Thursday, February 28, 2008

sakiti aku bukan dia

Doktor psikiatri itu berpesan, kalau kamu mencintai seseorang, luahkan segala yang kamu rasa tanpa sesekali pun mengharapkan cinta itu berbalasan. Apa benar pesannya itu untuk Ed? Atau selayaknya untuk aku?

"Yang boleh memenuhkan rasaku hanya Eric."
"Yang boleh mengisi jiwaku hanya Eric."
"Yang boleh mengubati lukaku hanya Eric."
"Ya, hanya Eric, dengan izin Tuhan."

Lihat dulu dalam diri, pasti kau temui kebahagiaan yang kau cari!

"Telah aku letakkan bahagia itu hanya padanya. Andai kau kata bahagia itu dalam diriku, maka ia hanya ada jika Eric juga di situ. Kerana aku mencirikan dirinya sebagai aku. Bukan sebahagian daripadaku, tapi aku seluruhnya..."

"Kepercayaan kami satu, pemikiran kami satu, nilai-nilai kami satu, kesukaan kami juga satu. Hati itu, jiwa itu... bertaut rapi. Sejauh mana aku pergi, dia tetap ada bila aku kembali. Seperti bayang-bayang? Bukan, kerana bayang akan lenyap tanpa cahaya. Seperti bayang di cermin? Bukan, kerana bayang itu hilang tanpa cerminnya."

Kalah.

Ed tidak pernah melihat aku, hanya dan hanya Eric... Duka Eric adalah hak, sedang dukaku bersyarat. Dia yang tidak pernah lekang dari sisiku, tapi hanya raganya yang kudapat, bukan hatinya. Dalam riangnya itu fikirannya menerawang merindui Eric, hatinya menangisi takdirnya tanpa Eric.

Betapa menyakitkan, bersama dewi cinta yang aku cintai setulusnya, dalam sedar bahawa hatinya bukan untuk aku. Ed terbiasa menangis di bahuku, mengadukan laranya sedang dia dalam pelukanku. Sungguh menyiksakan! Dewi itu hanya mengeluhkan Eric yang menanggung kunci kebahagiaannya tapi berterusan melukakannya.

Bodoh Eric kerana tidak mengusahakan cinta itu.
Terlebih bodoh lagi aku kerana kalah pada cinta yang tidak cuba aku usahakan.

Sewajarnya sebagai lelaki yang bermatian mencintai aku harus lakukan semuanya, mengorbankan dukaku, egoku, berusaha membahagiakan dewi cinta hatiku. Tapi dengan cara apa? Menyuruhnya meninggalkan Eric? Menyuruh Eric meninggalkannya? Jiwa yang mana satu harus aku selamatkan dulu? Ed? Eric? Eleanor? Bagaimana aku? Tidak ada pilihan waras. Selayaknya aku diam, memerhati, mendoakan, atas nama cintaku yang sebesar dunia kononnya.

Sememangnya aku diam. Aku diam menikmati tiap kali dia menangis dalam dakapanku mengadukan perihal Eric, malah mentertawakan cintanya yang keterlaluan. Dia juga menyakiti aku keterlaluan... sangat. Hatinya sering meninggalkan aku ketika aku bersamanya. Tapi aku diam, kerana aku tidak boleh mengakui kelukaan aku. Aku tidak mahu dewi cinta itu berperasaan sepertiku. Andai Ed jahanam maka aku juga bakal jahanam.

Tapi dia sememangnya sedang jahanam! Tawanya bersumberkan anti-depressant, buah pinggangnya merungut meminta simpati. Ed kembali menjalani kehidupan hampa, menghampiri mati. Aku sudah tidak mampu mengejarnya, menamparnya supaya sedar bahawa dunia ini masih menunggukan dia. Dewi cinta itu sedang dalam kelukaan, menimbunkan hatinya jauh-jauh dalam kesibukan hari-harinya.

"Untuk aku sembuh dengan sendirinya, dengan sepenuhnya, aku harus mendefinisikan semula diriku, sebagai satu, seluruhnya, tanpa Eric. Aku harus meletaknya sebagai orang lain, terpisah antara kami keduanya, kepercayaan kami, pemikiran kami, nilai-nilai kami, kesukaan kami, hati kami, jiwa kami... Kerana selagi aku tidak mengerjakan hal ini, maka selamalah aku terpaksa bergantung padanya, makanan rohaniku adalah dia, euphoria bahagiaku adalah dia!"

Atas dasar inilah aku berhenti mengejarnya, memberi ruang padanya. Jangan datang padanya! Jauh sekali sujud padanya! Biarkan dewi itu diam dalam sepinya agar dia tidak lagi melukai. Melukai orang-orang yang disayanginya, melukai hatinya sendiri. Aku tahu dia akan bertahan. Kesepian tidak akan sekali-kali membunuhnya. Aku juga berdoa agar kesepian itu tidak membunuhku.

Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan,
yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan suci lagi berserah diri,
dan aku bukanlah dari golongan orang-orang musyrik.

Sesungguhnya solatku,
ibadahku,
hidupku,
matiku,
hanya semata-mata bagi Tuhan semesta alam.

Tidak ada sekutu baginya,
demikian aku diperintahkan,
dan aku adalah termasuk ke dalam golongan
orang-orang yang menyerah diri.

Kita dengan kisah cinta kita. Doa iftitah, apa pernah kita peduli?

No comments: