Sunday, February 28, 2010

tiada beban batu digalas

"Aku masih bermimpi tentangnya, Art!"

Tentang apa?
Tentang siapa?

Aku tak mampu mendustakan lagi. Betapa keliru dewi cinta mengulangi aku berharapkan jawapan. Menafikan kepayahan yang ditanggungnya itu adalah umpama mencari kutu dalam ijuk, amat sukar dan sia-sia.

Di balai polis bandar kecil itu, aku menjejaknya dalam sembunyi. Kemudian daripada itu dia sendirian ke Wad Pediatrik, dan akhir sekali bertemu Mursyid di belakang masjid Universiti.

Wahai Tuhan, janganlah Kau pikulkan kepadanya apa yang tidak terdaya dia memikulnya.

Soal rumit ini telah sedia Zin rincikan kepada aku terdahulu. Telah pun kami huraikan sekecil-kecil zat, namun tiada suatu maslahat sekalipun pun yang dapat aku ikhtiarkan. Betapa sulitnya tak dapat aku bayarkan dengan harta benda, hatta aku silihkan dengan diri aku sendiri.

Jatuh air mata aku ke perut tatkala aku menghurai tulisan-tulisan di Borang MS16 Mahkamah Syariah dari tangan Zin. Yang tergenggam di tangan kiri aku adalah sesalinan Surat Perjanjian dan Jaminan kepada Polis Diraja, dengan bekas tangan Ed bertulisan jawi di ruang tandatangan yang kena tuduh.

Ini bukan soal hati lagi, dan ini bukan soal Ed seorang.

Titik akhir itu telah habis-habis diterokanya dalam diam. Hanya ghairah adrenalin dalam kembara antara titik itu yang digegasnya. Ed gila, mempertaruhkan nasibnya dan orang lain di pundak itu.

Ah dewi, kebenaran manakah yang hendak kau dustakan?

Tuesday, February 23, 2010

ya alina,

bagaimana boleh aku lepaskan sesuatu yang bukan milik aku?

Thursday, February 18, 2010

bagai betung seruas

Subuh ulangtahun kelahiran itulah yang terakhir aku bertemu dengannya. Rabu lepas Ed telefon, berkehendakkan berjumpa aku. Janji aku pagi Jumaat di stor melukis, aku mungkir seluruhnya. Malah panggilan telefonnya juga aku hampakan. Sepenuh sedar akan akibatnya pada dewi cinta hati.

Ah, Ed bukan seorang pendendam, pujuk hati aku. Ed terlalu bersangka baik, hingga sering lupa apa keterlukaan atau kehinaan yang terlempar kepadanya. Yang harus kuat itu kau dan aku, agar tidak terkesan dengan rusuh hati dan kedukaannya.

Sunday, February 14, 2010

kuat lilit kerana simpulnya

Kita, manusia, selalu ditipu perasaan sendiri. Kita sangkakan kita kuat, kita sangkakan kita tabah, kita sangkakan kita berdaya.

Dua hari sebelum ulangtahun kelahiran Ed, atuknya meninggal dunia. Ed tiba lewat senja, setelah selamat jenazah dikebumikan. Dia berkurung Johor tanah hitam berbunga biru. Selubung selendang hitamnya menyembunyikan pucat wajah yang telah lencun menangis.

Aku tak lepas memandangnya dari jauh. Sekejap-kejap aku gulungkan kitab Yasin ditangan, sekejap-kejap aku lipatkan, sekejap-kejap aku lurutkan. Bukan kepalang gering hati aku tiap melihatkan dia bersedih, seolah-olah yang kehilangan itu aku.

Ke marilah dewi, menangis puas-puas di bahu aku ini. Bukankah kedukaan kau itu seluruhnya aku?

Aku diam di bawah pokok mangga tepi rumah atuk. Di pangkal pokok mangga inilah aku mencangkung tiap tahlil. Arwah atuk telah menempuh kematian empat anak pertamanya, sebelum dia sendiri dijemput maut. Arwah abah Ed adalah yang ketiga. Yang terakhir itu arwah paklong, Dolah Celak.

Dari pangkal pokok mangga inilah, aku akan mengintainya di atas rumah. Tiap satu dari kematian itu dia akan duduk di kepala jenazah. Dulu dia adalah anak kecil yang memegang Muqaddam dan membacakan Fatihah.

Di pangkal pokok mangga itu juga, pernah aku tanyakan padanya,

Kenapa kau suka ikut aku?

"Sebab aku rasa selamat."

Waktu itu, dan tiap saat selepasnya, aku berjanji pada diri sendiri akan menjadi bayang-bayangnya. Kala panas terik dan dia melihat aku, juga kala gelap pekat walau dia melupakan aku. Akan aku ingat saat itu sampai mati, walau hakikatnya aku tak pernah mampu memberi Ed rasa itu kala dia benar-benar perlu. Apa yang aku cuma mampu, hanya memandang dari jauh.

Seperti selalu.
Sejak dulu.

Usai tahlil, aku segera pergi tanpa perlu tahu andai dia mencari aku.

Akulah manusia yang selalu ditipu perasaan sendiri. Aku sangkakan aku kuat, aku sangkakan aku tabah, aku sangkakan aku berdaya.

Wednesday, February 10, 2010

tuai padi antara masak

"Kau hanya menulis kala kau bersedih!"

Ya. Dulu.

Bila kau hilang dari sisi dan sebahagian aku hilang punca mencari bahagia.

Motor rosak di subuh ulangtahun kelahiran Ed. Antara Universiti dan stesen komuternya. Aku sorong motor sendirian, bermesrakan keringat bila kala aku dipekik bunyi brek dari belakang.

"Art!"

Sial.
Ya. Aku.

Bila sebahagian aku hilang punca mencari bahagia, aku kesakitan merindukan kau tanpa leka.

Ed turun dari kereta. Setapak dia menghampiri aku, setapak aku mundur menjauhkannya. Aku tahu Ed dapat menebak dari mana aku datang. Dan demi Tuhan aku tak mahu Ed melihat aku sedang menikmati kekecewaan ini penuh sesal dan sunyi.

Semalaman yang lepas, sehingga subuh tadi aku berselimut embun di depan rumahnya. Aku kebas, tidak pasti apa yang aku rasa.

Persetankan aku, Ed.

Dulu, aku selalu cari peluang untuk pandang kau, berkehendak dekat kau, berkehendak mendengar suara kau. Kadang-kadang, tiap kali kau balik dari asrama anak yatim hingga Maresma, aku akan lalu berulang kali depan rumah kau. Bukan kerana aku dapat peluang lihat kau, atau dapat peluang dengar suara kau, tapi hati aku tenang hanya dengan tahu kau ada di situ.

Kadang-kadang aku akan duduk dari rumah Mak Nah, atau atuk Kiah, menunggu kalau-kalau Bonda memerintah kau ke pasar. Aku akan tunggu sampai nampak kau keluar. Kalau aku dekat bus stand Pagoh, kadang-kadang 2-3 pagi, aku akan pergi ke seberang jalan yang menghadap rumah kau. Dan aku akan duduk situ, mengamati rumah kau.

Jam demi jam demi jam demi jam.

Senang hati aku, bila memikirkan orang yang aku sayang ada di dalam. Selamat. Lena.

Perasaan yang aku rasa masa-masa tu semua, Tuhan saja yang tahu manisnya. Aku sentiasa rindukan gelak ketawa kau, aku rindu perasaan ingin tahu kau, aku rindu manja kau. Kau dekat sangat, tapi kau jauh sangat.

Malam ulangtahun itu penuh sakit. Tetap, aku akan menunggukan kau penuh setia dan mustakim.

Seperti selalu.
Seperti dulu-dulu.