Wednesday, March 31, 2010

enggang apa kepada enggang

Subuh itu aku digegas Zin untuk menemannya. Aku lekas mengelak, tapi mengalah bila yang datang bersamanya itu Ed.

"Dan sebagai mahar, aku khairatkan kau sayap pari-pari warna merah hati dan sup babi dari Laos buat pengecut yang mendiami kolong ini." Zin.

Hahaha. Gampang.

Aku ketawa dalam kesakitan.

Sepagi itu aku kemudiannya terbengkalai di dinding Mahkamah Sesyen Putrajaya. Yang diizinkan masuk oleh Mahkamah Kanak-kanak itu adalah Hakim, Penasihat Hakim, Pegawai Pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, plaintif dan defendan. Juga Ed.

Diam aku juga masih dalam kesakitan.

Wednesday, March 24, 2010

bercintakan geliga di mulut naga

Akan aku lukiskan Seri Gumum, naga dari Chini itu, melingkar dari pundak lurut ke lurah susumu. Agar kau mendakap sejahtera, aman dipeluk maha cinta aku.

Thursday, March 4, 2010

bagai kelip-kelip terbang malam

"Kepastian apa yang kau cari dalam cinta?"

Dia yang sering memilih untuk melukakan hati sendiri. Dia yang memilih untuk berkorban tanpa henti. Dia yang memilih hanya untuk membahagiakan, serahsianya mengetahui bahawa kunci kebahagiaannya terletak dalam genggamannya yang satu lagi.

Ed,

Perjalanan yang turus lurus berkehendakkan kau maju ke depan. Kau bukan lagi di sisi bulatan, berlegar-legar menumpang teduh, maju dan mundur mengikut geraf emosi kau. Mengapa perlu kau buktikan pada dunia, bahawa pundak kau itu ampuh menanggung apa juga, yang terlisan di bibir atau yang hanya terkilas di hati.

Monday, March 1, 2010

air beriak tanda tak dalam

Dan seperti kerikil di jalanan yang kau kuis dengan selipar tapi terselip dalam sela jari kaki kau lantas kau memakinya. Dan kemudian kau keluhkan, "Akulah satu-satu insan yang sungguh malang takdirnya."

Ed tangan basah.

Kata Bonda, orang tangan basah ini sulit dan langsung cubaan hidupnya. Bagaikan satu sungai berliku yang bukan kepalang deras airnya dan lancip batu-batuan di dasarnya. Maka kerana itulah, sejak bertahun-tahun lepas, lena bangkit aku sentiasa dalam resah mengawas Ed.

Kata Bonda lagi, orang tangan basah ini doanya makbul. Lebih-lebih lagi doa Syifa' yang Bonda amanahkan bersama kitab Manzil. Di dalam perut toko buku Fajar Ilmu Baru (yang dulunya Pustaka Indonesia), aku menguis-nguis kerikil yang terselip dalam sela jari kaki aku sambil mencari kitab itu.

Aku memaki (diri sendiri) dan mengeluh (dalam hati). Betapa rindu ini menyakitkan!