Segitiga itu punya tiga sisi. Aku lakarkan atas satah dua dimensi.
Fikir aku, segitiga ini cengkerangnya teritip, yang menderhakai badai, setia pada batunya. Fikir aku, segitiga ini layarnya kapal, yang menerajang angin, cekal dengan kemudinya. Fikir aku, segitiga ini paruhnya belatuk, yang memahat pokok, asyik dalam iramanya. Fikir aku, segitiga ini sayapnya rerama, yang membelah langit, rindu akan krisalisnya.
Tetapi, segitiga itu membantah tak setuju. Lakaran aku jelik, dengan mudahnya segitiga itu menjadi jemu. Fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Bukan masalah, bisik aku lagi. Dan segera aku ansurkan segitiga itu menjadi segi yang lain. Segi itu kini punya empat sisi.
Tapi segi itu segera buntu. Lagi dan lagi, dengan mudahnya segi itu menjadi jemu. Lagi dan lagi, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Aku terus-terusan mengansurkan segi itu merubah bentuk, kutambah satu lagi sisi dan kuperbesar satu lagi sudut. Asal segi yang aku namakan dirinya trigon, kemudian aku namakan tetragon, kemudian pentagon, kelak heksagon, heptagon, oktagon, nonagon, dekagon, hendekagon, dodekagon, tridekagon, tetradekagon, pentadekagon. Masih dan masih, fikirnya, dia berkehendakkan satu lagi sisi dan satu lagi bucu!
Pada akhirnya, segi itu menjadi lelah. Kini segi itu menghampiri bulat, teroleng-oleng dan tak mampu mengimbangi diri. Fikirnya, bulat itu bukan satu poligon, sisinya melengkung dan tidak lurus bersegi. Jeritnya lagi, dia mahu kembali punyai tiga sisi!
Usahlah resah. Pujuk aku, kembali sajalah punyai tiga sisi. Demikian aku lakarkan, atas satah dua dimensi.
Fikir aku terakhir kali, segitiga inilah cintanya aku. Padanya. Dan cintanya dia. Pada yang lainnya.
Friday, November 28, 2008
segitiga cinta
Posted by Artozy at 4:15 PM 4 comments
Thursday, October 30, 2008
memetik lidah tak bertulang
Sebiji gitar tong mampu milik tanpa jenama, berbunga-rebenkan g-string renda hitam di tunernya, aku hadiahkan khusus buat dewi yang sedang ingin cuba memetik rasa.
Posted by Artozy at 10:12 AM 10 comments
Sunday, October 26, 2008
kasih sepantun tulisan pinggan
Aku melawat Ed yang terlantar di rumahnya malam semalam. Tiada yang merisaukan, hanya tekanan darahnya terlalu rendah. Menyedari aku di sisi, dia langsung menarik telinga capangku rapat ke bibirnya.
"Teka sebanyak mana aku menyayangi kau?" Ah, dewi. Aku tak rasa aku dapat menebaknya.
"Sebanyak ini," dia mendepangkan kedua tangannya lemah, meregang sejauh mungkin. Depang tanganku lebih panjang dari tanganmu, bisik aku. Dan aku menyayangi kau sebanyak itu!
Sunyi.
"Aku menyayangi kau seluas padang saujana terbentang," tingkahnya lemah. Pandangan beratnya terlontar mengintai langit malam. Aku menyayangi kau merentasi padang saujana yang terbentang itu, hingga ke puncak bukit sayup di belakangnya!
"Itu sangat jauh," bisiknya perlahan. Barangkali terlalu lemah untuk berimaginasi lagi. "Aku menyayangi kau sejauh kembara ke bulan," kelopak matanya bertaut. Apa mungkin lena atau dia dalam pura-puranya.
Itu terlalu jauh, dewi. Tapi aku menyayangi kau sejauh kembara ke bulan itu, dan pulang ke bumi (dalam hati)!
Posted by Artozy at 1:47 AM 2 comments
Friday, October 24, 2008
Wednesday, October 22, 2008
titah dewi cinta
"I'm a goddess of many faces, but I will only bow to one God!"
Mencintai seorang perindu, adalah lebih baik dari seorang dewa yang kau rindu. Aku adipati buta menjunjung titahmu.
Posted by Artozy at 1:47 PM 3 comments

