Friday, November 28, 2008

segitiga cinta

Segitiga itu punya tiga sisi. Aku lakarkan atas satah dua dimensi.

Fikir aku, segitiga ini cengkerangnya teritip, yang menderhakai badai, setia pada batunya. Fikir aku, segitiga ini layarnya kapal, yang menerajang angin, cekal dengan kemudinya. Fikir aku, segitiga ini paruhnya belatuk, yang memahat pokok, asyik dalam iramanya. Fikir aku, segitiga ini sayapnya rerama, yang membelah langit, rindu akan krisalisnya.

Tetapi, segitiga itu membantah tak setuju. Lakaran aku jelik, dengan mudahnya segitiga itu menjadi jemu. Fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!

Bukan masalah, bisik aku lagi. Dan segera aku ansurkan segitiga itu menjadi segi yang lain. Segi itu kini punya empat sisi.

Tapi segi itu segera buntu. Lagi dan lagi, dengan mudahnya segi itu menjadi jemu. Lagi dan lagi, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!

Aku terus-terusan mengansurkan segi itu merubah bentuk, kutambah satu lagi sisi dan kuperbesar satu lagi sudut. Asal segi yang aku namakan dirinya trigon, kemudian aku namakan tetragon, kemudian pentagon, kelak heksagon, heptagon, oktagon, nonagon, dekagon, hendekagon, dodekagon, tridekagon, tetradekagon, pentadekagon. Masih dan masih, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!

Pada akhirnya, segi itu menjadi lelah. Kini segi itu menghampiri bulat, teroleng-oleng dan tak mampu mengimbangi diri. Fikirnya, bulat itu bukan satu poligon, sisinya melengkung dan tidak lurus bersegi. Jeritnya lagi, dia mahu kembali punyai tiga sisi!

Usahlah resah. Pujuk aku, kembali sajalah punyai tiga sisi. Demikian aku lakarkan, atas satah dua dimensi.

Fikir aku terakhir kali, segitiga inilah cintanya aku. Padanya. Dan cintanya dia. Pada yang lainnya.