Friday, July 4, 2014

menangis daun bangun-bangun

"Aku lihat kau menangis di sisi Kaabah, Art. Dalam ihram!"

Barangkali kau bermimpikan Hamid (Di Bawah Lindungan Kaabah, 2011).

Aku tunduk.

Tak manis rasa aku menentang matanya. Walau itulah sepasang, mata yang aku kucup berkali-kali, dalam tiap satu mimpi, tanpa leka merindukan dia. Bertahun lamanya tak bersendirian dengan Ed. Entah kenapa Jumaat itu aku balas pesanan ringkasnya. Entah kenapa aku tawarkan diri untuk berjumpa. Entah kenapa dia menyambutnya.

"Aku telah melalui dua zaman sejak aku meninggalkan kau."

Pandangan aku meneroka sisi lahiriahnya, cuba menaksir katanya. Walau pada akhirnya aku melepaskan pandangan itu, dalam tunduk aku merawat rindu yang sekian lama aku kendongkan sembunyi-sembunyi.

Pernahkan kau meninggalkan aku (dalam hati)?

Bulan ini genap dua tahun aku berhijrah ke Parit Raja. Jaraknya 40km dari rumah mak. Aku tak menetap di Parit Jamil, aku tak membantu mak, aku tak bersahur dan berbuka dengan air tangan mak. Malah aku menanggung murka mak.

Aku ini tidak bertimbang rasa, katanya.

Kerana dalam diam aku mensia-siakan janji untuk menyusul Ed di saat dia perlu. Ah mak, aku hanya bangun-bangun, bimbang aku mengharapkan harum hilir air itu.