Wednesday, January 28, 2009

zahirkan cinta

Wahai Tuhan,

Sampaikanlah kecintaan aku, kasih sayang aku, kerinduan aku, buat dewi cinta hati aku pada hari kelahirannya ini.

(Dan aku mohon perkenankan, segala doa-doa aku, buatnya, tentangnya...)

Selamat hari lahir, untuk Ed.

Wednesday, January 21, 2009

mr potato cinta sagwa



Aku renung muka aku di cermin. Aku rasa nak terajang muka yang aku nampak. Aku hipokrit, kata Ed jengkel. Dan aku juga pengecut, bentaknya jemu.

"Kau mencanai cinta buat aku sedang cinta yang sama itu juga kau tebar mengisi kerandut-kerandut jasadiah yang lain!"

Walau telah aku batakan tiap gawang yang memboloskan dia ke tangan Eric dan walau telah aku kambuskan tiap palung agar tak terkesan lopak kenangannya bersama Zin, katanya aku jugalah barua yang mendalangi tiap-tiap hubungan itu.

Ya, aku adalah Mr. Potato Head yang mudah dikopak-kopak dan dipasangkan telinga ke matanya, atau langsung disumbatkan hidung ke mulutnya.

Tapi kau, dewi, bukan Mrs. Potato Head! Kau buatku adalah Sagwa, the Chinese Siamese Cat!

Monday, January 19, 2009

(cinta) sampai syurga

Klisé, kata Ed. Ya, aku tahu.

Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu
Dan diriku untuk kamu
Belum pernah kumerasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu

Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
Hanya satu
Hanya kamu

Ku membiarkan hatiku
Untuk merinduimu
Ku menghamparkan sakitku
Untuk tatapan kamu

Bersamamu harapanku
Hilang dalam terang yang membutakanku

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu

Dan segala yang ku ada
Ku berikan semua
Untuk dirimu saja

Ku mahu dirimu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta darimu
Agar ku sempurna

Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu
Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
Hanya satu

Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu

Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu

Dan dia tanyakan aku. Ikrar setia dan sumpah aku buatnya.

Doa itu telah sebati dalam diri, dewi. Aku mohon menjadi khalifah syurgamu akan datang. Taati Tuhanmu, dan sedia aku galangkan roh dan jiwa, agar kau dapat kubekalkan satu tiket sehala ke syurga.

Kemudian itu, aku mohon kau kasihi aku sesederhananya, selayaknya, atas segala cela yang aku ada.

Friday, January 16, 2009

meronai cinta ke dadanya

Berus yang basah.
Kanvas yang kosong.

Apabila warna-warna bertelagah, tidak sepakat mengindahkan, maka mereka saling menindas, saling memperkuda-kudakan. Melukis lewat ini tidak lagi memberi makna, tidak lagi meninggalkan bekas. Kerana lukisan itu hanya tentang dia, dan dia telah berhenti memberi makna.

"Keghairahan cinta ada batasnya, usah keterlaluan. Kelak kau menjadi semut, mati kerana gula!"

Berus yang basah mula mengering.
Kanvas masih kosong.

Thursday, January 15, 2009

dinamika cinta

"Hidup ini tidak statik," kata Ed. Kemudiannya mencangkung di sisi aku sambil menghulur nasi bungkus. Kami ke tapak lama keretapi di Tanjung Emas, hujung dua minggu lepas.

Beriani gam kambing? Bukankah kau vegetarian?

"Seperti menstruasi, aku non-vegan bulanan! Tiap menjelang maskara aku akan merdeka."

Maskara yang itu. Ah, dewi ini juga sudah piawai bermaskara yang lagi satu. Piawai merias sebetulnya, dari kening jatuh ke kuku. Tas tangan tiap berpergian itu pastinya akan sedondon dengan sepatu. Langkahnya rapi, melenggok-lenggok manis, tidak lagi terenjut-enjut bahu. Hanya yang lestari itu adalah resminya merokok sambil memandu laju, sambil juga memaki hamun pengendara lain konon membuktikan betapa Melayunya dia.

"Ed memang gila dan tak guna." Andong.

Ed ini sangat ekstrem dalam membuat perubahan. Berterusan mencabar dirinya. Berlarutan menukar topengnya. Perubahan itu adalah suatu kemestian yang tanpanya, hidup dicemuhnya statik lantas tidak bermakna. Barangkali tempatnya itu lebih cocok di atas pentas, tapi bagaimana kerana dia tidak melakonkan watak selain dirinya?

Titik tumpu keghairahannya itu adalah menghidupkan watak-watak baru dalam diri, andai suri maka suri, andai ibu maka ibu, andai kekasih maka kekasih. Dan itulah yang paling menakutkan aku. Kerana pada tiap watak itu, dijiwai sesempurnanya, hinggakan keterlaluan hati aku mengeluh dan berbisik (lagi dan lagi),

kalaulah, kalaulah... kalaulah itu dirinya yang asli...

"Hidup adalah perjuangan terus-menerus untuk mandiri," kata Ed. Kemudiannya berdiri sambil membaling bungkus nasi ke dalam parit. Kami ke tapak lama keretapi di Tanjung Emas, hujung dua minggu lepas.

Wednesday, January 7, 2009

mendatangi diri

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku cumbui ulas bibirmu
apa kau merasakan basah
kelat darah menggenangi rongga
sedang aku menyentak lidah
kemudian aku belenggukan lehermu
dengan lidah itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku mesrai jinjang lehermu
apa kau merasakan dingin
nafas yang kaku dan membeku
sedang aku mengabung rengkung
kemudian aku gentaskan liang nafasmu
dari rengkung itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku hangati lurah dadamu
apa kau merasakan renyut
kejur jemari yang membentak keras
sedang aku mengerik rusuk
kemudian aku temukan belikatmu
dengan rusuk itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku rengkuhi empuk pinggulmu
apa kau merasakan pegal
nyeri otot saling mengilas
sedang aku membaji ari-ari
kemudian aku renggutkan rahimmu
bolos ari-ari itu

apa pernah sekalikah jasad kau mengendahkan
suara-suara aneh rohmu mengerang
kala ia dilurutkan telanjang
tiap kali iman kau
diperkosakan lantang

Friday, January 2, 2009

di bawah telapakan cinta

Perempuan itu umpama kasut. Meramas kaki lembut.
Tapi sekali gigit, harus melecet!

Thursday, January 1, 2009

memacu cinta tak bertuan

Kami berdahulu-dahuluan. Meraikan malam Tahun Baru. Di Ulu Yam. Dan Ed. Seperti selalu-selalu. Menekan minyak. Menambah halaju. Di lebuh dan selekoh. Bertemankan. Sunyi jiwa yang tempang. Bertemankan. Suram hati yang kosong dan lompang.

"Manusia itu mengurang halaju tiap kali di selekoh bukan kerana mereka takut mati. Tetapi kerana indera telinga dalam mereka tidak seimbang!" tegasnya.

"Hati. Andai geruh maka luka. Andai ajal maka mati," bisik aku. Dalam hati. Juga seperti. Selalu-selalu.