Thursday, August 12, 2010

ranap pertulang ijuk penebal

Bulan-bulan lepas aku berulangan ke kampung menemankan Ed. Dia binakan rumah buat Bonda, atas tanah pusaka arwah atuk yang dikongsi dengan dua lagi rumah PPRT balu arwah ngah dan arwah encik.

Muka pintu rumah baru itu betul menghadap jalan. Angin yang masuk juga langsung dari kubur, yang dulunya aku rasakan sangat jauh tapi sangat enak berjalan sambil lengan dikepit Ed tiap mengaji malam di surau tepi kubur itu.

Pernah, Ed masuk parit seberang jalan waktu dia mula belajar naik basikal. Aku yang menyorongnya turut terdorong, tapi sempat aku paut pokok buah pelir kambing di bahu jalan. Ed menggarung dalam pekik makinya yang tak terkendalikan. Bukanlah kerana sakit, tapi malu. Pantang tuk moyangnya dengan malu.

"Kau temankan aku ya, Art! Bonda dengar cakap kau."

Demikianlah aku berulangan ke kampung menemankan Ed. Kerjanya bertekak dengan Bonda dan cina kontraktor. Kalau Zin ada, dia akan diam. Kerana Zin pula yang lebih kerasnya. Kadang aku menggeleng, kadang aku ketawa. Yang selebihnya, aku pasti terpaksa buang rokok untuk meleraikan kelahi anak-beranak itu.

Kau tahu? Ada pertalian yang lebih baik kau tinggalkan tanpa nama.

Inilah antara satunya.

2 comments:

Anonymous said...

Masih membaca dalam diam dan senyap sunyi. Masih indah bahasa kamu Art.

:)

WL

Artozy said...

Aku juga masih sunyi, kak :)