Thursday, January 31, 2008

justeru

Semalam aku meneman Ed menonton hingga ke subuh. Diulang-ulang cerita yang sama.

Cerita Love is Cinta itu sudah lama menghantui aku bukan kerana plotnya yang gampang, atau Acha yang manis, atau malaikat maut yang botak, atau babak terbang ala-ala Superman. Tapi yang mengharukan aku adalah watak Doni... dengan kesungguhannya menyakinkan Cinta, pertama tentang dirinya, kedua tentang hatinya.

Entah, jiwa lelaki aku terkoyak dengan leleh air matanya dalam kusut rambut dan pakaiannya. Mata hati aku menangis semahunya, sehingga sedu terbit dari halkumku, dan kepalaku sakit menahan air mata.

Mata itu. Lirik mata itu sangat terbeban, menanggung kebenaran yang tak mampu diluahkan. Kebenaran, tentang ikhlas dan tulusnya kasih sayang yang pada akhirnya hanya mengharapkan bahagia. Dalam mata itu juga adalah bayangan kedukaan, persis kedukaan aku dalam membahagiakan dewiku.

Keluh.

Kerja meyakinkan manusia ini sangat berat, kerana manusia masing-masing datang dengan prajudis, sangsi dan kepentingan yang tersendiri. Kita memilih hal-hal yang ingin dipercayai, kita juga tidak menimbang semua fakta secara adil dan terbuka. Kita malah zalim pada diri sendiri.

Terlebih berat apabila hal yang hendak diyakini itu adalah soal hati, yang tidak berjisim, hanya zat. Manusia bisa meyakini kewujudan angin melalui tiupan bayu. Tapi apakah kita puas hanya dengan mengetahui? Andai masih perlu diyakini, maka dengan bukti apa lagi?

Bahkan lebih parah kerana kebenaran cinta itu terpenjara dalam diri aku, si bodoh yang berkali-kali hanya menelan kata-kata cinta itu, yang juga sebenarnya pesimis, bacul, pengecut, dan sentiasa khuatir, gementar dan penuh prasangka pada dewinya.

Sial!

Mengapa berat ungkapkan cinta padahal ia ada?
Mengapa sulit mengaku cinta padahal ia terasa?

Katakan padaku, bagaimana boleh aku meluahkan cinta sedang aku tahu dewi cinta itu bermatian (ya bermatian) mencintai yang lain?

1 comment:

~aku~ said...

tarikh ini, aku menangisi pemergian lelaki yang paling aku sayangi. genap 5 tahun.

*sigh*

kalau masa boleh diputar semula Art, aku takkan isi hidup aku dengan lelaki lain selagi dia masih ada. tak pernah terduga akan bergelar yatim sekelip mata.