Monday, March 23, 2009

duabelas malam yang jahanam

Ya, duabelas hari yang kejam. Duabelas malam yang jahanam. Tanggal tengah bulan itu semakin merapat sedang aku masih terperangkap dalam kitar kematian Elisabeth Kubler-Ross (1969). Seketika aku diguling dalam penafian, kemudian itu amarah tak tertahankan, kemudian itu terperuk memohon belas ehsan, dan yang terpaling sakit itu menampung kecewa yang bungkam mendukakan.

Aku tergaru-garu, perlahan-lahan mengengsot mendekati Ed. Dia sedang asyik memintal dawai, mahu dilentur dan dibentukkan menjadi aksara, terangnya. Dan kemudian itu mahu diikatkan pepatung dan dialirkan letrik. Entah untuk apa.

Aku terokai dewi itu sepuasnya dari birai mata hati. Aku lakarkan roman wajahnya atas kanvas fikiran. Pertama itu bulat mukanya, kedua itu garis simetri merentas dahi ke dagunya, kemudian itu surih buat horizon matanya, juga buat letak hidung dan bibirnya. Betapa sisi kiri kau egois, tapi sisi kananmu manja dan manis.

Aku pegang kepalanya kejap-kejap dalam angan. Aku kucup kedap-kedap dalam hati.

Satu. Dahi.
Dua. Mata kanan.
Tiga. Mata kiri.
Empat. Pipi kanan.
Lima. Pipi kiri.

Dan mungkin apabila dewi itu menggeleng-geleng mahu lepas, barangkali dia akan berkata, "Henti! Cukup satu kali!"

Ya, satu. Dahi.
Ya, satu. Mata kanan.
Ya, satu. Mata kiri.
Ya, satu. Pipi kanan.
Ya, satu. Pipi kiri.

Aku tutupkan mata. Aku ulangtayangkan rasa itu tiap satu per enam puluh minit. Aku perlahankan mosyennya... perlahan, perlahan, perlahan, dan akhirnya pegun. Aku tipukan minda separa sedar itu agar momen ini terbingkai sebagai realiti buat aku. Aku mahu manifestasi kasih sayang ini terbata bersama infrastuktur ingatan aku.

Selepas esok, aku harus maju ke fasa akhir kitar kematian itu.

Acceptance.

7 comments:

~imm~ said...

Ah.. penerimaan. Terima dalam terpaksa, setakat mana saja keikhlasannya?

Untung sungguh si dewi itu. Aku cemburu.

Artozy said...

imm,

aku juga cemburu dengan kemerdekaan hati kamu

~imm~ said...

Art,

Aku sudah beberapa kali melepaskan cinta. Sebab kalau cinta itu tanpa ikhlas, sekadar terpaksa, aku tak nampak bagaimana aku akan bahagia.

Aku lebih bahagia begini. Aku lagi sanggup bersendiri dari terpaksa berduka akibat cinta lelaki.

*ketawa*

Bahagia kita, kebebasan kita, letaknya di tangan kita, bukan atas belas simpati sesiapa. Itu yang aku percaya. Lagipun, aku yakin kesabaran aku akan Allah gantikan dengan ganjaran yang lebih baik dari apa yang aku lepaskan.

Aku doakan kamu bahagia dan dapat pengganti yang akan jadi bidadari kamu di syurga nanti.

Anonymous said...

Dan berhala itu
dititip
diraup
ditiup
dipuput
dilayur
dijirus
terus-terusan.

Ah, berhala dari sorga
asyik lagi mengasyikan.

-EZ-

hegira said...

mata kanan.
mata kiri.
pipi kanan.
pipi kiri.

ah seperti momen emelie dan kekasih hati!

aduh.

~imm~ said...

art,

pinta tukarkan nama link kepada imm ya. aku ada stalker sebenarnya, perempuan gila yang maukan buah hati aku. sebab itu aku x gunakan nama sebenar aku.

thanks art!

Artozy said...

ez,

ya, asyik.
tapi jangan sampai sesat hahaha!

alina,

emelie yang manis (juga seperti kau (agaknya))

;)

imm,

maaf atas ketelanjuran aku