Sunday, December 13, 2009

bagai kiambang dilempar II

Aroma kayu perabot yang menyambut kedatangan aku mengimbau ke zaman anak-anak dulu. Masihkah kau ingat, dewi? Tiap senja kita berkejaran mencari biji getah?

Meja makan empat kerusi yang lama itu rupanya sudah patah satu kerusinya. Sekarang bergantikan meja baru berkerusi lapan. Aku perlahan melabuhkan punggung di penjuru meja itu diperuk seribu keterasingan. Mimpi-kenangan berselang-seli mengerumuni aku.

Kemudian, turun berjujuk-jujuk dari tingkat atas, anak-anak kecil dalam teriak ketawa mereka, berebutan mahu menyalami aku. Mereka melengkapi kerusi-kerusi, membaca doa tanpa kerlip menafsirkan aku, barangkali.

Betapa kuat ingat aku kala mengintai kau makan bersama-sama penghuni rumah anak-anak yatim dulu. Bezanya sekarang aku di kepala meja. Meski bukan kepala keluarga, setidak-tidaknya aku bukan di luar lagi.

Hairan bagaimana penderitaan teruna-dara cinta yang dikisahkan Bapak Hamka begitu mudah menemu ajalnya atas nama kekecewaan semata-mata. Tidak dapat aku menelan racun agar putus hubungan roh dan jasad. Tidak dapat juga aku meneguk arak agar putus antara ingatan dan harapan.

Di sisimu Ed.

Adalah terpaling hampir dengan bahagia.
Di situlah aku ingin kekal selamanya.

Wednesday, December 2, 2009

bagai kiambang dilempar I

Aku tunduk tekur di pintu pagar itu, hati penuh belah bagi. Amat kepingin aku temui Ed selepas lima bulan aku dalam pelarian. Tapi pada kala yang sama, amat canggung aku hadapi Zin yang begitu pantas menjejaki aku.

Dua minggu sebelum malam semalam Zin dan aku berbalahan, bermakian, berkasaran. Hampir saja aku terajang perutnya kalau tidak kerana buku limanya yang lebih dulu hinggap ke batang hidung aku.

"Apa lagi yang kau takutkan? Jiwa kau sebahagian dia! Sisi feminin kau melengkapi maskulinnya! Tidakkah kau tahu, itu suatu pertalian rohani yang melangkaui percintaan laki isteri?"

Hujan rintik-rintik. Laung salam aku berselang-seli dengan azan Isyak yang berkumandang. Klise. Ini adalah babak lazim buat lelaki kecewa, tipikal dalam wayang gambar Melayu.

"Art!"

Aku mendakap Zin erat, antara kasih dan terima kasih lantas berkerasan membawa aku pulang. Ed juga maju bersalam lantas mencium tangan aku.

Ah, dewi. Telah diangkat rupanya pangkatku dari seorang sahabat kepada saudara. Telapak tangan kanan aku meraup ubun-ubunnya, mengalirkan kasih sayang sejernih air mata.

Telah aku terima cinta kau sebulat-bulat platonik, dik! Menyucikan idealisme cinta-romantik-semi-erotik dalam mimpi-mimpi pandir aku berpuluh tahun lepas.

Sehinggalah semalam.

Wednesday, November 25, 2009

mitos ini,

terlalu retorik. Harus aku rasionalkan meski dalam metafora terpaling hina. Akan aku ikatkan berhala cinta ini kembali ke kaki pari-pari. Akan aku jernihkan kerancuan cinta ini.

Akan aku berhenti,
mendambakan cinta dalam sembunyi.

Thursday, November 5, 2009

cela,

umpama Victor Frankenstein dan botanya.

Berhala ini menjadi lebih bernyawa dari aku.
Dan aku kini menjadi hamba kepadanya.

Saturday, October 31, 2009

dan seperti,

mana-mana gema yang bergaung kala detik sunyi,
pengakhiran sesebuah penantian itu adalah suatu kenescayaan.

Pari-pari sudah mati barangkali, meninggalkan berhala ini seperti anak haram dalam gendongan aku. Hendak aku simpan bukan aku warisnya, hendak aku singkir bukan aku walinya. Aku tidak lagi ghairah menantikan perutusan cinta dari sang pari-pari. Utusan-utusan cinta yang dititipkan kepada aku juga celaka semuanya, hanya mengirikan berhala ini.

Ludah.

Mencari pari-pari bukanlah suatu hal yang mudah. Tidak sekali sama perihalnya seperti mencari Tuhan yang sangat jelas maksud dan tujuan, pasti bagi mencapai kenikmatan di akhirat kelak.

Kenikmatan apa dalam cinta?
Ah, deria aku tidak lagi ampuh dalil ceraian dan juzuknya.

Reaksi aku semakin plastis. Sebegitu mudah dibentuk-bentuk untuk merupakan yang berbagai. Tafsiran aku pada pencakapan juga tidak lagi literal. Penuh prajudis. Sama seperti makhluk-makhluk alam lain yang mendatangi aku dengan seribu sembunyi dan muslihat.

Aku telusuri injak pari-pari penuh amarah! Hingga heninglah seruan berhala dalam gendongan lantaran terus-terusan aku memaki orked hutan yang hidup menumpang tetapi dipuja-pujakan!