Friday, November 23, 2007

aku cinta

Art kenapa kau kejar Ed?
Siapa kejar kau Art?
Kuat sungguh hati kau Art?

Sebahagia mana pun orang melihat aku, sesempurna mana pun orang sangka aku, dalam hati aku, sentiasa ada satu ruang, yang diisi dengan pelbagai perasaan, rasa bersalah, rasa menyesal, rasa sedih, kerana tidak berada di samping orang yang aku sayang sewaktu dia memerlukan, kerana selalu mengalah, selalu memilih jalan yang salah. Di ruang inilah, adanya perasaan sayang dan cinta aku kepada Ed... dalam, kuat, teguh, tidak akan boleh diusik, digugat oleh sesiapa.

Di ruang inilah, aku simpan segala harapan, impian bersamanya, juga segala kepedihan, sakit, derita. Mereka kata ia akan sembuh, tapi aku tak mahu ia sembuh, aku tak mahu sayang aku kepadanya hilang, biar pun sayang itu ada bersama pedih dan derita, kerana ia telah menjadi sebahagian daripada diri aku. Ed banyak mempengaruhi corak kehidupan aku, mengajar aku kasih sayang, suka gembira, pedih derita. Hadirnya dia, mengajar aku cara menyayangi dengan penuh tulus dan ikhlas, tanpa perlu balasan, tanpa perlu dipenuhi permintaan.

Atas nama cinta
Hati ini tak mungkin terbagi
Sampai nanti bila aku mati
Cinta ini hanya untuk engkau
Atas nama cinta
Kurelakan jalanku merana

Aku seorang lelaki yang tewas pada cinta yang tak pernah cuba kumenangi!

Wednesday, November 21, 2007

padanya

dia permata hati yang aku cintai
yang padanya aku lucutkan rupaku
yang padanya aku lurutkan sifatku
yang padanya aku persembahkan hanya dan hanya
hatiku yang terpaling asli
jiwaku yang terpaling dalam
tiada pura-pura
hanya cela dan parut luka

november 2007

Tuesday, November 20, 2007

mata hati

Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bila mana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Bait-bait irama dakwah itu terngiang-ngiang di gegendang telinga aku selepas setengah hari membasahi bibir Ed. Tak jadi balik ke kampung, aku diminta menemannya ke mana-mana. Ke mana-mana kerana dia sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju, ke hilir atau ke hulu. Mungkin juga selebih lirik itu menyindir aku.

Aku patuh memandu keluar masuk lebuhraya dengan pelbagai rupa kiosk tol yang tak pernah aku jumpa. Cuma dua perhentian yang aku buat, satu di Awan Besar membayar hutang makannya yang-entah-bila-dan-makcik-toke-kedai-pun-dah-lupa dan lagi satu meneman dia meneman Eleanor makan tengahari tapi-yang-ini-sekarang-dan-aku-suka. Dalam perjalanan balik dia menanyakan aku,

"Art, apakah yang lebih penting? Aku atau nyawamu?"

"Tentulah nyawaku!"

Ed diam. Tiada riak marah, tiada riak kecewa, jauh sekali merajuk. Roman wajah ini yang paling aku benci kerana ia tidak bersatah lantas sukar untuk aku tafsirkan andai ada lengkok, kelok, belok, lekuk, liku, cembung, cekung, mungkum, jeluk, kerut, ikal, melentik, kerinting, bulat atau sfera emosinya di dalam. Roman wajah ini aku panggil muka-pegi-jahanam. Malangnya bukan dia, tapi pasti yang terdekat iaitu aku.

Bodoh Art! Kalau mahu berhenti menyintai orang, jangan sekadar menutupkan mata kerana ia masih membukakan pintu hati!

Lekas bukakan matamu Ed, sedarlah bahawa nyawaku itu adalah kamu!

Monday, November 19, 2007

si manis itu

"Mana mungkin aku bersedih? Akulah dewi cinta dunia!"

"Entri terakhir itu bukan merujuk pada kau, bongok!"

Ed pantas menjeling, rautnya mencuka tanda dia merajuk dan minta dipujuk. Kalau aku salah perkiraan masa, agak terlambat misalnya, air matanya akan mula meleleh di pipi. Manja!

Tapi itu dulu! Dia di zaman suntinya, zaman ada Eric untuk memujuk. Zaman sebelum dia membongkar sisi-sisi lelaki dari sudut Kenari. Tadi? Dia menjegil mata sambil mulut terkumat-kamit umpama nenek kebayan menguyah songel. Dan benar aku agak terlambat memberi reaksi kerana jarinya telah dulu singgah mencubit jisim lemak di pinggang aku. Garang!

"Lantas?"

Isyarat mataku terhenti pada Eleanor di sisinya. Wanita manis yang sering bersedih ini bingung kerana untai bicara kami bersilih dengan sedak-sedak gelihati dan langsung meleret kepada hilai tawa mengekel-ngekel.

"Kenapa ketawa? Ketawakan saya ek?"

Hatiku terpaut dengan fitrah ikrab barunya ini. Manis dan manja. Manis itu datang bersama empuk keperempuanannya, manakala manja itu datang bersama jeling dan rajuknya bila Ed dan aku bersilih mengusik saiz kutangnya atau lebar punggungnya atau sumbang suaranya kalau dia bernyanyi. Ya manis. Amat manis.

Aku terus-terusan melayan ketawa Ed walau mataku tak lekang melirik padanya. Dalam gamang dan takut aku cuba menafsir tiap kedut ketawa di pipinya, sangat bimbang kalau-kalau air matanya tumpah ke perut!

Tuesday, October 30, 2007

jangan

Jangan sekali-kali kau tunjukkan kesedihanmu, kerana ia langsung membukakan kelemahanmu.