Thursday, January 31, 2008

justeru

Semalam aku meneman Ed menonton hingga ke subuh. Diulang-ulang cerita yang sama.

Cerita Love is Cinta itu sudah lama menghantui aku bukan kerana plotnya yang gampang, atau Acha yang manis, atau malaikat maut yang botak, atau babak terbang ala-ala Superman. Tapi yang mengharukan aku adalah watak Doni... dengan kesungguhannya menyakinkan Cinta, pertama tentang dirinya, kedua tentang hatinya.

Entah, jiwa lelaki aku terkoyak dengan leleh air matanya dalam kusut rambut dan pakaiannya. Mata hati aku menangis semahunya, sehingga sedu terbit dari halkumku, dan kepalaku sakit menahan air mata.

Mata itu. Lirik mata itu sangat terbeban, menanggung kebenaran yang tak mampu diluahkan. Kebenaran, tentang ikhlas dan tulusnya kasih sayang yang pada akhirnya hanya mengharapkan bahagia. Dalam mata itu juga adalah bayangan kedukaan, persis kedukaan aku dalam membahagiakan dewiku.

Keluh.

Kerja meyakinkan manusia ini sangat berat, kerana manusia masing-masing datang dengan prajudis, sangsi dan kepentingan yang tersendiri. Kita memilih hal-hal yang ingin dipercayai, kita juga tidak menimbang semua fakta secara adil dan terbuka. Kita malah zalim pada diri sendiri.

Terlebih berat apabila hal yang hendak diyakini itu adalah soal hati, yang tidak berjisim, hanya zat. Manusia bisa meyakini kewujudan angin melalui tiupan bayu. Tapi apakah kita puas hanya dengan mengetahui? Andai masih perlu diyakini, maka dengan bukti apa lagi?

Bahkan lebih parah kerana kebenaran cinta itu terpenjara dalam diri aku, si bodoh yang berkali-kali hanya menelan kata-kata cinta itu, yang juga sebenarnya pesimis, bacul, pengecut, dan sentiasa khuatir, gementar dan penuh prasangka pada dewinya.

Sial!

Mengapa berat ungkapkan cinta padahal ia ada?
Mengapa sulit mengaku cinta padahal ia terasa?

Katakan padaku, bagaimana boleh aku meluahkan cinta sedang aku tahu dewi cinta itu bermatian (ya bermatian) mencintai yang lain?

Monday, January 28, 2008

pada hari ini

Wahai Tuhan,

Sampaikanlah kecintaan aku, kasih sayang aku, kerinduan aku, buat dewi cinta hati aku pada hari kelahirannya ini.

Selamat hari lahir, untuk Ed.

Sunday, January 27, 2008

aku pohon

Mengapa sangat mudah untuk aku curapkan perihal hati Ed, tentang cinta dan mimpinya, tapi amat sukar untuk aku terjemahkan soal hakikat, tentang permasalahan tuan tanah, hak dan hukum yang menggalang dirinya?

Mengapa dulu aku mampu berkali-kali menenggelamkan tulisanku pada hari-hari girang Ed, tapi kini tulisanku malah tenggelam pada hari dukanya, sedang duka ini bukan tentang cinta dan mimpinya bahkan hakikat penganiayaan akal dan kudratnya?

Mengapa aku tak tergapai tangannya yang longlai dalam runtun jiwa kacau dilanda badai?

Wednesday, January 9, 2008

wanita itu

Aku masih tak puas hati dengan Ngah. Galak sungguh dia menghujahkan betapa wanita memerlukan lelaki yang kurang-kurang 10 tahun beza usianya, bahawa gap umur itu menjamin lelaki telah matang berhubungan, lebih penyayang, lebih mendengar, lebih stabil baik emosi atau rohaninya (huh kalau bukan nafsu atau hartanya).

"Wanita perlu sering dibelai-belai rambutnya, diurut-urut bahunya, dikucup-kucup tangannya, dipuji-puji rekah bibirnya, lemak mulutnya, mulus kulitnya, montok payu daranya, pejal punggungnya dan segala macam puji-pujian lain yang sewaktu dengannya!"

Biar tewas di tangan Eric, asal bukan pria tua berjenggot!

Friday, January 4, 2008

kembali

Ed dan aku masih menyuap (malangnya bukan bersuap-suapan) nasi berlaukkan sup ekor bila belakang aku ditepuk Ngah. Ngah ini pangkat sepupu dengan Ed, walaupun sudah masuk golongan warga emas kerana bakal berpencen.

"Naik ikut Ngah keluar makan dengan kawan Ngah?"

Aku mencopong. Bagaimana boleh dia mengajak permata hati aku keluar makan sedang dia sedang makan dengan aku, walau aku bukan permata hatinya?

Ngah ini profesor di Fakulti Kejuruteraan universiti yang sama dengan Ed. Rambutnya putih beruban, sepanjang ketiak pula! Sungguh aku cemburu dengan rambut panjangnya yang terikat kemas tapi masih bertopikan songkok aji. Tak kira! Walau macam mana cool pun dia, bagaimana boleh dia merisik-risik cinta hati aku untuk orang lain, walau bukan untuk Eric saingan terdekat aku, walau bukan aku cinta hatinya?

"Hensem tak? Kaya tak?"

Kali aku aku mencopong lagi tapi pandanganku beralih pada Ed yang bertanya manja, ala-ala gadis pingitan sedang kemalu-maluan diurat anak teruna ketua kampung yang pandai main gitar, main bola dan bersilat. Ngah kemudiannya duduk di antara kami, sambil menggembar-gemburkan riwayat si polan itu, kemudiannya mengambil tangan Ed menelek garis hati di tapak tangannya pula, kemudian akhirnya kembali pada soalan yang sama.

"Tak naklah Ngah. Lebih senduk dari kuah!"

Aku tak mencopong lagi, malah membetulkan duduk meninggikan dada dalam kembang lubang hidungku. Hahaha lega.

Wednesday, January 2, 2008

padaku

Pertemuan dengan Ed semalam sangat manis. Rasionalnya telah mula bertunjang, emosinya terlipat kemas. Perjuangan akademiknya telah berakhir sekaligus membuka lembaran baru dalam tekadnya mencari rezeki halal di dunia, menghindarkan diri dari mengemis dan meminta-minta, mencukupkan keperluan keluarganya serta berbuat baik terhadap jiran-jirannya. Pada pundaknya itulah tertanggung semua.

"Tahun baru menjanjikan seribu harapan", katanya.

Maka Eric?

"Akan kucari jalan yang sunyi. Ini bukan perjuangan cinta lagi. Ini perjuangan rohani, antara aku dan aku."

Ed kemudiannya bercerita tentang plot jahat Umar Umayah yang mencukur sebelah misai dan sebelah janggut raja Parsi yang mengaku Tuhan, membina kerajaan semegah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Dan kemudian bagaimana Umar membunuh dan mengerat tubuh badan Bakhtik si menteri, lalu dimasakkan menjadi bubur lambuk hidangan raja.

Aku tekun mendengar, bukan kerana Hikayat Amir Hamzah kesukaannya itu, tapi mencari sumbang pada nada suaranya andai ada sekecil-kecil sedu tangis. Tiada!

Membujur lalu, melintang patah. Hatiku rawan melihatkan semangatnya.