Saturday, September 29, 2012

setikar seketiduran

Dewi cinta permata hati,

Bahawa telah sampai kepada aku dua pucuk surat darimu, dalam dua bulan berasingan. Semoga Tuhan menjagamu dan aku doakan semoga Tuhan mencintaimu, bahawa Dia telah menjadikan seluruhnya cinta aku, kepadamu, keranaNya.

Aku akan menyusul.

Monday, September 24, 2012

sakit menimpa, sesal terlambat

Dan demi Zat yang menggenggam nyawa aku, betapa sakit, menampung rindu yang bukan sedikit.

Membaca catatan-catatan lama di sini amat menghibakan. Langsung membuatkan aku berfikir-fikir, apakah maksud, aku menulis tentang hidup aku belaka? Apakah maksudnya, keberadaan jasad ini tanpa pengharapan cinta dan cita-cita?

Dia yang kini sudah tiada di kalangan aku, untuk aku kiaskan kasih sayang dan rindu padanya melalui tulisan sehari-hari.

"Kau hanya menulis bila kau bersedih!"

Benarkah? Atau itu dulu?

Terlalu lama aku kehilangan punca, hinggakan aku keliru, apakah aku yang meninggalkan hidup atau hidup ini meninggalkan aku?

Thursday, September 20, 2012

jarum halus kelindan sutera

Aku memang manusia biasa yang selalu tertipu dengan mimpi dunia idealis, yang sebenarnya tak mampu langsung mengubah diri sendiri-sendiri, apa lagi orang lain yang punya.

Tuesday, September 11, 2012

tembikar pecah satu pecah semuanya

"Bawaklah dia balik kampung, At. Duduk Parit Raja. Aku tau dia tengah susah." Bonda.

Bonda, bukankah kesusahan atau kebaikan yang diperoleh di dunia ini tak sekali-kali diganjarkan Tuhan kerana buruk baik kita? Perihal itu pasti dilunaskanNya di akhirat kelak. Bukankah ini semata-mata atas rahmat dan kasih sayang Tuhan?

Lebih lagi bukan hak aku ke atasnya. Bukan juga aku menafikan cintanya maka kerana itu aku mendahulu bermusafir ke Batu Pahat.

Hampir saja aku mendapat jodoh anak jati pekan ini, tapi oleh kerana pelajarannya tinggi, dia dipinang sekufunya. Tapi bukan, itu bukan perkara utama.

"Hubungan di antara amal, adalah hubungan antara budi dan perangai. Kalau kita percaya kepada Allah, tentu kita cinta kepadaNya, tentu kita sudi menuruti apa yang dikehendakiNya. Cinta yang tidak sudi berkorban, menurut yang terpakai dalam alam ini, adalah cinta palsu. Apatah lagi terhadap Allah, nescaya iman palsu, Islam palsu."

Bukan.

Ini bukan kata Bonda, tapi Bapak Hamka dalam kitabnya Iman dan Amal Shaleh, pada tahun satu ribu sembilan ratus dan delapan puloh tiga.

Monday, September 10, 2012

silih asah, silih asih, silih asuh

Dan sebenarnya ego itu yang menghalang aku. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin. Ya, kamu.