Monday, April 27, 2009

pada

Tengahari semalam aku boncengkan Ed pula ke Parit Jamil. Berbelas tahun dulu, jalan kampung inilah saksinya betapa belakang badan aku lekuk dipeluk gadis, julung-julung kalinya seumur hidup aku. Waktu itu Ed masih pingitan. 16 tahun. Manja dan keras kepala. Motosikal itu juga hasil pertama titik peluh aku, bertampal sticker namanya di tangki minyak.

Hasrat aku mahu bawa Ed pulang berjumpa mak, tapi tatkala menjejak laman, aku berpatah balik. Terlalu tamak rasanya hendak berkongsi Ed dengan mak, lalu aku boncengkan dia ke bukit Mor, dan berhenti makan nasi lauk asam pedas Mak Pon di Parit Jawa. Air sedang surut, jeti dan bot-bot nelayan penuh lumpur. Turut memalit keruh pada jiwa aku.

Masih sarat hati ini mengandung cinta buatnya. Adakah gila andainya aku tuntut Zin berjanji agar mengizinkan Ed kekal di kalangan aku, hanya kerana aku bacul kehilangannya?

Seharusnya aku berterima kasih dengan Zin. Dia datang antara Ed dan aku, menatangnya bagai minyak penuh, diangkatkan kesedihannya lalu digantikan dengan kebebasan dan kepercayaan. Kemudian itu diajarkan memasak, memetik gitar, dan memandu kereta manual. Dan kemudian lagi diambilkan lesen motor, diberhentikan merokok, dan dijadikan vegetarian bulanan. Dewi itu semakin maju mencabar tiap batas keupayaannya.

Apa lagi helah yang mampu aku usahakan?

Lewat minggu-minggu yang sudah, Ed tak lekang di samping aku. Merata-rata aku dikerah menemaninya, mencari riben dan belon, kain satin, chocholate fountain, dan bubble machine. Juga single Cromok Another You. Juga rumah.

Aku hiburkan dewi itu dengan cerita-cerita sejarah. Kisah keturunan Sultan Melaka yang lari ke Johor tapi keturunan Raja Bugis yang akhirnya memerintah Johor. Juga kisah permaisuri dan para sultanah, Puteri Saadong dan Raja Perempuan Kelantan.

Terasa masih banyak lukisan yang belum aku curapkan, masih banyak pujuk rayu yang belum aku puisikan, dan masih banyak lagu-lagu dan filem-filem Perancis termasuklah sejarah revolusinya yang belum aku kongsikan dengannya.

"Art, kalau kita tak jumpa, atau apa-apa jadi pada aku sampai tigabelas haribulan nanti, kau ingat aku hari ini! Mesti!"

Semalam itu dia berbaju kurung Johor, tanah hitam berbunga coklat, kuning dan jingga. Rambutnya beralun lepas ke bahu, sama rona dengan anak matanya. Dan berselipar Jepun warna putih.

Dan kemudian itu, semalam pun berakhir.

8 comments:

Nizam Ahmad said...

baru hari ni aku faham. penulis blog rupanya lelaki.. dan ed adalah seorang perempuan berbaju kurung johor.

itu pun kalau aku masih belum dikelirukan dengan tajuk blog ni.

Nafastari said...

Semoga pengakhirannya baik-baik sahaja.

Artozy said...

nizam,

ha ha ha.

mungkin akan datang aku harus cari dewi yang bernama Siti Rahmah untuk

"ini bukan blog aku, ini blog awek aku (yang baru)"

nafastari,

insyaAllah. Salam sejahtera buat Mawar dan Embun.

~imm~ said...

siti rahmah ke? adoi lari jauh dengan nama aku.

haha terus jatuh ke bumi, tak mampu nak berangan lagi. :p

Anonymous said...

Satu kerongsang
Dua butang
Tiga lubang

Satu pandang
Dua sayang
Tiga hilang


-EZ-
love in three seconds

Artozy said...

im,

sitI rahMah ;)

ez,

Satu penghalang
Dua terajang
Tiga melayang

lose in three seconds

andongsari said...

Art, you are always good in manipulating words.. haha.. Bakat masih ada.. gilap bro .. gilap.. Kem salam kat madu kau .. Remi.. hehehe

Artozy said...

hahaha andong,

aku juga cinta kamu!