Thursday, August 18, 2011

buruk, buruk kayu gaharu

Hari ini aku berfikir-fikir. Entah apa yang aku hasadkan dua bulan lepas. Yang aku tahu sumbernya lagu yang menjuarai Akademi Fantasia itu.

Hari ini juga aku berfikir-fikir. Betapa aku rindu kamu, Ed.

Sungguh, aku rindu menjadi pendengar pada cakap-cakapmu. Tiap aku menjingkit mengimbangi beg-beg plastik yang wajib punya Murtabak Singapura kegemaran kita, tiap bersama ke pasar lambak di bulan puasa dulu.

Walau apa sekalipun cakap-cakap yang kau bawa. Kadang tentang dajal, tentang Imam Mahadi. Kadang tentang buruj dan bintang. Tentang apa saja bahkan dari permainan khayalanmu semata-mata. Aku kini hilang teman bercakap. Bukan sekali teman buat aku cermin bercakap, tapi untuk aku mendengar.

Dari gegelang Zuhal hingga ke purnama Musytari, dan demi selagi ada hayat ini, akan aku junjung kebahagiaanmu.

Semoga di Ramadhan ini Allah memeliharamu. Dan semoga Dia mencintaimu, kerana Dia telah menjadikan sebahagian daripada cintamu itu, biarpun saudara, kepada aku keranaNya.

Wednesday, July 20, 2011

menahan lukah di penggentingan

Tiada kesal yang setimpal untuk kau ubahkan masa lepas, tiada juga khuatir yang sebanding untuk kau harapkan masa depan.

Tapi kau ada aku.

Biar bukan sebahagian masa lampau.
Atau masa tuamu.

Wednesday, June 22, 2011

agung susut pongah masih

Dan semua mereka pun membicarakan soal yang sama.

Soal cinta teragung itu pastinya bersifat ketuhanan, harus kerana soal cinta insani tidak sama sekali dapat dinisbahkan. Sekali pun semua mereka mengimani Tuhan, apa Al-Azim kah, apa Amaterasu kah? Atau Brahma yang bermuka-muka, empat semuanya? Apakah kita sekali-kali pernah menakluki hasad dan benci?

Dan tahukah semua mereka Za-kar itu Tuhan mimpi Babylon?

Bangsat.

Tuesday, May 10, 2011

kecil dikandung ibu

Hari Ibu itu aku bersama mak dan Bonda di kampung, di tahlil arwah abah Ed. Ya, pastilah Ed ada. Aku dakapnya dalam hati, cinta ruai melimpah ruah.

"Saling berjabat tanganlah kalian, nescaya akan hilang rasa dengki; dan saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian kalian akan saling mencintai dan akan lenyap rasa permusuhan (HR Malik)."

Thursday, April 28, 2011

gajah mati meninggalkan gading

Dan terjawablah persoalan aku menunggukan tulisan tentang Bapak Hamka olehnya. Ya mati itu pasti, Mawar.

Al-Fatihah buat Nafastari.