Pertama kali membaca naskhah Di Bawah Lindungan Kaabah, umur aku sepuluh tahun. Ya, masih anak. Ketika itu aku membayangkan aku mahu menjadi Hamid. Aku mahu petah berbicara, punya ilmu banyak tentang agama, punya cinta, percaya cinta.
Kemudian setelah aku tonton naskhah itu di layar perak, aku tahu aku tak mungkin menjadi Hamid itu. Tapi alangkah bertuah, andai dapat aku wariskan seorang Hamid buat penyambung amal di alam barzakh!
Mendengar tangis dalam deritamu
Merasa dusta di hari-harimu
Pada siapa air mata ini akan mengadu?
Thursday, July 19, 2012
bagaimana rupa begitu bayangnya
Posted by Artozy at 12:42 AM 4 comments
Friday, October 14, 2011
gajah seekor gembala dua
Dan sering, fitrah keserdahanaan ini yang dipersalahkan.
Dalam hati itu tak mungkin punya dua cinta, hanya satu, khusus buat Tuhan kamu. Andai ada cinta kamu pada lainnya, itu adalah cinta kamu padanya, tetap keranaNya.
Posted by Artozy at 1:43 PM 2 comments
Tuesday, September 6, 2011
iris
...
Aku kilaskan tangannya ke sisi dan aku kalihkan kepalanya jatuh dari pangku. Aku tampungkan leher jinjang dan betis bunting padinya, pertama pada kuda-kuda dan kemudian pada lengan aku.
Ah, Iris. Andai mampu aku talkinkan cinta, pasti lumat aku ceraikan juzuknya.
Aku rebahkan Iris di meja lukis. Aku kucup wajahnya berlama-lama antara hidung dan mata. Inilah hidung, inilah mata, seri dewi malam yang tercemar maruah, lemah rohani dan jasmaninya, berkerasan akalnya menghindar cinta.
Perlahan aku lurutkan jasadnya telanjang. Aku sisirkan ikal mayang rambutnya, aku silangkan tangannya ke dada. Aku mula selongkar tin-tin cat dan kemudian itu dengan segera aku mencampur warna. Kejur jemari aku mengepit berus dengan penuh taksub.
Kau pasti suka, Iris!
Akan aku lukiskan kembang teratai di sisi telingamu, meneduh koi yang mencumbu ulas bibirmu. Agar kau meyakini cinta, berahi yang bergenangan mendasari hati.
Akan aku lukiskan Seri Gumum, naga dari Chini itu, melingkar dari pundak lurut ke lurah susumu. Agar kau mendakap sejahtera, aman dipeluk maha cinta aku.
Akan aku lukiskan cangkerang lutsinar, moluskus dan krustasia, menggalas empuk pinggulmu. Agar kau menyirna ragu, lantas tetap letak dudukmu menerima aku.
Bancuhan rufi dan erimin yang aku mesrakan buatnya masih berbaki. Aku tautkan bibir aku tepat-tepat pada bibir gelas itu, mengangankan dirinya yang kelak aku sucikan segala keji dan cela. Besar hati aku dapat berkongsikan barbiturat yang menenteramkan aku selama ini.
Dan untuk aku rapikan terakhir kali, aku catkan merah tumitnya yang merekah, agar maujud perawan kakinya. Persis dewi kayangan menanti dipuspakan.
Aku mencintai kau separuh mati, Iris. Roh aku tidak lagi sudi mendiami jasad bisu ini, melainkan bersatu denganmu, mencegamu daripada lelaki-lelaki yang penuh khianat dan muslihat. Hanya dengan mematikan kamu, maka dapat aku sendiri mati seluruhnya.
Aku tekapkan plastik ke mukanya. Seberapa lama hinggakan ombak di dadanya semakin menyusut dan akhirnya pegun. Berimanlah kepada aku, Iris. Cinta adalah fatamorgama semata-mata. Hulurkan tanganmu, bukakan hatimu, bebaskan sengsara yang terpenjara di dalamnya.
Yang abadi itu hanya kau dan aku.
Posted by Artozy at 4:47 PM 1 comments
Thursday, August 18, 2011
buruk, buruk kayu gaharu
Hari ini aku berfikir-fikir. Entah apa yang aku hasadkan dua bulan lepas. Yang aku tahu sumbernya lagu yang menjuarai Akademi Fantasia itu.
Hari ini juga aku berfikir-fikir. Betapa aku rindu kamu, Ed.
Sungguh, aku rindu menjadi pendengar pada cakap-cakapmu. Tiap aku menjingkit mengimbangi beg-beg plastik yang wajib punya Murtabak Singapura kegemaran kita, tiap bersama ke pasar lambak di bulan puasa dulu.
Walau apa sekalipun cakap-cakap yang kau bawa. Kadang tentang dajal, tentang Imam Mahadi. Kadang tentang buruj dan bintang. Tentang apa saja bahkan dari permainan khayalanmu semata-mata. Aku kini hilang teman bercakap. Bukan sekali teman buat aku cermin bercakap, tapi untuk aku mendengar.
Dari gegelang Zuhal hingga ke purnama Musytari, dan demi selagi ada hayat ini, akan aku junjung kebahagiaanmu.
Semoga di Ramadhan ini Allah memeliharamu. Dan semoga Dia mencintaimu, kerana Dia telah menjadikan sebahagian daripada cintamu itu, biarpun saudara, kepada aku keranaNya.
Posted by Artozy at 1:35 PM 2 comments
Wednesday, July 20, 2011
menahan lukah di penggentingan
Tiada kesal yang setimpal untuk kau ubahkan masa lepas, tiada juga khuatir yang sebanding untuk kau harapkan masa depan.
Tapi kau ada aku.
Biar bukan sebahagian masa lampau.
Atau masa tuamu.
Posted by Artozy at 3:30 AM 0 comments
