Wednesday, March 26, 2008

doktor aku

Petang semalam aku meneman Ed menghadapi viva-vocenya. Peluh jantan merecik-recik, dalam aku mundar mandir ke hulu ke hilir umpama menunggukan bini beranak sulong!

Hahahahaha, alhamdullillah.

Tahniah, Dr. Ed.

---
Programme: Doctor of Philosophy
Field of Study: Artificial Intelligence
Area of Specialization: Computational Linguistics

Tuesday, March 25, 2008

Monday, March 24, 2008

juga ikrab aku

Cintaku tak berdusta, tak mengenal ingkar, tak kenal nestapa.
Cintaku hanya indah, hanya bahagia, untuk selamanya.

Urusan dunia. Sebagaimana mudah kita memutuskan sesuatu hubungan, begitu jugalah mudahnya kita menjalin sesuatu hubungan yang lain. Aku telah datangkan kepada Ed seorang ikrab baru untuk menguatkan ukhwah yang mekar.

Ed, perkenalkan, Zin.

Friday, March 21, 2008

pari-pari cinta aku

Malam semalam malam Jumaat, bulan mengambang penuh. Ed meminta aku menemannya ke masjid sempena 12 Rabiul Awal. Hati aku berbunga-bunga, gembira, riang. Ekstatik! Sewaktu zikir dan tazkirah, aku mencuri-curi memandang ke belakang, satu saat, dua saat, tiga saat. Hati aku penuh tanggungjawab mengingatkan bahawa dewi cintaku berada di balik tabir itu.

Pulang dari masjid, kami singgah di taman permainan, nak main buai katanya. Aku ikutkan. Maka berayun-ayunlah dia dalam kelumbun telekung yang putih semacam langsuir. Ed sedang menumpang di rumah aku pula dalam pelarian sementaranya dari tuan tanah. Aku berdoa agar aku berupaya memberikan hak pada wanita ini dan menjaganya sebagai amanah.

"Blv djoub lbnv!"

Hah? Blowjob?

"Aku cinta kamu, bongok!"

Hahaha. Pari-pari (kalau bukan langsuir) cinta sudah datang mempermainkan aku!

Tuesday, March 18, 2008

aku bukan tuan tanah

Aku masih dalam keberhutangan yang parah dengan Ed. Meski blog ini hanya fardhu kifayah ke atasku (lantaran ia bukan blog aku), tapi yang terfardhu itu adalah kebenaran tentang Ed. Tentang beban dunia yang terhukum ke atas pundaknya. Tentang maruahnya sepaling dalam. Juga tentang kita, hamba-hamba Tuhan selainnya yang pantas menimbangkan dosa pahala bagi pihak Raqib dan Atid. Juga yang terpenting adalah tentang tuan tanah.

Tuan tanah yang membelinya dengan harga 20 ribu itu.

Sedari dulu Ed begitu memuja tuan tanah. Berkerasan mengatakan bahawa tuannya itu sentiasa berupaya menghubungkan dirinya sendiri dengannya. Bahawa tuannya itu selalu membuatkan dirinya terharu, seolah-olah ada insan lain dalam dunia ini yang begitu memahami apa yang dirasanya, yang begitu sama takdir dengan dirinya. Khabarnya tuannya itu juga membesar dalam keyatiman dan dhaif sepertinya. Pegi mampus!

Tuan tanah itu sangat pandai mirror diri sendiri dengan setiap individu yang sedang dilawannya bercakap. Yang menjengkelkan aku tentang dia adalah dia lelaki tak guna yang penuh drama dan pura-pura. Bukan! Yang lebih menjengkelkan aku adalah ketangguhannya menakluk hati Ed dengan drama dan pura-puranya!

Bila adik aku mintak kerja jadi x, spontan dia menjawab dia juga pernah mintak jadi xx.

Bila aku kata mak aku mengandungkan aku x bulan, spontan dia menjawab dia juga dikandung ibunya x+2 bulan.

Bila sepupu aku pertama kali memperkenalkan diri bekerja di bank x, spontan dia menjawab dia juga pernah ditawar bekerja di bank y.

Bila kawan aku kata suka kereta 4WD model x, spontan juga dia mengiyakan dan bercerita tentang kesukaannya pada 4WD model x^2. Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang tak kuasa nak aku ingatkan.

Ini adalah lelaki terpaling jahanam dalam hidup Ed. Lelaki yang menguis Ed dari lopak lecah yang kotor, kemudian menyucikannya dan memberinya makan sebelum menerajangnya kembali jatuh bergelumangan dalam kehinaan yang lain.

Pada satu hari Ed datang padaku dalam tangis yang kuat, menceritakan tentang lelaki misteri yang menelefon tuan tanah, mengadukan halnya. Bahawa Ed seorang perempuan sundal, jalang yang tidak layak dibuat isteri. Bahawa Ed penuh rahsia hitam, bahawa dia pernah berhubungan dengan lebih lima lelaki dalam satu masa, termasuk suami orang, majikannya, teman sekerja, bahkan saudara lelakinya sendiri. Bahawa dia pernah mengandungkan anak luar nikah dan membuang kandungan itu. Bahkan dia sendiri adalah seorang anak haram dari keturunan pelacur dan penagih dadah!

Pada masa yang lain datang pula lelaki misteri (mungkin juga orang yang sama) yang menelefon tuan tanah mengejek-ngejek dayusnya dia kerana Ed sedang bersedap-sedap dengan seorang lelaki, yang khabarnya juga suami dan ayah kepada seorang anak kecil. Suami orang ini juga kononnya sudah mula memukul-mukul isteri sahihnya, dan berkira-kira untuk bercerai pula kerana terlalu bernafsukan Ed yang jalang. Bahkan Ed juga telah berhabisan melacurkan diri dan jiwa raganya untuk satu cinta terpakai!

Gila! Betapa hina dan sialnya wanita yang dibelinya itu? Yang siang bekerja mencari rezeki, menyediakan makan pakainya, melahir, mendidik dan membesarkan anak-anaknya, sedang malam memuaskan nafsunya?

Tuan tanah berterusan mengungkit-ungkit hal ini dengan menggunakan alasan orang lain asal bukan dirinya. Hingga Ed menamparnya dalam jerit,

"Pukullah aku, buanglah aku! Tapi berhenti mengingatkan aku bahawa aku perempuan yang kotor!"

Hati aku memaki tuan tanah dalam panas amarah yang membakar. Aku tak tahu sejauh mana kebenaran dalam cerita-cerita ini. Ed sangat licik menyimpan rahsia, dan aku mengerti ini adalah persoalan maruah yang tak perlu kutanya melainkan dia sendiri datang padaku dengan kebenaran itu. Yang aku pasti, setiap cerita, tiap tempat, tiap nama yang termaktub dalam sejarah silam Ed hanya diketahui dirinya, aku dan tuan tanah. Semuanya tidak bersilang antara satu sama lain lantas tak memungkinkan orang lain mengkhianati Ed kecuali kami.

Bodoh Ed menelanjangkan diri sendiri pada manusia yang selama ini dipujanya. Mengapa perlu kau buka rahsia dirimu pada jiwa-jiwa lain, biarpun aku?

Dalam Ed semakin dekat dengan kisah silamnya, Ed juga semakin jauh untuk kupaut dan kulindungi. Dia lari meninggalkan gelap masalah bersama tuan tanah, menuju terang harapan cinta Eric yang pada akhirnya silau terang itu juga telah membutakan matanya.

Aku menjadi takut untuk tidur kerana mimpi-mimpi aku sering tentang perjalanan yang terkandas, tentang mati. Aku tersangat takut kerana yang terkandas, yang mati itu bukan aku tapi dirinya!

Wednesday, March 12, 2008

esok dan aku

Dia suruh kita pegi mampus, dan ya, secara harfiahnya, pegi mampus!
- Opera Angkasa (Nazri MA, 2007)

Five Stages of death: Denial, anger, bargaining, depression, acceptance.
- On Death and Dying (Elisabeth Kubler-Ross, 1969)

Telahanku tepat. Kesepian itu tidak sekali membunuh Ed malah telah mengangkatnya ke satu perantaraan baru. Kesepian itu juga telah mengisikan jiwanya dengan makanan-makanan rohani yang aku sendiri kurang pasti sumbernya. Aku kira anti-depressant itu telah mengematukan parut luka selain mengebaskan hati.

Kedukaan ini adalah kifarah atas dosa-dosa aku yang banyak, sedang aku tak punya amal soleh untuk menebusnya.
- Menjalani kehidupan hampa, menghampiri mati (Ed, sekarang)

Esok.

Ya! Esok adalah harinya aku berteleku tentang tuan tanah. Mengapa esok bukan hari ini? Kerana hari ini Ed telah usai mempertahankan cintanya pada Eric!

Sunday, March 9, 2008

aku dan powerpuff girls

Bubbles: I need to find Octi.

Blossom: You don’t need it. You want it ’cause you’re insecure. And as soon as you get over that, you won’t think you need it anymore. All you need to do— is grow up!

Powerpuff Girls, Episod 5-5-2, Octi Gone. Hmm. Benarlah taufiq dan hidayah itu datang dalam pelbagai bentuk. Aku dan Ed ketawa mengekek-ngekek, mengikil-ngikil.

Untuk Ed (perihal Eric): "You don't need him. You want him 'cause you're insecure! And as soon as you get over that, you won't think you need him anymore."

Juga untuk aku (perihal Ed): "You don't need her, you want her. And you want her because you are insecure! As soon as you get over that, you won't think you need her anymore."

Ya! All we need to do is grow up!

Sunday, March 2, 2008

aku, maskara dan buku

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Kuingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Malam baca naskhah Sindiket Sol-jah dengan kawan-kawan yang mereka suka dibuka dengan lagu Permata untuk Isteri (Kopratasa, 1996). Aku masih meninggalkan Ed kala aku bermaskara. Tapi lagu ini, celaka lagu ini membawa hati aku kembali padanya. Aku sering pergi ke mana-mana yang aku suka, tapi hakikatnya aku juga tidak diperlukan di mana-mana kecuali di sisinya. Khalifah syurga Ed, konon! Bagaimana boleh aku memimpin dia ke syurga sedang di dunia pun aku tidak pantas mengisi hatinya.

Tapi sekurang-kurangnya aku berusaha mengisi ilmunya walau sepanjang tahun ini permintaan buku-bukunya selalu mencurigakan. Terbaru adalah kitab Manzil tentang perlindungan daripada makhluk halus, jin, sihir dan sebagainya. Terdahulu adalah kitab Al-Muta'al Badrin, kitab ejaan jawi lama yang mengeja bumi sebagai ba-wau-mim (bom?), dan Srengenge karya lama Shahnon Ahmad tahun 70-an.

Permintaannya yang masih belum mampu kutunaikan adalah Man and Boy karya Tony Parsons. Aku masih rasa curiga kerana novel ini mengupas tentang dilema mengapa kita jatuh cinta dan berumahtangga, juga mengapa kita masih bersama atau berpisah haluan. Atas rasa curiga itu, aku gantikan buku ini dengan Opera Angkasa yang kubeli pada malam Maskara. Siap tandatangan Vovin si penulis, menari di gigi awan katanya.

Kau sering lelah mengejar pelangi, Ed. Persetankan kedukaan, menarilah kau di gigi awan!