Sunday, December 23, 2007

apa benar

Hidup ini umpama tertambat pada satu roda agung, yang berterusan berputar mengikut mekaniknya, naik ke atas, turun ke bawah. Kalau roda itu adalah merry-go-round, maka pandangan di bawah itu tidaklah seteruk mana. Walau tidak menjangkau awan tapi masih setara pada horizon di kaki langit. Kalau roda itu adalah kincir air, maka mungkin pandangan di bawah itu gelap, lantaran mata tertutup dan nafas tertahan kerana bimbangkan lemas terbenam.

Ke mana aku di hari-hari girang Ed?

Entah. Pasti bukan di sisinya kerana gembira dan euphoria bahagia itu bukan bersumberkan aku. Tapi aku setia, memerhatinya dari jauh. Bagai anak kecil meneroka semula hidup buat kali pertama. Seperti mengejar rama-rama? Tidak, Ed mencungap berlari, dia bukan athletic. Mungkin lebih kepada mengejar semut yang berulang-alik ke sarang busut. Ada masanya dia menghalang perjalanan soldadu semut itu dengan batu atau lubang air. Ada masanya dia mengganggu soldadu itu dengan tarikan baru, butir-butir gula pasir misalnya.

Kembaranya memenangi cinta Eric penuh keringat, tapi masih tertakluk pada syarat permainan yang diletakkan Eric - tentang Eleanor, tentang tuan tanah. Ed telah mencuba segala-galanya, menjadi sahabat, menjadi isteri, di tempat kerja bahkan di rumah. Di rumah? Ya menumpang teduh sebagai orang ketiga antara mereka. Kisah cinta itu bukan Ed, Eric and 143 lagi. Bukan juga Ed, Eric, Eleanor and 143. Tapi Eric, Eleanor, 143 and Ed!

Apa dia benar girang?

Entah. Jernih mata dan tulus senyumnya membenarkan apa yang cuba dia gambarkan pada aku. Tapi Ed terlalu kukenal dengan kelicikannya membohongi hati. Akalnya tak boleh dipercayai, sering cuba menjadi Tuhan dengan mengadili dan menghakimi hakikat hatinya yang tak berdaya dan tanpa upaya.

"Ini masa bersedih!" titah akal. Maka meraung-raunglah hati itu meratapi nasibnya yang hidup sengsara tanpa Eric dan perlindungan cintanya.

"Ini masa pegi jahanam!" titah akal pada masa yang lain pula. Maka menyumpah-nyumpahlah hati itu memaki nasibnya yang hidup lelah dan lemah masih menunggukan Eric dan perlindungan cintanya.

Apa mungkin aku benci pada kegirangan itu?

Entah. Mungkin aku gusar. Mungkin sebenarnya aku cemburu bila sedikit sebanyak biasnya telah mula menjauhi aku.

No comments: