Wednesday, April 29, 2009

sedang

"Jangan desak aku, Art. Kau bukan dia!" Zin.

Tuesday, April 28, 2009

dia

Monday, April 27, 2009

pada

Tengahari semalam aku boncengkan Ed pula ke Parit Jamil. Berbelas tahun dulu, jalan kampung inilah saksinya betapa belakang badan aku lekuk dipeluk gadis, julung-julung kalinya seumur hidup aku. Waktu itu Ed masih pingitan. 16 tahun. Manja dan keras kepala. Motosikal itu juga hasil pertama titik peluh aku, bertampal sticker namanya di tangki minyak.

Hasrat aku mahu bawa Ed pulang berjumpa mak, tapi tatkala menjejak laman, aku berpatah balik. Terlalu tamak rasanya hendak berkongsi Ed dengan mak, lalu aku boncengkan dia ke bukit Mor, dan berhenti makan nasi lauk asam pedas Mak Pon di Parit Jawa. Air sedang surut, jeti dan bot-bot nelayan penuh lumpur. Turut memalit keruh pada jiwa aku.

Masih sarat hati ini mengandung cinta buatnya. Adakah gila andainya aku tuntut Zin berjanji agar mengizinkan Ed kekal di kalangan aku, hanya kerana aku bacul kehilangannya?

Seharusnya aku berterima kasih dengan Zin. Dia datang antara Ed dan aku, menatangnya bagai minyak penuh, diangkatkan kesedihannya lalu digantikan dengan kebebasan dan kepercayaan. Kemudian itu diajarkan memasak, memetik gitar, dan memandu kereta manual. Dan kemudian lagi diambilkan lesen motor, diberhentikan merokok, dan dijadikan vegetarian bulanan. Dewi itu semakin maju mencabar tiap batas keupayaannya.

Apa lagi helah yang mampu aku usahakan?

Lewat minggu-minggu yang sudah, Ed tak lekang di samping aku. Merata-rata aku dikerah menemaninya, mencari riben dan belon, kain satin, chocholate fountain, dan bubble machine. Juga single Cromok Another You. Juga rumah.

Aku hiburkan dewi itu dengan cerita-cerita sejarah. Kisah keturunan Sultan Melaka yang lari ke Johor tapi keturunan Raja Bugis yang akhirnya memerintah Johor. Juga kisah permaisuri dan para sultanah, Puteri Saadong dan Raja Perempuan Kelantan.

Terasa masih banyak lukisan yang belum aku curapkan, masih banyak pujuk rayu yang belum aku puisikan, dan masih banyak lagu-lagu dan filem-filem Perancis termasuklah sejarah revolusinya yang belum aku kongsikan dengannya.

"Art, kalau kita tak jumpa, atau apa-apa jadi pada aku sampai tigabelas haribulan nanti, kau ingat aku hari ini! Mesti!"

Semalam itu dia berbaju kurung Johor, tanah hitam berbunga coklat, kuning dan jingga. Rambutnya beralun lepas ke bahu, sama rona dengan anak matanya. Dan berselipar Jepun warna putih.

Dan kemudian itu, semalam pun berakhir.

Sunday, April 26, 2009

titik

Tiap lopak di dada bukit itu aku tahu. Tiap banir di kaki Ketapang itu juga aku tahu. Di puncak bukit Universiti itulah kelak menjadi saksinya majlis kecil dewi cinta dan akrab aku. Di bukit Universiti yang kenangannya khusus bersama aku!

Beratus keping banyaknya artblock yang aku tintakan di sisinya. Tiap satu dari lukisan itu datang dengan kod warna. Satu charcoal merah kalau dewi sedang marah, hijau kalau dewi sedang berhujah, kuning kalau dewi sedang gedi, dan biru kalau dewi sedang merayu. Aku juga tidak melakar lanskap, tapi kasut Batanya, atau butang tengkorak di jaketnya, atau gelang Jadenya. Ada juga masa-masa lain objek itu adalah lubang stokin atau cuping telinganya.

"Aku mahu mengabadikan majlis itu dari tiap sudut lensa mata kau, melalui lukisan-lukisan kau, atas kanvas kau. Bukannya lensa kamera!"

Ed memandang tepat ke dalam mata aku, redup berharap. Ah dewi, aku mengeluh dalam hati. Bagaimana boleh aku lakarkan tiap wajah bahagia di hari bertuah itu sedangkan jari-jari yang mengepit berus ini barangkali menggigil kehampaan?

Keterlaluan.

Dia yang keterlaluan membajakan cinta aku padanya hingga serimbun ara, termasuk juga rumput-rumput Israel yang melata di kakinya. Ya, rumput Israel yang kalau kau racun terus-terusan akan membunuh durian, sedang matinya hanya dua tiga bulan!

Sedangkan cinta tak berbekas, bagaimana mungkin ia berbalas?

Wednesday, April 22, 2009

yang

Duapuluh satu jam malam semalam, penuh magis dan nostalgik. Kala hujan datang, jatuh dari bintang, lencunlah kedukaan.

Duapuluh satu hari akan datang, andai hujan datang lagi, kau berteduhlah dewi. Aku tidak bersama kau lagi.

Friday, April 17, 2009

akhir

dan demi aku cintai dia bukan dia lantas aku khianati kamu bukan kamu

Thursday, April 16, 2009

dengan

Dan pernah suatu hari, dikhabarkan kepada aku. Bahawa dewi itu ibarat air, yang boleh aku bentuk ujudnya agar mentaati bekas yang aku acukan. Lalu aku leratkan dia, kadang itu dalam kelopak mawar, kadang juga dalam pelepah umbut, dan tampuk manggis, dan cangkerang siput.

Tapi dewi itu tak pernah terkekang. Terus mengalir tak terbataskan bekas. Kemudian aku tanyakan,

Mengapa dewi, mengapa?
Mengapa tidak kau diam dalam bekas aku?
Apa tiriskah?
Apa hinakah?

Dan di suatu hari yang lainnya, diajarkan ilmu alam kepada aku. Bahawa air mengalir, rupanya menyusur dari teres tinggi kepada rata.

Maka fahamlah aku. Bahawa air itu, biar membentuk mengikut acuanmu, tetap akan menyurut dan pergi. Selama satah yang menampungnya itu, mendoyong miring kejadiannya.

Monday, April 6, 2009

satu

Aku pasti dia adalah isteri aku di planet Zargus. Atau di empat kelahiran lepas.

Andai dia mati hari ini, atau esok, atau lusa, walau aku tak tahu, nescaya akan aku cari kuburnya. Kemudian itu aku akan menangis puas-puas di kepala kubur itu, dan kemudian itu akan aku ceritakan kisah pokok-pokok, kisah arkeologi, kisah misteri alam, kisah sejarah.

Dan kemudian itu aku menangis lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.

Hingga hilang kisah pokok-pokok, kisah arkeologi, kisah misteri alam, kisah sejarah.

Kisah aku.

Sunday, April 5, 2009

titik

Ego aku stress. Tapi entah kerana mengusahakan yang minimum atau yang maksimum.

Friday, April 3, 2009

penghalang

Dan di suatu hari yang lain pula, aku terlambat mengambilnya dari sekolah. Adalah menjadi kesukaan aku memboncengnya, menyusuri jalan-jalan lengang melepasi kem askar wataniah, masjid daerah, istana hinggap, pejabat tanah, jeti, jambatan, pasar basah, dan akhirnya pulang ke rumah.

Tapi malang hari itu aku terkandas di kedai bingkai gambar tempat aku bekerja. Selesai mengecat, aku bergegas berkayuh ke sekolahnya. Ed sedia menarik muka masam setibanya aku di pagar. Lebih sial lagi, oleh kerana rajuknya telah berganti marah, dia merempan-merempan di boncengan. Sedang aku tersenget-senget mengimbangi, kaki kanan dewi itu pula tersepit di roda!

Ed terjerit-jerit, menumbuk belakang aku minta berhenti. Malah aku juga turut menjerit, takut yang keterlaluan lantaran dewi itu kesakitan. Mungkin aku belum merasakan takut mengabul ijab di pernikahan, tapi aku amat pasti takut ini adalah rasa terpaling asli. Barangkali lebih menakutkan daripada berkhatan!

Aku segera rebahkan basikal di bahu jalan depan kem askar wataniah itu. Tapi kala aku keluarkan kakinya penuh nyeri, dewi itu tidak sekali menangis, hanya cabul memaki aku. Persetan, aku berlari sekuatnya menuju ke jalan besar sebelum aku kembali bawakan beca buatnya. Kali ini makinya berselikan carut, kerana aku hantarkan dia pulang dengan beca bersama basikal tersendeng di kaki.

"Macam sarkis, bodoh!"

Aku telankan tawa aku jauh-jauh ke dalam perut tapi tersedak. Dewi itu turut ketawa, membasikan ketakutan aku. Pas beca itu bergerak, aku berlari-lari anak mengekornya dari belakang.

Hingga ke rumah.
Hinggalah sekarang.

Thursday, April 2, 2009

di

Dan suatu hari itu, Ed merajuk. Kerja rumah lukisannya yang aku siapkan digumal-gumal lantas dibaling ke kepala aku. Walau nakal, dia lengit diejek. Baran. Seharian aku mengejeknya kerana dilantik menjadi pengawas di sekolah agama kami.

Natijahnya, dia mencium pipi aku sedang aku menangkap ikan di baruh. Di depan kawan-kawan. Malunya rasa ditelanjangi, diarak, dan dialun-alun. Rasa aku berbaur, ekstatik tapi juga sedar dia sekadar menganiayakan aku saja.

Dia adalah seri dewi malam aku.

Yang tak pernah dapat kuingat paras rupanya, yang sentiasa berubah gerak lakunya, yang sering meninggalkan aku tertanya-tanya.

Seri dewi malam
Tabir gerbang alam
Dikau kawanku setia
Simpankanlah rahsia janjiku dan dia

Wednesday, April 1, 2009

tengahnya

Ed itu di waktu anak-anaknya dulu hitam. Dan gemuk. Hitam kerana sering berpanas meredah paya belukar dan melecek selut di Tanjung Ketapang. Gemuk pula kerana bondanya amat suka menggaring lempeng dan merebus ubi.

Bondanya seorang balu, juga tukang jahit. Pakai aku pada masa-masa itu, walau kotor dan lusuh, tak pernah koyak. Butang baju aku juga sentiasa cukup, malah kelengkang seluar aku juga tak pernah sempat lompang seharian.

Bonda juga menjahit seluar tidur untuk kami, asal dari kain batik buat Ed, dan kain pelekat buat aku. Hinggalah sekarang. baju melayu teluk belanga aku sentiasa sedia menjelang hari raya. Kain entah jenis apa, entah warna apa. Bonda pilih mengikut seleranya.

Di kalangan saudara dan jiran-jiran kami, Edlah yang terpaling comot. Satu-satunya budak perempuan yang berpanau, di muka dan di lengan. Guraunya sejak kecil penuh muslihat, juga sangat ektrem. Tiap diejek kerana bersama aku bermain guli dan bukannya anak patung, dia memaki kembali,

"Hoi! Kalau bapak kau mati, kau ingat mak kau belikan kau anak patung?"

Ketawa.

Ah, Ed. Kau bagaikan bola getah, yang memantul bila dibalun kuat. Bukan seperti bola tanah liat yang menempel!

"Aku tak cantik, miskin pula. Kalau aku tak pandai, mahukah kau berkawan dengan aku?"

Lebih dua puluh tahun berlalu, tiada bedanya dia. Gigi depannya masih senget, urusan kewangannya jahanam, panau di badannya walau telah hilang, kini bergantikan selulit. Masih, aku menjunjungnya lebih dari seorang kawan.

Penuh cinta.
Dan taksub.