Friday, July 20, 2007

kembara jalanan

hidup ini aku umpamakan
satu jalan raya yang panjang
kadangkala lurus
berselekoh
banyak juga simpang-simpang
yang jalannya rata
berbukit
berturap
bertanah merah

bukan sekali aku sesat
jauh ke dalam simpang-simpang itu
ada kalanya sehari
sebulan
setahun
bertahun-tahun
sehingga kutemu jalan yang asal

hinggalah satu hari
jalan yang lurus dan berselekoh itu
membawa aku pada satu bulatan
yang memberi banyak pilihan
apa berpatah semula?
atau ke kiri?
ke kanan?
maju hadapan?

bulatan ini memberi masa
kerana aku boleh berpusing-pusing
sehari
sebulan
setahun
walau bertahun-tahun
hinggalah hatiku tetap
dan fikiranku waras membuat pilihan
ke mana arah perjalanan

lelah aku berlegar-legar
aku berhenti di tepi bulatan itu
memikirkan apa yang ada di dalam
hari lewat senja
bolehkah aku berteduh semalam?
entah mengapa
satu bulatan yang sangat asing
yang tak pernah aku jumpa sepanjang perjalanan
atau mungkin sedang aku cuba lupakan
begini rupanya
redup
selesa
umpama pernah aku berteduh di dalamnya

lama aku berlegar-legar
di sisi bulatan itu
namun tak kutemu jalan masuk
mungkin takdir aku tak mengizinkan
mungkin telapak kaki ini terlalu kotor
dengan debu
duri
lumpur
kembara jalanan
betapa aku mencari satu perhentian

kugagahi jua
kerana perjalanan kali ini amat berbeza
kerana aku bermula di sudut bulatan
yang mengizinkan aku ke mana sahaja
berpatah semula
ke kiri
ke kanan
ke hadapan
walau ke mana
untuk aku habiskan sisa perjalanan

agak tak tersia

april 2007

No comments: