Aku masih dalam keberhutangan yang parah dengan Ed. Meski blog ini hanya fardhu kifayah ke atasku (lantaran ia bukan blog aku), tapi yang terfardhu itu adalah kebenaran tentang Ed. Tentang beban dunia yang terhukum ke atas pundaknya. Tentang maruahnya sepaling dalam. Juga tentang kita, hamba-hamba Tuhan selainnya yang pantas menimbangkan dosa pahala bagi pihak Raqib dan Atid. Juga yang terpenting adalah tentang tuan tanah.
Tuan tanah yang membelinya dengan harga 20 ribu itu.
Sedari dulu Ed begitu memuja tuan tanah. Berkerasan mengatakan bahawa tuannya itu sentiasa berupaya menghubungkan dirinya sendiri dengannya. Bahawa tuannya itu selalu membuatkan dirinya terharu, seolah-olah ada insan lain dalam dunia ini yang begitu memahami apa yang dirasanya, yang begitu sama takdir dengan dirinya. Khabarnya tuannya itu juga membesar dalam keyatiman dan dhaif sepertinya. Pegi mampus!
Tuan tanah itu sangat pandai mirror diri sendiri dengan setiap individu yang sedang dilawannya bercakap. Yang menjengkelkan aku tentang dia adalah dia lelaki tak guna yang penuh drama dan pura-pura. Bukan! Yang lebih menjengkelkan aku adalah ketangguhannya menakluk hati Ed dengan drama dan pura-puranya!
Bila adik aku mintak kerja jadi x, spontan dia menjawab dia juga pernah mintak jadi xx.
Bila aku kata mak aku mengandungkan aku x bulan, spontan dia menjawab dia juga dikandung ibunya x+2 bulan.
Bila sepupu aku pertama kali memperkenalkan diri bekerja di bank x, spontan dia menjawab dia juga pernah ditawar bekerja di bank y.
Bila kawan aku kata suka kereta 4WD model x, spontan juga dia mengiyakan dan bercerita tentang kesukaannya pada 4WD model x^2. Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang tak kuasa nak aku ingatkan.
Ini adalah lelaki terpaling jahanam dalam hidup Ed. Lelaki yang menguis Ed dari lopak lecah yang kotor, kemudian menyucikannya dan memberinya makan sebelum menerajangnya kembali jatuh bergelumangan dalam kehinaan yang lain.
Pada satu hari Ed datang padaku dalam tangis yang kuat, menceritakan tentang lelaki misteri yang menelefon tuan tanah, mengadukan halnya. Bahawa Ed seorang perempuan sundal, jalang yang tidak layak dibuat isteri. Bahawa Ed penuh rahsia hitam, bahawa dia pernah berhubungan dengan lebih lima lelaki dalam satu masa, termasuk suami orang, majikannya, teman sekerja, bahkan saudara lelakinya sendiri. Bahawa dia pernah mengandungkan anak luar nikah dan membuang kandungan itu. Bahkan dia sendiri adalah seorang anak haram dari keturunan pelacur dan penagih dadah!
Pada masa yang lain datang pula lelaki misteri (mungkin juga orang yang sama) yang menelefon tuan tanah mengejek-ngejek dayusnya dia kerana Ed sedang bersedap-sedap dengan seorang lelaki, yang khabarnya juga suami dan ayah kepada seorang anak kecil. Suami orang ini juga kononnya sudah mula memukul-mukul isteri sahihnya, dan berkira-kira untuk bercerai pula kerana terlalu bernafsukan Ed yang jalang. Bahkan Ed juga telah berhabisan melacurkan diri dan jiwa raganya untuk satu cinta terpakai!
Gila! Betapa hina dan sialnya wanita yang dibelinya itu? Yang siang bekerja mencari rezeki, menyediakan makan pakainya, melahir, mendidik dan membesarkan anak-anaknya, sedang malam memuaskan nafsunya?
Tuan tanah berterusan mengungkit-ungkit hal ini dengan menggunakan alasan orang lain asal bukan dirinya. Hingga Ed menamparnya dalam jerit,
"Pukullah aku, buanglah aku! Tapi berhenti mengingatkan aku bahawa aku perempuan yang kotor!"
Hati aku memaki tuan tanah dalam panas amarah yang membakar. Aku tak tahu sejauh mana kebenaran dalam cerita-cerita ini. Ed sangat licik menyimpan rahsia, dan aku mengerti ini adalah persoalan maruah yang tak perlu kutanya melainkan dia sendiri datang padaku dengan kebenaran itu. Yang aku pasti, setiap cerita, tiap tempat, tiap nama yang termaktub dalam sejarah silam Ed hanya diketahui dirinya, aku dan tuan tanah. Semuanya tidak bersilang antara satu sama lain lantas tak memungkinkan orang lain mengkhianati Ed kecuali kami.
Bodoh Ed menelanjangkan diri sendiri pada manusia yang selama ini dipujanya. Mengapa perlu kau buka rahsia dirimu pada jiwa-jiwa lain, biarpun aku?
Dalam Ed semakin dekat dengan kisah silamnya, Ed juga semakin jauh untuk kupaut dan kulindungi. Dia lari meninggalkan gelap masalah bersama tuan tanah, menuju terang harapan cinta Eric yang pada akhirnya silau terang itu juga telah membutakan matanya.
Aku menjadi takut untuk tidur kerana mimpi-mimpi aku sering tentang perjalanan yang terkandas, tentang mati. Aku tersangat takut kerana yang terkandas, yang mati itu bukan aku tapi dirinya!
Tuesday, March 18, 2008
aku bukan tuan tanah
Posted by Artozy at 11:37 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment