Monday, December 27, 2010

bagai si mandul mendapat anak

Ghairah menonton perlawanan bolasepak malam semalam sama bandingnya dengan malam perlawanan akhir Piala Malaysia tajaan Dunhill tahun 1991 Johor melawan Selangor, hanya kurang Ed yang dulu menconteng-conteng belang merah dan biru ke muka aku.

Juga kurang tujuh ringgit setengah untuk sekotak Dunhill yang baru!

Saturday, December 25, 2010

bayang-bayang sepanjang badan

Hening kampung ini sudahnya memberi kesan yang bukan-bukan pada aku. Aku kini bekerja secara haram di bengkel motor Peng, dengan upah kecil yang lebih bangsat dari harga buruh kasar. Airbrush painting yang biasa aku riaskan alur dan keluk Mean Streak atau tukun-tukun yang seangkatan dengannya kini telah menjadi syariat skuter-skuter mat hiphop kampung.

Bengkel motor Peng bukanlah di pekan, tapi depan rumahnya. Tanah tinggalan tuknya panjang jauh ke belakang, dan punya sela 50 kaki barangkali antara pintu jamban bengkel dengan pintu rumah. Bertuah sungguh Peng, punya tanah, punya kemahiran, punya isteri, punya anak-anak. Ya bertuah, lima orang semuanya.

Peng kawan aku sewaktu di Tabika Perpaduan Parit Keroma tahun 1982 dulu. Pada perasa(a)nnya, aku ini bisu kerana sangat kurang bercakap, lantas dialah yang tanpa semena-mena sering melantik dirinya menjadi jurucakap aku.

"Ingatkah kau budak perempuan yang kau sarungkan setokin di tadika dulu, Art?"

Ya, suatu hari ada seorang budak perempuan baru yang datang ke sekolah dalam pimpinan bondanya. Peng, aku dan sekalian yang lain sedang bersaf-saf ingin bersarapan. Bagaimana boleh aku lupa, perempuan itu yang terpaling cantik pernah aku lihat setakat umur aku waktu itu, betapa aku kagum dengan kulitnya yang seputih tauhu!

Tapi anak yang dipimpinannya jelas enggan, merentap-rentap tangan dari perempuan, meronta minta dilepaskan. Anak itu menangis tanpa henti, kemudiannya menjerit-jerit, membuang kasut dan setokin, mengocak marah di hati perempuan. Bila pujuk dan janji tak dapat meredakan, perempuan pun mencapai kayu memukul-mukul punggung dan betis anak itu semahunya.

Tak mungkin dapat aku ingat apa yang aku rasa, apa kasihankah atau hairankah? Sisi pemikir aku memang pada asasnya pengecut.

Malang oleh kerana tempat kami adalah sekolah, maka anak perempuan itu tetap ditinggalkan. Terpisat-pisat dia menyisakan tangisnya, dan kemudian dengan perlahan bersila di sebelah aku. Kami yang sedang menadah tangan untuk membaca doa makan terhenti semua, kerana dia langsung pula mencuba untuk sarungkan setokin dalam duduk silanya tanpa malu.

Itulah kali pertamanya aku, selewat usia 6 tahun melihat dekat seorang budak perempuan. Gaunnya kain kapas, petak kecil putih dan biru. Rambutnya pendek, tapi kaedah sisirnya belum pernah aku temu. Itu kerana rambut yang di hadapan dibelah tengah, tapi yang separas pusar pula disisir ke belakang, mungkin membayangkan rambutnya panjang.

Peng langsung mencari sikat di rumah dan memanggil anak perempuannya untuk digayakan rambut. Celaka Peng, aku ketawa hampir tersembam, hingga lecur betis aku melekat di ekzos.

Ah Ed, masih ingatkah kau dewi? Masa itu kau masih belum mahir menyarungkan setokin ke kaki sendiri!

Friday, December 17, 2010

dari mata turun ke hati

Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.

Wednesday, December 15, 2010

bagai air bergantung ke tebing

Tiap unsur itu pada teorinya boleh berubah kepada unsur yang lain, hanya soal diperkaya atau dikurangi zarah-zarah proton. Platinum kepada emas, misalnya, hanya takluk kepada satu proton sahaja.

Bukan! Ini bukan soal aku yang hanya takluk kepada satu orang perempuan. Atau soal cinta yang aku tugukan buat Ed, apa takluk platonik atau romantik.

Bapak Hamka mendidik aku agar mencintai sehingga mati, walau pada zaman remaja kala aku mula mengenal cinta daripada tulisan-tulisannya dulu, aku kira amat janggal bila cinta dihadirkan dengan penuh taksub dan hampir melulu.

Tafsiran cinta yang dititipkan meyakini aku bahawa cinta adalah hanya untuk satu dan satu jiwa sahaja, bukan dua atau tiganya.

Dan kemudian, saat aku dewasa, aku dikenalkan semula dengan cinta melalui tulisan-tulisan El-Syirazi. Lebih janggal bila cinta yang dibawakan sangat tertahan. Tidak wujud mendayu-dayu atau meledak-ledak, bahkan sangat dingin dalam kurungan kewarasan akal dan titah Tuhan.

Bahkan berkali-kali ditegaskan bahawa pertimbangan akal sangat perlu dalam memutuskan persoalan cinta antara lelaki dan perempuan.

Ed anak tunggal, kerana Bonda dulunya menghidap tuberkulosis dan tak diizinkan menanggung kandungan. Dan kemudian, apabila Bonda sembuh, arwah abahnya pula dijemput pulang.

Ayah aku juga sudah mati. Dulu, tiap ayah pulang dari kem, dia pasti suruhkan aku panggil Ed waktu makan tengahari. Rumahnya selang dua tanah dari rumah aku, langkau tanah Mokda Mar dan tanah Kak Che.

Tiap Ed datang, dan kalau kebetulan ayah ada, aku juga terbiasa dikerah ayah mengutip selipar Ed di dapur, kerana adalah menjadi tabiatnya masuk dari pintu belakang tapi keluar lewat anjung.

Hinggalah ke penghujung tahun 1986, Bonda berpindah ke Bentayan, dan Ed dimasukkan ke dalam rumah anak yatim. Dan kemudian, segalanya berubah.

Di penghujung tahun itulah, aku temu naskhah Di Bawah Lindungan Kaabah.

Tuesday, December 7, 2010

diratapi langau hijau

Mulai Muharam ini akan aku cari Ungku Hamidah atau Ungku Nur (aku telah lupa yang mana satu adiknya) dari Surat-surat Perempuan Johor (Faisal Tehrani, 2007).

Mungkin juga ada maslahatnya kalau dapat aku hadirkan cinta dalam makrifat yang dibingkai aturan syariat, penuh tertib dan tanpa berahi, agar kagum dan jatuh sayangnya Ungku itu kepada aku. Kemudian lagi, akan aku hadiahi Tissot Couturier di tangan kiri ini sebagai bukti sekufu.

Bodoh! Mana mungkin dapat aku hadirkan cinta dalam belai dan pujuk rayunya, romantik dan melankolik, sedang mengurus cinta untuk Tuhan juga masih cela.

Aku masih di kampung, menumpang rumah mak.

Aku pulang tanpa dendam.
Aku terima kekalahanku.

Friday, December 3, 2010

lemah liat kayu akar

"Berhenti menjadi seorang yang sederhana, Art." Pesan Intan Sakinah. Ulang-ulang kali.

Ya!

Aku tak mahu jadi sederhana lagi! Aku mahu jadi penguasa yang perkasa dan bangsawan! Yang punya gundik menyuapkan gugusan anggur sedang kami berpelukan di belakang kuda putih baka Camarillo dari Amerika!

"Tapi aku perawi cinta bukan pahlawan." Jelas aku pada diri. Ulang-ulang kali.

Kerana pada akhirnya dengan mudah aku surut mengalah dan terusir dari rumah mak. Tiada kuasa dan upaya melawan nyamuk-nyamuk itu dalam kesederhanaan.

Nyatalah satupadu itu kebal.
Dan tak terkalahkan.

Wednesday, December 1, 2010

kisah seorang biduan

Dari sebuah desa
Berbekal gitar tua
Datang ke ibukota
Dengan penuh harapan
Menjadi seorang biduan

Biduan pujaan
Pujaan tua muda
Kau ditaburi cahaya
Dan sinar kekaguman
Dan riuhnya tepukan

Meskipun kau tersenyum
Namun orang pun tahu
Apa isi hatimu
Tatkala kau lagukan
Lagumu lagu sedih
Perjalanan hidupmu
Ditinggal kekasihmu

Esok yang terkemudian aku kuyup berhujan pula mengenderai motosikal untuk pulang ke rumah mak. Aku mahu segera bertemu mak. Aku mahu tidur di pangku mak, aku mahu makan disuap mak.

Mak,

Doa-doa mak tentang kami, telah Tuhan terima sebulatnya. Hidup ini semisteri segi, mak. Tidak kiralah segi apa yang aku pilih, aku pasti akan tersungkur di kakiNya pada sisi segi itu. Aku lengit, mak. Tak pantas lagi menahankan realiti yang berlarutan mengejek-ejek, lantas Ed kini bukan Ed aku yang dulu.

Atau, akukah yang beransur-ubah, maka aku bukan aku yang dulu?

Saat kaki langit mulai merah, mak meminta aku ke rumah anak yatim PKAYIM di Tanjung, bawakan nasi ambang untuk makan malam. Lewat 15 minit, anak-anak yatim itu telah sedia menunggu dengan dulang besi yang kosong. Lekit lantai dapur itu memesrai telapak kaki dalam langkah yang aku percepatkan.

Tak pernah aku ke sini sendirian. Dulu sentiasa ada Ed di sisi. Pada akhirnya, aku umpama orang asing yang dibimbangkan ingin mencuri kebahagian.

Mak...

"Cukup, At! Berterima kasihlah pada Tuhanmu atas lara ini. Mahu apa kau dengan bahagia?"