Showing posts with label puisi melarat ed. Show all posts
Showing posts with label puisi melarat ed. Show all posts

Wednesday, January 7, 2009

mendatangi diri

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku cumbui ulas bibirmu
apa kau merasakan basah
kelat darah menggenangi rongga
sedang aku menyentak lidah
kemudian aku belenggukan lehermu
dengan lidah itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku mesrai jinjang lehermu
apa kau merasakan dingin
nafas yang kaku dan membeku
sedang aku mengabung rengkung
kemudian aku gentaskan liang nafasmu
dari rengkung itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku hangati lurah dadamu
apa kau merasakan renyut
kejur jemari yang membentak keras
sedang aku mengerik rusuk
kemudian aku temukan belikatmu
dengan rusuk itu

lurutkan rohmu telanjang
ayuh aku rengkuhi empuk pinggulmu
apa kau merasakan pegal
nyeri otot saling mengilas
sedang aku membaji ari-ari
kemudian aku renggutkan rahimmu
bolos ari-ari itu

apa pernah sekalikah jasad kau mengendahkan
suara-suara aneh rohmu mengerang
kala ia dilurutkan telanjang
tiap kali iman kau
diperkosakan lantang

Wednesday, August 13, 2008

mabok kepayang

Malam itu kutelusuri
Raudhah tak bertepi
Kelanaku terhenti di pintumu
Gerbang penuh kerahsiaan

Kuselongkari bayang-bayangmu
Firasat yang terhijab
Takdapat kutafsir jisim itu
Lucutkan rupamu, lurutkan sifatmu
Lekas hampiri aku

Mabok kepayang
Nafsu mengerang
Kupanjat tangga langit
Tapi jatuh
Tersangkak bumi

Mabok kepayang
Roh menerjang
Zat jasmani menjerit
Aku mengengsot
Mendekati

Lepaskan aku
Aku ingin segera mendakapmu
Aku ingin lena dipangkumu
Wangian colok gaharu
Tidak mengekang inderaku
Dari menghidu wujudmu

Malam semakin gelita
Kala bayangmu lenyap
Bulan pun gerhana
Rohani jasmaniku,
Akal nafsuku,
Sujud bertemu aku!

Thursday, April 10, 2008

halusinasi

terlalu lamakah?
aku benamkan
jauh di sudut hati, di ruang fikiran
hinggakan aku lupa
dan segalanya menjadi samar
tak dapat aku bezakan

terlalu nyatakah?
dimensi ciptaan ini
hinggakan aku kabur dan keliru
tiada kekuatan
mengapa harus aku bezakan

bersediakah aku?
untuk kembali ke sudut itu
ke ruang itu
mencari aku?

mei 2007

Wednesday, December 12, 2007

kononnya

aku adalah endoparasit
yang menikmati hidup dari dalam tubuhmu
memamah hati
mengunyah jiwa
menghirup semangat
membutuhkan kewujudan sendiri
demi carik-carik cinta (kononnya!)
yang aku kutip dan satukan (kononnya!)
sedia untuk aku dambakan (kononnya!)

aku sujud di kakimu,
kasihanilah aku!
aku perempuan malang (kononnya!)
yang berhati lara (kononnya!)
tanpa perlindungan cinta (kononnya!)
hanya punya kau di segenap alir darah dan hembus nafasku (kononnya!)

dasar parasit!
dasar pelacur!
dasar pengemis!

tak henti meminta
tapi tak pernah memberi...

disember 2007

Wednesday, November 21, 2007

padanya

dia permata hati yang aku cintai
yang padanya aku lucutkan rupaku
yang padanya aku lurutkan sifatku
yang padanya aku persembahkan hanya dan hanya
hatiku yang terpaling asli
jiwaku yang terpaling dalam
tiada pura-pura
hanya cela dan parut luka

november 2007

Friday, August 31, 2007

merdekakan aku

aku jatuh
jauh dari kekosongan
dari cahaya yang kau sekatkan
tanpa ehsan

dalam diri, aku bermain
sambil seluruh rohaniku
disedut dari rongga

merdekakan aku!

mac 1999

Tuesday, August 21, 2007

kalau aku

kalau aku mencari kekasih
akan kucari yang bermatian mencintai aku
dan buta matanya pada kecacatanku

februari 2000

Monday, August 20, 2007

kalau kau

kalau kau mencari kekasih
carilah seorang perindu
bukan satria yang kau rindu

februari 2000

Friday, July 20, 2007

kembara jalanan

hidup ini aku umpamakan
satu jalan raya yang panjang
kadangkala lurus
berselekoh
banyak juga simpang-simpang
yang jalannya rata
berbukit
berturap
bertanah merah

bukan sekali aku sesat
jauh ke dalam simpang-simpang itu
ada kalanya sehari
sebulan
setahun
bertahun-tahun
sehingga kutemu jalan yang asal

hinggalah satu hari
jalan yang lurus dan berselekoh itu
membawa aku pada satu bulatan
yang memberi banyak pilihan
apa berpatah semula?
atau ke kiri?
ke kanan?
maju hadapan?

bulatan ini memberi masa
kerana aku boleh berpusing-pusing
sehari
sebulan
setahun
walau bertahun-tahun
hinggalah hatiku tetap
dan fikiranku waras membuat pilihan
ke mana arah perjalanan

lelah aku berlegar-legar
aku berhenti di tepi bulatan itu
memikirkan apa yang ada di dalam
hari lewat senja
bolehkah aku berteduh semalam?
entah mengapa
satu bulatan yang sangat asing
yang tak pernah aku jumpa sepanjang perjalanan
atau mungkin sedang aku cuba lupakan
begini rupanya
redup
selesa
umpama pernah aku berteduh di dalamnya

lama aku berlegar-legar
di sisi bulatan itu
namun tak kutemu jalan masuk
mungkin takdir aku tak mengizinkan
mungkin telapak kaki ini terlalu kotor
dengan debu
duri
lumpur
kembara jalanan
betapa aku mencari satu perhentian

kugagahi jua
kerana perjalanan kali ini amat berbeza
kerana aku bermula di sudut bulatan
yang mengizinkan aku ke mana sahaja
berpatah semula
ke kiri
ke kanan
ke hadapan
walau ke mana
untuk aku habiskan sisa perjalanan

agak tak tersia

april 2007

Friday, June 15, 2007

duka

duka diri
duka rasa
dalam hati
dalam jiwa

duka kau
bukan dukaku
dukaku
di mana kau?

november 1994