Monday, November 29, 2010

putih-putih kapur sirih

Menjelang esoknya, bukan Ahmad Rempit yang aku temu tapi Ahmad Muallaf yang sangat Islamik rupanya hingga aku langsung menitipkan hormat dalam jabat penuh takzim dan kasih sayang tanda persaudaraan, meluputkan usik-usik nakal yang semalaman aku rancangkan buat perempuan seputih tauhu itu.

Sunday, November 28, 2010

malang celaka raja genggang

Aku kemalangan di kilometer D5.9 lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dinihari kelmarin, dalam musafir aku ke rumah mak. Pada perkiraan aku kendara di hadapan itu adalah sebahagian daripada permandangan malam, balam antara kelabu dan hitam.

Untuk mengelak dimaki, segera aku jawatkan salam di tingkap pemandunya, hanya untuk menyedari kerawang emas putih entahkan silver di pergelangan tangan itu. Aku melirik tengkorak Thomas Sabo di tangan sendiri.

"Fuck!" Sekonyong-konyong jari tengahnya menjerkah.

Putih tauhu kulitnya!

Aku mundur setapak ke belakang memberi ruang. Makilah aku, perempuan. Aku punya seluruh malam untuk menebus salah yang sahih milik aku. Dan lagi, punggung (kereta)nya jatuh! Merangsang belas di hati.

Aku hulurkan kad pengenalan dan lesen memandu, dengan harapan keraguannya reda melihatkan rupa aku yang separas Ah Long Kai dengan kereta curi buatan Amerika. Tetap, dia enggan keluar. Hanya bingit meleteri aku dari tempat duduknya, sambil selang-seli menghubungi teman lelaki Ahmad Rempitnya (barangkali).

Aku menikmati amarahnya tiap saat dalam intai yang dinaung sorot lampu jalan.

Esok, katanya tiba-tiba. Balai Polis Trafik Jalan Bandar.

Aku mengangguk kesukaan.

Tuesday, November 2, 2010

rosak bawang ditimpa jambak

Aku sudah tidak lagi melukis. Barangkali ada hikmahnya meninggalkan kanvas, berus dan cat-cat kecintaan aku, kerana fikiran tidak lagi berterusan menerawang masa lantas membina angan-angan dari satu lapisan ke satu lapisan minda separuh sedar yang lain.

Setipis kulit bawang.

Kerana dulu dewi itu titik tumpu dan aku pantas menintakan soal hidup dalam abjad, andai tidak dalam palitan warna. Tapi kini dewi itu sudah tiada, lalu aku buntu ingin membicarakan soal apa.

Sial.