Di puncak bukit Universiti. Lewat petang semalam.
"Kasih sayang dan cinta aku untuk kamu adalah untuk kamu. Kasih sayang dan cinta aku untuk dia adalah untuk dia. Tiada istilah perkongsian, kamu atau dia!"
Bayu yang membawa cinta menerpa, melemaskan aku dalam pelukannya, membisikkan keraguanku padanya.
Pada cinta.
Pada dia.
Wednesday, August 20, 2008
dalam laut dapat diduga
Posted by Artozy at 2:04 PM 4 comments
Tuesday, August 19, 2008
ed dan kari II
Yang sebetulnya kari Ed pada malam minggu lepas adalah cubaannya yang terbaik. Sedang aku memuji-muji enak karinya, dia pula memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memasak kari. Anak matanya bercahaya kala dia bercerita, dan hati kecil aku yang sepatutnya membisikkan syukur atas nikmat rezeki ini terdetik,
Jahanam (suapan kali pertama)...
Zin (suapan kali kedua)!
Ya, aku hanya mengenal berus-berus melukis dari pelbagai sumber bulu, dan bukannya kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih atau buah pelaga. Dan ya, aku juga yang menyorong jabat mereka kali pertama. Zin ini membawa kesan bukan-bukan pada Ed. Pertamanya itu masak kari. Keduanya itu memandu kereta manual. Kereta manual?
Petang semalam aku singgah lagi hantar basikalnya yang pancit pula. Telah pun aku isikan angin. Ed menyapa riang dari belakang sebelum daun pintu itu sempat kukuak.
"Art, hari ni bawa kau jalan-jalan ke bukit Universiti!"
Aku gamam. Ed memusing-musing kunci kereta di hujung jari telunjuknya. Mata dan kaki aku seiring menuruti langkahnya ke kereta Iswara putih yang rongak tanpa bumper depan. Aku tak sempat mentertawakan bumpernya, kerana mata aku terlebih dulu menginterpretasikan batang gear Iswara itu sebagai gear kereta manual.
Juga sebelum sempat aku memuji-muji pandainya dia mengimbangkan pedal klac dan minyaknya, dia memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memandu manual. Bibirnya basah dengan celotehnya berpesan,
"Kalau enjin terhenjut-henjut, kena tekan klac cepat-cepat!" Kali ini hati kecil aku berdetik lagi,
Jahanam (henjut kali pertama)...
Zin (henjut kali kedua)!
Posted by Artozy at 1:24 PM 2 comments
Thursday, August 14, 2008
ed dan kari I
Ada dua perkara yang paling ditakuti Ed. Pertamanya itu memandu kereta manual. Keduanya itu masak kari. Lauk karinya tak pernah memenuhi cita rasa aku. Ada kalanya terlalu masam tapi yang selalunya,
Wei! Ni masak kari ke masak lemak?
"Bodoh! Bersyukurlah!"
Masa, keringat, dan kudrat yang diusahakan ke arah memasak kari itu juga bukan kepalang sungguhnya. Resepinya dari pelbagai sumber, bonda, akrab, termasuklah resepi belakang paket serbuk kari sendiri. Persepsinya terhadap lauk kari ini terlalu agung. Ed mengangkat kari lebih mulia daripada lauk ayam masak merah atau masak lemak cili padi, bahkan rendang daging rusa betina putih!
Cubaan-cubaannya juga terlalu kompleks. Kari dengan santan atau tanpa santan? Kalau dengan santan, maka santan kelapa parut atau pati santan kotak? Kalau tanpa santan itu, mungkin dicubanya dengan susu. Susu tepung, susu segar, atau susu rendah lemak? Ini tak termasuk pilihan antara asam jawa atau asam keping. Terlalu kompleks!
Tolong! Aku hanya mahu makan nasi lauk kari!
Malam semalam aku singgah hantar basikalnya yang patah tongkat. Telah pun aku betulkan. Ed menyapa riang bila daun pintu itu kukuak.
"Art, hari ni aku cuba masak kari lagi!"
Aku telan air liur. Bukan terliur tapi bimbang kalau-kalau malam ini aku bakal kelaparan!
Posted by Artozy at 12:50 PM 8 comments
Wednesday, August 13, 2008
mabok kepayang
Malam itu kutelusuri
Raudhah tak bertepi
Kelanaku terhenti di pintumu
Gerbang penuh kerahsiaan
Kuselongkari bayang-bayangmu
Firasat yang terhijab
Takdapat kutafsir jisim itu
Lucutkan rupamu, lurutkan sifatmu
Lekas hampiri aku
Mabok kepayang
Nafsu mengerang
Kupanjat tangga langit
Tapi jatuh
Tersangkak bumi
Mabok kepayang
Roh menerjang
Zat jasmani menjerit
Aku mengengsot
Mendekati
Lepaskan aku
Aku ingin segera mendakapmu
Aku ingin lena dipangkumu
Wangian colok gaharu
Tidak mengekang inderaku
Dari menghidu wujudmu
Malam semakin gelita
Kala bayangmu lenyap
Bulan pun gerhana
Rohani jasmaniku,
Akal nafsuku,
Sujud bertemu aku!
Posted by Artozy at 11:22 AM 5 comments
Wednesday, August 6, 2008
euphoria di maskara x
"Sepertimana Sindiket Sol-jah, aku tidak mengamalkan seks sejenis dan aku juga suka pada benda-benda cantik. Tapak Sulaiman misalnya."
Entry: eu·pho·ria
Pronunciation: \yü-ˈfȯr-ē-ə\
Function: noun
Etymology: New Latin, from Greek, from euphoros healthy, from eu- + pherein to bear — more at bear
Date: circa 1751
Meaning: a feeling of well-being or elation
— eu·phor·ic \-ˈfȯr-ik, -ˈfär-\ adjective
— eu·phor·i·cal·ly \-i-k(ə-)lē\ adverb
Argh! Perasaan pada malam itu terlalu kompleks untuk aku kupaskan.
Posted by Artozy at 9:19 AM 3 comments
