"Cukup! Berhenti lukiskan warna-warna hitam kelabu, suram hatiku! Hanya palitkan warna-warna merah cinta dan kuning harapan! Ke mana kau pada hari-hari girang aku?"
Aku tertampar.
Tuesday, December 4, 2007
cukup
Posted by Artozy at 4:18 PM 0 comments
Monday, December 3, 2007
tersumpah
Ed, kita anak jalanan. Kita meneroka dunia dari intai tepian jalan, bawah jambatan, dalam semak belukar. Kita comot, berdaki dan berpanau. Kita suka kesat mulut di lengan baju, walau Ayah Cu selalu cakap nanti besar jadi pengemis! Arwah Ayah Cu, masin mulutnya kita besar menjadi pengemis. Kau mengemis cinta Eric sedang aku mengemis cinta kau.
Ed, kita membesar mengikut hati dan langkah kaki. Lepas bebas. Arwah abah kau selalu pesan, anak perempuan mesti belajar setinggi mungkin! Kalaulah dia hidup untuk melihat betapa kau mengasah akalmu setinggi kayangan, sedang kau juga melacurkan hatimu sehina lembah hitam... Kebebasan yang sebenar bukan terletak pada destinasi untuk kita pergi, tapi di ruang mana yang kita pilih untuk diami.
Semua simbolik yang kau bina dengan Eric... 143 itu, persahabatan itu, ikatan darah dan akad itu, pupuk di punggung itu hinggalah sekecil-kecil urusan memotong kuku itu kesemuanya telah diterjemah dan dibentukkan secantiknya pada Eleanor. Eric telah maju tapi kau masih tersudut di sini.
Kau tersumpah, Ed! Umpama anjing jalanan yang saban hari mencuba nasibmu di pintu dapur tuanan yang menggalang hatimu! Kau mengharap ehsan pada sisa makanan dan kasih sayang. Ada hari bahagian kau dilempar, ada hari yang tidak bersisa, ada hari hati kau diterajang sebelum perut kau terisi. Andai satu hari tuanan itu menjemput kau masuk, sama ada kau menurut atau tidak bukan persoalannya. Soalnya, bukankah ada kemungkinan kau akan dilempar keluar dan kembali menunggu sisamu pada salah satu hari malangmu akan datang? Dan sungguh, nasibmu terbukti malang.
Berhentilah menyeru cintanya dalam hampa dunia ini. Medan ini bukan medan juangmu. Cinta itu terlalu utopia untuk kau. Permukiman mahligai itu umpama mimpi, yang perlu kau harung sejuta tidur dan sedar, berkali-kali, bermalam-malam, berhari-hari!
Dan masih... demi kau, aku pasakkan hati karatku dalam ketar tangan bersembunyi di balik jubah darwis ini. Akalku sujud menghamparkan hijab mataku.
Jahanamkan semua! Pengemis ini, pelacur ini adalah cinta hati aku! Bulat! Tanpa ragu!
Posted by Artozy at 3:32 PM 0 comments
Thursday, November 29, 2007
atas kamu
Kata orang tua: Kalau kena tampar biarlah dengan tangan yang pakai cincin, kalau kena tendang biarlah dengan kaki yang pakai kasut.
Maksud: Kalau berbuat salah biarlah dihukum orang yang berkuasa atau ditegur orang yang berilmu, jangan dianiaya orang-orang kecil dan tak tahu apa.
Hari ini Ed pulang ke kampung dipanggil bonda dan pamannya. Menghadap paman pula? Aku gusar benteng hatinya diterobos sedang aku bersendiri di pintu kubu itu.
Harus kacau-bilau fikirannya diasak kata-kata hikmat, mutiara kata berlesenkan nasihat dari semua orang!
Posted by Artozy at 2:25 PM 3 comments
Wednesday, November 28, 2007
percayalah
Adalah sangat payah memberi bekas pada Ed dan terlebih payah untuk memboloskan diri andai sekali Ed mengikat tali rakhi Raksha Bandhan, simbolik blood brothers and sisters kononnya. Antara yang terhukum adalah aku, Andong dan cinta hatinya Eric. Entah berapa hari lepas aku berserobok Andong mengkhabarkan gusarku perihal Ed. Reaksi pertamanya gampang,
"Ah, Ed memang gila dan tak guna!"
Aku tersedak air liur pahit dalam ketawa yang kubuat-buat. Andai separuh dari hidup Ed itu ada Eric, maka Andong terlebih sedikit bermaharajalela tiga suku dari hidupnya. Andong adalah sahabatnya yang terakrab, kalau kita semua boleh terima logik persahabatan yang hanya berhubungan paling tidak sekali setiap dua tahun, selama 25 tahun!
Ed juga hadir mengikutsertakan dirinya selepas berbulan-bulan tak menghadap Andong. Dan tetap, mukanya seposen tak bersalah, sangat percaya ikrabnya itu telah sedia maklum etikanya bersahabat. Prolog bualannya juga mengutip topik yang sama ditinggalkan bulan-bulan yang lepas. Tabik untuk Andong, kau layan Ed macam baru jumpa semalam juga!
Aku membentangkan kes Ed ke hadapan Andong, membuka semula fail-fail memori Ed, Eric and 143 yang dah berlapok. Penghakiman Andong mudah, masalahnya bukan Eric atau tuan tanah, tapi Ed!
"Uruskan hati pengecutmu! Pertamanya, berhenti lari meninggalkan gelap masalah. Keduanya, berhenti berlari mengejar terang harapan!"
Ed mendengar kami berpencak menasihatinya dengan lagak yang sungguh-sungguh. Sama bersungguh kami mengasah kepala hotaknya yang hanya melihat Eric dalam buta matanya pada dunia. Kami selongkarkan kesemuanya, bogel, telanjang! Di akhir cerita itu kami kaitkan Eleanor. Dengan penuh rendah diri, patik-patik pacal yang hina, aku dan Andong sebulatnya berpendapat Ed harus mengenepikan sementara Eleanor kerana dia tak akan mampu menangani banyak jiwa dalam satu masa. Sebagaimana aku tidak membenarkan Ed melukai hatinya, begitu juga aku tidak mengizinkan Ed menyakiti Eleanor kerana jiwanya, akalnya sedang beroperasi di luar sedar.
"Eleanor? Aku telah meletaknya pada taraf bondaku! Andai kalian tidak setuju, doakan saja mati, mereka atau aku! Namun untuk aku berpaling tidak sekali, tiada kompromi!"
Aku dan Andong saling berpandangan. Sungguh parah! Sedang dia hampir putus asa, dukanya, kecewanya, laranya membakar menjadi amarah yang tak tertahan!
Posted by Artozy at 5:46 PM 5 comments
Sunday, November 25, 2007
bahawasanya
"Nampaknya kau kena tukar blog-awek-aku kepada blog-awek-awek-aku."
Suara Ed menyinggah di cuping telinga aku dalam kemam bibirnya menyalakan api rokok. Ya Tuhan! Rambutnya! Dua inci sahaja yang tinggal dari kulit kepala? Secara automatik aku menggaru kepalaku yang tidak gatal, sebenarnya mencongak-congak panjang rambutku yang kukira lebih seinci darinya. Aku pantas melarikan pandangan sedang dia mencangkung di sebelahku, konon-konon tidak heran dengan perubahan melampau itu. Turut melampau adalah ketagihan rokoknya yang dulu benar aku terima, tapi kebelakangan ini agak keterlaluan bagai sedang membunuh dirinya dalam diam.
"Lagu Rossa tu... dari Eleanor?"
Aku masih batukan diri sambil menconteng-conteng kanvas dengan warna-warna hati yang rusuh. Degup jantungku kencang dibebat bimbang. Aku tahu sebahagian daripada hatinya sedang memberontak minta dilepaskan, lepas bebas dari bayang-bayang cinta Eric dan persahabatan surinya Eleanor. Bahagian hatinya itu sedang berterusan mencari sumber, mencari alasan untuk melukakan diri sendiri, berterusan membunuh sebarang harapan pada cinta Eric. Bahagian hati itu juga tersangat lemah dan hampir buta penglihatannya pada zat cinta, hanya melihat kedukaannya sendiri dalam rindu dan lelah menunggu Eric, mengharap cintanya, menantikan belaiannya.
"Sungguh tak kelakar, mungkin kelak aku akan kehilangan kau di tangan Eleanor sebagaimana Eric! Benarlah semua lelaki hanya berkehendakkan perempuan yang cantik-cantik dan manja-manja belaka."
Aku berpaling merenung matanya tanda membantah. Hatiku segera melafazkan ikrar setia cintaku padanya, tapi mulutku terkunci. Kami saling bertenungan walau pada akhirnya aku kalah dan aku kembali mematikan pandanganku ke dada kanvas. Ah Ed, kau terlalu mengambil mudah urusan kebajikan hatimu dan hanya memikirkan perihal orang lain. Persetankan yang lain, tumpukan hanya pada satu, kalau Eric maka Eric, kalau aku maka aku, bahkan sesiapapun jua yang kau pilih. Tapi hati... kalau kau berterusan mencintai yang lain dalam pada yang sama berkerasan menidakkan cinta untuk sendiri, kelak akan mati!
"Art, sebahagian daripada hatiku ini sedang cuba sekeras-kerasnya untuk percaya bahawa akulah dewi cinta dalam hatinya, yang aku dan hanya aku yang wujud memenuhi tiap ruang akalnya, jasmaninya, rohaninya, nafsunya. Tapi hakikatnya amat sukar untuk aku tipukan pemikiran dan hatiku, apabila hakikat pancainderaku menafsirkan semua yang sebaliknya..."
Buktikan padaku kukuhnya pasak cintamu, Ed!
Posted by Artozy at 1:51 PM 1 comments
