Friday, December 19, 2008
Thursday, December 18, 2008
camouflage cinta II
Camouflage seseekor binatang itu bergantung kepada warnanya, penting supaya kehadirannya tidak disedari oleh mangsa atau pemangsanya. Andai mangsa atau pemangsa itu buta warna, maka camouflage itu tergantung kepada coraknya pula.
Sebagaimana musang artik yang memakai kot bulu putih di musim sejuk dan menukar kot bulu cokelat di musim panas, Ed lebih pantas menukar emosi dan peribadinya. Dia yang sentiasa bersembunyi di balik tawa dan manjanya, sebetulnya berselang-seli memupuk lara dan sunyi.
Lewat November lalu aku bawa Ed ke Zoo Negara. Di bawah pepohonan jejawi Malayan Bayan, kami seharusnya bercanda, ketawa, merayu dan bahagia. Tapi dewi itu berjiwa hampa.
"Keterlukaan itu adalah mahar kekuatan."
Bangun dewi! Seandai kau mahu berhenti mencintai, harus tegas! Tegas walau bagaimanapun keadaan menarikmu, pasak hatimu harus kukuh, jangan sekali terpaling untuk masuk ke jurang duka itu lagi!
Posted by Artozy at 4:28 PM 3 comments
Wednesday, December 17, 2008
camouflage cinta I
Pulang dari Maskara Shorties bulan lepas, Ed bercerita tentang cicak chameleon sedang jagung rebus maskara berdenting-denting dalam perut aku. Kata Ed,
"Sesumpah itu adalah binatang pasang siap! Ekornya bergulung seperti monyet, kulitnya berketak seakan buaya, lidahnya melekit seiras katak, dua kali lebih panjang dari badannya pula. Dan kadang itu, kepalanya bertanduk seumpama badak! Sebagaimana sesumpah, bukankah cinta kau juga adalah pasang siap? Dikacuk dari pelbagai roman perasaan: ada cinta dan sayang, ada cemburu dan ragu, ada kasih dan kasihan, tapi yang lebih itu sunyi dan sepi?"
Aku diam.
Pulang dari Maskara Balak Malaya minggu lepas, Ed menyambung ceritanya lagi sedang mee goreng maskara berlingkar-lingkar dalam perut aku. Katanya,
"Dalam tiap-tiap hubungan itu ada kasih sayang dan penghormatan. Selalu, dalam perhubungan itu kita harus memilih antara keduanya. Mengasihi tanpa menghormati, jadilah hubungan itu urusannya membelenggu. Menghormati tanpa mengasihi, jadilah hubungan itu urusannya rasmi! Lantas, mengapa kau datangkan padaku dua pilihan? Bukankah memiliki keduanya itu melangkaui erat persahabatan?"
Aku terdiam.
Posted by Artozy at 4:09 PM 3 comments
Tuesday, December 9, 2008
menepung tawar cinta
... dan segeralah kau ramas limau itu, kau tepungtawarilah, kau bedaklah, kau limaukanlah, kau mandikanlah akan aku ini...
Posted by Artozy at 3:15 PM 11 comments
Friday, November 28, 2008
segitiga cinta
Segitiga itu punya tiga sisi. Aku lakarkan atas satah dua dimensi.
Fikir aku, segitiga ini cengkerangnya teritip, yang menderhakai badai, setia pada batunya. Fikir aku, segitiga ini layarnya kapal, yang menerajang angin, cekal dengan kemudinya. Fikir aku, segitiga ini paruhnya belatuk, yang memahat pokok, asyik dalam iramanya. Fikir aku, segitiga ini sayapnya rerama, yang membelah langit, rindu akan krisalisnya.
Tetapi, segitiga itu membantah tak setuju. Lakaran aku jelik, dengan mudahnya segitiga itu menjadi jemu. Fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Bukan masalah, bisik aku lagi. Dan segera aku ansurkan segitiga itu menjadi segi yang lain. Segi itu kini punya empat sisi.
Tapi segi itu segera buntu. Lagi dan lagi, dengan mudahnya segi itu menjadi jemu. Lagi dan lagi, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Aku terus-terusan mengansurkan segi itu merubah bentuk, kutambah satu lagi sisi dan kuperbesar satu lagi sudut. Asal segi yang aku namakan dirinya trigon, kemudian aku namakan tetragon, kemudian pentagon, kelak heksagon, heptagon, oktagon, nonagon, dekagon, hendekagon, dodekagon, tridekagon, tetradekagon, pentadekagon. Masih dan masih, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Pada akhirnya, segi itu menjadi lelah. Kini segi itu menghampiri bulat, teroleng-oleng dan tak mampu mengimbangi diri. Fikirnya, bulat itu bukan satu poligon, sisinya melengkung dan tidak lurus bersegi. Jeritnya lagi, dia mahu kembali punyai tiga sisi!
Usahlah resah. Pujuk aku, kembali sajalah punyai tiga sisi. Demikian aku lakarkan, atas satah dua dimensi.
Fikir aku terakhir kali, segitiga inilah cintanya aku. Padanya. Dan cintanya dia. Pada yang lainnya.
Posted by Artozy at 4:15 PM 4 comments

