Wednesday, December 2, 2009

bagai kiambang dilempar I

Aku tunduk tekur di pintu pagar itu, hati penuh belah bagi. Amat kepingin aku temui Ed selepas lima bulan aku dalam pelarian. Tapi pada kala yang sama, amat canggung aku hadapi Zin yang begitu pantas menjejaki aku.

Dua minggu sebelum malam semalam Zin dan aku berbalahan, bermakian, berkasaran. Hampir saja aku terajang perutnya kalau tidak kerana buku limanya yang lebih dulu hinggap ke batang hidung aku.

"Apa lagi yang kau takutkan? Jiwa kau sebahagian dia! Sisi feminin kau melengkapi maskulinnya! Tidakkah kau tahu, itu suatu pertalian rohani yang melangkaui percintaan laki isteri?"

Hujan rintik-rintik. Laung salam aku berselang-seli dengan azan Isyak yang berkumandang. Klise. Ini adalah babak lazim buat lelaki kecewa, tipikal dalam wayang gambar Melayu.

"Art!"

Aku mendakap Zin erat, antara kasih dan terima kasih lantas berkerasan membawa aku pulang. Ed juga maju bersalam lantas mencium tangan aku.

Ah, dewi. Telah diangkat rupanya pangkatku dari seorang sahabat kepada saudara. Telapak tangan kanan aku meraup ubun-ubunnya, mengalirkan kasih sayang sejernih air mata.

Telah aku terima cinta kau sebulat-bulat platonik, dik! Menyucikan idealisme cinta-romantik-semi-erotik dalam mimpi-mimpi pandir aku berpuluh tahun lepas.

Sehinggalah semalam.

1 comment:

Anonymous said...

kembali ke asal ;)