Saturday, December 25, 2010

bayang-bayang sepanjang badan

Hening kampung ini sudahnya memberi kesan yang bukan-bukan pada aku. Aku kini bekerja secara haram di bengkel motor Peng, dengan upah kecil yang lebih bangsat dari harga buruh kasar. Airbrush painting yang biasa aku riaskan alur dan keluk Mean Streak atau tukun-tukun yang seangkatan dengannya kini telah menjadi syariat skuter-skuter mat hiphop kampung.

Bengkel motor Peng bukanlah di pekan, tapi depan rumahnya. Tanah tinggalan tuknya panjang jauh ke belakang, dan punya sela 50 kaki barangkali antara pintu jamban bengkel dengan pintu rumah. Bertuah sungguh Peng, punya tanah, punya kemahiran, punya isteri, punya anak-anak. Ya bertuah, lima orang semuanya.

Peng kawan aku sewaktu di Tabika Perpaduan Parit Keroma tahun 1982 dulu. Pada perasa(a)nnya, aku ini bisu kerana sangat kurang bercakap, lantas dialah yang tanpa semena-mena sering melantik dirinya menjadi jurucakap aku.

"Ingatkah kau budak perempuan yang kau sarungkan setokin di tadika dulu, Art?"

Ya, suatu hari ada seorang budak perempuan baru yang datang ke sekolah dalam pimpinan bondanya. Peng, aku dan sekalian yang lain sedang bersaf-saf ingin bersarapan. Bagaimana boleh aku lupa, perempuan itu yang terpaling cantik pernah aku lihat setakat umur aku waktu itu, betapa aku kagum dengan kulitnya yang seputih tauhu!

Tapi anak yang dipimpinannya jelas enggan, merentap-rentap tangan dari perempuan, meronta minta dilepaskan. Anak itu menangis tanpa henti, kemudiannya menjerit-jerit, membuang kasut dan setokin, mengocak marah di hati perempuan. Bila pujuk dan janji tak dapat meredakan, perempuan pun mencapai kayu memukul-mukul punggung dan betis anak itu semahunya.

Tak mungkin dapat aku ingat apa yang aku rasa, apa kasihankah atau hairankah? Sisi pemikir aku memang pada asasnya pengecut.

Malang oleh kerana tempat kami adalah sekolah, maka anak perempuan itu tetap ditinggalkan. Terpisat-pisat dia menyisakan tangisnya, dan kemudian dengan perlahan bersila di sebelah aku. Kami yang sedang menadah tangan untuk membaca doa makan terhenti semua, kerana dia langsung pula mencuba untuk sarungkan setokin dalam duduk silanya tanpa malu.

Itulah kali pertamanya aku, selewat usia 6 tahun melihat dekat seorang budak perempuan. Gaunnya kain kapas, petak kecil putih dan biru. Rambutnya pendek, tapi kaedah sisirnya belum pernah aku temu. Itu kerana rambut yang di hadapan dibelah tengah, tapi yang separas pusar pula disisir ke belakang, mungkin membayangkan rambutnya panjang.

Peng langsung mencari sikat di rumah dan memanggil anak perempuannya untuk digayakan rambut. Celaka Peng, aku ketawa hampir tersembam, hingga lecur betis aku melekat di ekzos.

Ah Ed, masih ingatkah kau dewi? Masa itu kau masih belum mahir menyarungkan setokin ke kaki sendiri!

No comments: