Wednesday, April 30, 2008

24 jam aku, dia dan dia

Entah Jumaat bila agaknya aku dan Zin kutip Ed dari Fakulti seawal 8.30 pagi. Ed mencopong melihat kami terpacak di depan pintu biliknya, tersengih-sengih sambil tergaru-garu (Haha yang tersengih itu aku dan yang tergaru itu Zin). Pun begitu dia mengekor kami tanpa membantah, sehelai sepinggang dengan berkebaya labuh, berselipar dan berbeg galas.

Plot kami gampang saja, membawa Ed lari dari dunia mayanya. Mungkin kami tak mampu membangunkan dia dari koma melankolinya, tapi paling tidak pancainderanya boleh kami pakat-pakat tipukan dengan euphoria bahagia, biarpun sementara.

Apa mungkin optimisme kami ini dangkal atau pramatang atau mungkin juga kami ini sekadar membesarkan ego kelakian (bukan, bukan alat kelakian) kami? Pegi jahanam, plot ini hanya terbatas kepada Ed, tidak termasuk aku atau Zin.

Seawal pagi itu kami ke McDonalds menapau 2 set besar Quarter Pounder dan McChicken Meal dan Sundae dan Apple Pie khusus untuk Ed, dan kemudian ke kedai pakaian Weng-Choon-ke-entah-apa-namanya membeli seluar pendek dan sehelai t-shirt pagoda. Ed, kami akan bawa kau ke empangan batu Ulu Yam!

Ed tenang tak henti mengudap sepanjang perjalanan hinggalah tiba di empangan. Tenang dan habis semua! Usai urusan makan, kami bawakan dia mencari tempat mandi. Ed yang sedari tadi berdiam tiba-tiba berleter tanpa butir, dan akhirnya turun bermandian menyertai Zin dan aku. Hairannya, dia berkebaya. Bukankah telah kami bekalkan juga seluar pendek dan kemeja-t?

"Jantan-jantan bodoh! T-shirt pagoda yang kamu belikan terlalu tipis untuk menampung dadaku tanpa kutang!"

Lahai, kutangnya hanya satu! Aku menepuk belakang kepala Zin, bodoh!

Lewat petang kami menceroboh pula ke bukit Universiti yang selalu dijadikan prop utama untuk siri drama porno amatur Ed. Ada rupanya penghuni lain di puncak bukit ini: segembalaan lembu ternakan Universiti yang memandang kami tanpa prajudis dan prasangka. Mungkin kerana Ed kini bercelana pendek dan bert-shirt pagoda lantas melayakkan dia menjadi seorang dari kami.

Mungkin dengan itu juga, kebarangkalian kami difikir sebagai sekumpulan budak-budak lelaki kecewa yang sedang hisap ganja bersama-sama lembu adalah lebih tinggi berbanding dengan kebarangkalian kami dilihat sebagai jejaka-jejaka yang sedang hendak menggauli gadis bersama-sama lembu. Eh bukan! Di tengah-tengah kumpulan lembu!

Sembang Ed semakin ghairah dalam dia berpencak menggayakan sudut-sudut kamera hipotetikal untuk drama mini seksnya. Zin dan aku tekun mendengar, pastinya teruja dan terlebih ghairah! Menjelang malam, Zin dan aku bergilir-gilir memandu merata-rata, ke Gombak Batu 11, ke puncak Bukit Saga, entah ke mana-mana. Kami juga berhenti minum merata-rata, mabuk rokok dan nescafe.

Semalaman yang manis.

Pagi Sabtu berikutnya kami bingkiskan Ed pulang berkelana ke selatan. Juga seawal 8.30 pagi setelah genap 24 jam rencana kami terlaksana. Setelah Ed hilang dari pandangan mata, aku dan Zin tersandar di bangku kereta, graf hormon adrenalin dan feromon kami menjunam jatuh. Zin bersuara dalam separa sedar,

"Manisnya... bagaimana boleh kulewati hari-hari tanpa celotehnya?"

Sial. Ya, bagaimana boleh aku lewati malam siang tanpanya? Ke mana harus aku pergi ketika aku juga sebenarnya sendirian dalam cinta yang tak kesampaian?

No comments: