Monday, December 28, 2009

tenggelamnya kapal van der wijck II

Tetapi cinta perempuan kepada laki-laki sebaliknya dari itu. Laki-laki pada pemandangan perempuan adalah laksana dokoh emas yang tergelung di lehernya, atau gelang bertatah berlian yang melilit tangannya, perhiasan yang akan dibanggakannya kepada kawan sesama gedangnya. Seburuk-buruk kecintaannya akan lupa dia keburukan itu, kalau laki-laki lain atau perempuan lain memujinya dekat dia, mengatakan dia seorang laki-laki yang tangkas berbudi, ternama, masyhur dan lain-lain sebagainya (Hamka, 1938).

tenggelamnya kapal van der wijck I

Laki-laki bilamana telah menentukan cintanya untuk seorang perempuan, maka perempuan itu mesti jadi haknya seorang, tak boleh orang lain hendak ikut berkongsi dengan dia. Jika perempuan itu cantik, maka kecantikannya biarlah diketahui olehnya seorang. Jika suara perempuan itu nyaring, biarlah dia seorang yang mendengarnya.

Sebab itu, kalau ada orang lain yang hendak memuji kecintaannya, atau mengatakan suaranya nyaring, atau menyanjung budi baiknya, semua itu tidaklah diterima oleh laki-laki yang mencintainya tadi. Bertambah banyak orang memuji kecintaannya, bertambah timbullah cemburu dalam hatinya, sebab perempuan itu untuk dia, buat dia, tak boleh buat orang lain (Hamka, 1938).

Wednesday, December 23, 2009

bicarakan rumput di laman orang

Tanah yang sejuk dan kering
Air yang sejuk dan basah
Api yang panas dan kering
Angin yang panas dan basah

Kerana aku bukan penulis, maka catatan aku cacat galur bahasanya. Lantas takdapat aku maknai yang tersirat itu.

Sunday, December 13, 2009

bagai kiambang dilempar II

Aroma kayu perabot yang menyambut kedatangan aku mengimbau ke zaman anak-anak dulu. Masihkah kau ingat, dewi? Tiap senja kita berkejaran mencari biji getah?

Meja makan empat kerusi yang lama itu rupanya sudah patah satu kerusinya. Sekarang bergantikan meja baru berkerusi lapan. Aku perlahan melabuhkan punggung di penjuru meja itu diperuk seribu keterasingan. Mimpi-kenangan berselang-seli mengerumuni aku.

Kemudian, turun berjujuk-jujuk dari tingkat atas, anak-anak kecil dalam teriak ketawa mereka, berebutan mahu menyalami aku. Mereka melengkapi kerusi-kerusi, membaca doa tanpa kerlip menafsirkan aku, barangkali.

Betapa kuat ingat aku kala mengintai kau makan bersama-sama penghuni rumah anak-anak yatim dulu. Bezanya sekarang aku di kepala meja. Meski bukan kepala keluarga, setidak-tidaknya aku bukan di luar lagi.

Hairan bagaimana penderitaan teruna-dara cinta yang dikisahkan Bapak Hamka begitu mudah menemu ajalnya atas nama kekecewaan semata-mata. Tidak dapat aku menelan racun agar putus hubungan roh dan jasad. Tidak dapat juga aku meneguk arak agar putus antara ingatan dan harapan.

Di sisimu Ed.

Adalah terpaling hampir dengan bahagia.
Di situlah aku ingin kekal selamanya.

Wednesday, December 2, 2009

bagai kiambang dilempar I

Aku tunduk tekur di pintu pagar itu, hati penuh belah bagi. Amat kepingin aku temui Ed selepas lima bulan aku dalam pelarian. Tapi pada kala yang sama, amat canggung aku hadapi Zin yang begitu pantas menjejaki aku.

Dua minggu sebelum malam semalam Zin dan aku berbalahan, bermakian, berkasaran. Hampir saja aku terajang perutnya kalau tidak kerana buku limanya yang lebih dulu hinggap ke batang hidung aku.

"Apa lagi yang kau takutkan? Jiwa kau sebahagian dia! Sisi feminin kau melengkapi maskulinnya! Tidakkah kau tahu, itu suatu pertalian rohani yang melangkaui percintaan laki isteri?"

Hujan rintik-rintik. Laung salam aku berselang-seli dengan azan Isyak yang berkumandang. Klise. Ini adalah babak lazim buat lelaki kecewa, tipikal dalam wayang gambar Melayu.

"Art!"

Aku mendakap Zin erat, antara kasih dan terima kasih lantas berkerasan membawa aku pulang. Ed juga maju bersalam lantas mencium tangan aku.

Ah, dewi. Telah diangkat rupanya pangkatku dari seorang sahabat kepada saudara. Telapak tangan kanan aku meraup ubun-ubunnya, mengalirkan kasih sayang sejernih air mata.

Telah aku terima cinta kau sebulat-bulat platonik, dik! Menyucikan idealisme cinta-romantik-semi-erotik dalam mimpi-mimpi pandir aku berpuluh tahun lepas.

Sehinggalah semalam.