Friday, September 26, 2008

mengharap rahmatnya

Semalam kami kemalangan. Menyelit-nyelit di celah trafik Jalan TAR, dalam sesak tengahari buta sambil memboncengkan Ed sememangnya sesuatu yang amat mencabar. Dia bukan pembonceng yang mesra penunggang, yang memahami mengapa si pembonceng harus selalu mengikuti irama tubuh si penunggang agar motor tetap stabil, keseimbangan terjaga, dan tidak mengganggu konsentrasi berkendara.

Walau dalam tempang terhincut-hincut dan basah mulutnya mencarut, aku tetap akan bawa Ed pulang ke kampung dengan motor posmen Honda Wave warna kuning itu. Kali terakhir pulang beraya bersama berboncengan adalah 8 tahun lepas!

Maafkan aku dewi, aku hanya punya cinta, bukan harta.

Bukankah Ramadhan mengingatkan kita kepada kesusahan, mengajar kita erti kesabaran dan matlamatnya menjadi insan bertaqwa? Selamat menyambut malam-malam terakhir Ramadhan dengan zikir munajat dan solat. Kala terbitnya fajar yang memancar di ufuk Timur memeluk Syawal, selamatlah juga menyambut rahmat Aidilfitri. Maaf untuk segala gurau senda terlampau yang menyinggung dan menyentuh perasaan.

Maafkan aku semua, aku hanya punya cinta, bukan harta, dan yang terlebih banyak itu hanyalah dosa.

Monday, September 22, 2008

bukan satu kehinaan

"Hina besi kerana karat,
hina telaga kerana kontang,
hina kucing kerana kurap,
hina aku kerana melarat," kata Ed.

Ingat pesan orang tua: Pantang kutu dicukur, pantang manusia dihinakan.

Maksudnya, kalau bercakap-cakap itu haruslah berhemat dan cermat, jangan sampai melukai hati orang lain. Tiap manusia itu pasti ada harga diri.

Thursday, September 18, 2008

sedang dalam kegeringan

Relaku menunggumu
Seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup
Aku kan selama ini

Aku bermusafir ke selatan menjejak Ed. Bondanya mengkhabarkan geringnya, semenjak dia pulang dari satu konferensi di pantai timur dua bulan yang lepas. Terbaru, urinnya berdarah, buku lali dan kakinya mula membengkak. Betapa rusuhnya hati, bila di cuping telingaku terngiang-ngiang kata-kata yang terbit dalam tawanya,

"Art, hanya satu daripada bahagian tubuh ini akan berpaling tadah padaku. Bahagian itu adalah ginjal, membalas dendam atas penganiayaanku padanya!"

Usah gusar dewi, aku mencumbui hati sendiri. Bukankah buah pinggangku sepasang?

Biar berputar ke arah selatan
Ku tak putus harapan
Sedia setia

Sesalku membuak-buak kerana tidak peka pada perubahan fizikalnya. Sememangnya dia kerap memberitakan pening dan loya, serta ruam gatal-gatal yang tak berkesudahan. Sekerap itu juga dia mengadukan rasa pahit dan payau dalam mulut umpama mengulum besi. Fikiranku ligat mengimbau remaja dan dewasanya, dan terhenti pada kata-katanya, masih juga dalam tawa,

"Art, painkiller ini untuk tubuhku, antidepressant ini untuk emosiku, dan recreational drugs yang lain-lain ini untuk mentalku."

Escapism jahanam! Aku menekan pedal minyak, menambah halaju.

Relaku mengejarmu
Seribu batu jauh lagi
Tapi benarkah kakiku
Kan tahan sepanjang jalan ini

Tunjakan pedal minyakku tidak konsisten, sama seperti fikiranku yang tidak keruan. Seketika aku memandu perlahan, membulatkan tekadku untuk membisikkan cinta buatnya, dalam warkah tanpa tinta, dalam lukisan tanpa warna.

Seketika yang lain pula aku memandu laju. Aku amat merindukan rona mata coklatnya dan rambut separas bahu yang bersanggulkan bunga mawar plastik warna merah jambu, menggantikan bunga matahari setahun lepas.

Nantikan aku dewi, akan kupersembahkan cinta buatmu. Hanya buatmu!

Biar membisu burung bersiulan
Terlelah gelombang lautan
Ku masih setia

Aku bersungguh mengejarnya, sebagaimana sungguhnya dia mengejar Eric suatu ketika dulu dan sebagaimana sungguhnya Eric mengejar Eleanor selamanya itu.

"Art, yang akan memisahkan kita adalah kita. Tak mungkin selainnya."

Thursday, September 11, 2008

cinta dan indera

"Mengapa dipersembahkan dirinya pada mata-mata yang hanya mampu melihat hitam atau putih sahaja? Andai pengertian cinta padanya adalah warna, maka hati itu seharusnya diwarnai dengan corak seindah pelangi, agar pengertian cintanya itu dapat disampaikan kepada insan yang tidak hanya melihat warna-warna itu sebagai contengan semata-mata!"

Aku tersedak candu bila asap curut Sweet Vanilla yang kukemam tersedut ke tekak. Celaka Zin! Betapa puitis?

Warna-warna hatinya cemerlang! Hanya kau yang rabun warna! Lemah membedakan tona, apa merah atau hijau atau apa biru atau kuning!

Usai terawikh malam semalam Zin dan aku ke Bukit Langat. Kami bersahur curut murah 7-Eleven, melayankan perasaan sendiri-sendiri. Terlalu sunyi bila hampir tiga minggu Ed menyendiri. Lewat pertemuan akhir itu dia memaki kami, bahawasanya Zin itu terlalu keras sedang aku pula terlalu lembut baginya.

Entah.

Ekspresi perasaanku bisu, hanya di kertas dan kanvas. Aku tak mampu membuai hatinya dengan lagu. Puisi-puisiku juga buta, hanya melihat dirinya yang bercahaya.

"Art, Jangan sekali kau dewakan indera dalam mencari cinta!"

Tuesday, September 9, 2008

sehalus urat daun

aku berselindung
di balik urat daun ini
mengintai rekah
tanah yang menghimpit

ampun Tuhan!
jangan patah-riukkan tulang-belulangku!
aku kembali padaMu!

9 ramadhan 1429

Monday, September 8, 2008

sekecil butir pasir

aku bersembunyi
di balik butir pasir ini
mencuri pandang petir
yang membelah kaki langit

ampun Tuhan!
jangan panah aku!
aku bertaubat padaMu!

8 ramadhan 1429

Thursday, September 4, 2008

bukan bulan, tapi lampu jalan



Aku ini hanyalah di kalangan makhluk Tuhan yang bukan mortal sifatnya. Hakikat kewujudanku hanya sebahagian-sebahagian sahaja. Sebahagiannya itu jasmani dan sebahagian lagi rohani.

Nyawaku hanya satu, tidak diperbaharui pada setiap tujuh kelahiran. Jiwaku itulah roh, tak terkekang jasad dan abadi sifatnya. Jiwa hanya mati apabila terpisah dengan Pencipta, bukan cinta...

Ramadhan kembali lagi, melumati aku dengan kenangan setahun lepas!