenal erti cinta
Mengenal cinta tulus

Sunday, July 20, 2008

layang-layang di langit

Di rembang petang kelmarin aku bawa Ed bermain layang-layang di padang Kepong. Walau hujan renyai, aku keberatan untuk berpatah balik lantaran angin kuat. Dalam manjanya dia meminta layang-layang ikan duyung.

Duyung tak ada. Dugong mahu?

"Tahukah kamu, nama dugong itu asalnya daripada bahasa Tagalog yang sebenarnya dipinjam dari nama duyung Bahasa Melayu?"

Aku pura-pura tuli sambil mengikat benang ke tulang belakang layang-layang. Tak kuasa membetah orang yang pandai berhujah. Kemudian, bermulalah episod aku melayangkan duyung ke dada langit. Kukilas gelagat Ed berlari-lari anak mengejar layang-layang dalam tawanya yang manis. Ya, manis sekali.

Hati aku bernyanyi antara gamang dan ragu,

Ajari aku untuk jadi pejantan tangguh
Mungkin terlalu lama aku telah bersembunyi
Menatap matahari pun aku tak mampu
Udara malam pun terlalu menusuk langkahku

Pejantan tangguh! Yeah!

Saturday, July 19, 2008

lahirnya cinta

Hari ini adalah hari lahirnya cinta. Apa mungkin cinta akan lupa pada raudhahnya?

Wednesday, July 16, 2008

bulat air kerana pembetung

Hujan.

Tak pernah aku menulis dalam hujan. Yang mesra hujan itu adalah Ed. Hujan membuai sunyi, katanya. Dalam sunyi, rintik air memenuhkan jiwa dengan zat-zat tanpa jisim. Hanya roh.

"Water is incompressible fluids."

Menurut fizik, hukum air itu tidak seperti udara kerana air tidak termampat. Jisim itu andai melebihi ruang, akan melimpah. Maka andai sifatnya melimpah, bukankah bermaksud ia mengkehendaki ruang yang besar agar tidak mengizinkan pembaziran?

Apa cinta itu seperti air?
Sentiasa berkehendakkan ruang untuk diisi?

"Tapi ruang yang dituntut itu subjektif! Bukankah itu membayangkan cinta yang tidak tetap bentuk dan pasaknya lantaran sentiasa bergantungan dengan dimensi ruang?"

Diskusi bodoh. Sendiri.

Tuesday, July 15, 2008

mencintai kamu

Aku mencintai kau separuh mati, andai kau pergi maka matilah aku seluruhnya. Andai rohku masih mendiami jasad, maka yang mati itu adalah cinta dan keupayaanku mencintai yang lain.

Aku juga mencintai kau separuh hidup, andai kau pergi maka cacatlah aku sebahagiannya. Andai rohku meninggalkan jasad, maka yang hidup itu hanyalah kenangan dan ingatanku mencintaimu, tiada yang lain.

Tuesday, July 8, 2008

tentang perempuan

Perempuan-perempuan zaman sekarang tidak perlukan lelaki gagah yang mampu menumbangkan sepokok balak.

Monday, July 7, 2008

bermaskara dengan dia

Malam minggu lepas aku melarikan Ed untuk kubawa bermaskara. Pertama kali berdua-duaan pada malam baca naskhah Sindiket Sol-jah. Menjawab komenku mengatakan dia nampak penat, Ed berbisik ke telingaku. Katanya, "Orang perempuan ini ibarat lilin. Harus berkorban membakar diri demi kebahagiaan orang lain."

Kata aku, "Bodoh! Sebagaimana sifat lilin yang tidak dapat membentuk ke asal setelah mencair, begitulah juga sifat orang perempuan ini tidak tetap pendirian!"

Ed ketawa, kemudian melarikan diri mendapatkan Sinaganaga. Mungkin bulan depan Ed akan baca naskhah.

Friday, July 4, 2008

antara dua tengah tiga

Ed, kalau kau masih menutup pintu hatimu, maka berpalinglah kau sekarang sebelum kau mengkhianati satu lagi jiwa yang tulus mencintaimu.

Kerana semangatnya untuk hidup sedang tergantung pada neraca ehsanmu.

Dua minggu lepas Zin diserang sakit jantung. Berserobok maut pada usia seawal 31 tahun. Zin ini sahabatku yang terakrab, sebagaimana Andong pada Ed, sebagaimana Eric pada Ed. Bagaimana mungkin boleh aku ceritakan kisah lampaunya, bukankah tiap seorang dari kita menyimpan cerita duka sepahit-pahitnya?

Gusar.

"Wahai Tuhan, ampunilah segala kemungkaran dan kejahilan kami, tapi janganlah Kau uji kami antara hidup dan mati."

Reaksi Ed tak dapat kubaca. Mainan fikirannya tak dapat kutebak. Dia menunggukan Zin penuh sabar, merapikan penuh kasih. Apa ini ehsan? Atas dasar kemanusiaan?

Ed, andai hatimu membenarkan, maka hentikanlah keprihatinanmu itu sekarang. Mengapa masih terbiasa memberi harapan, mengapa masih tegar membias anggapan kalau hati tidak benar-benar bersedia untuk menanggung cintanya?

Kerana korban cintamu kali ini bukan lagi kami, tapi mereka.