Saturday, July 21, 2007

tergamak kau eric?

Petang tadi Ed datang. Lagaknya sober, tapi bila mulutnya tak lincah memperbodohkan aku dengan algoritma-algoritma Artificial Intelligence seperti yang selalu dibuatnya.. aku dapat meneka. Somehow bukan k-Nearest Neighbor atau Hill-Climbing atau Kalman filtering atau lancau-lancau lain yang cuba ditipunya pada aku.. tapi apa yang terbungkam dihatinya.

Aku malas nak bertanya banyak.. kerana kalau setakat betapa cinta dan rindunya pada Eric, aku baru saja muntah darah tengahari tadi. Cemburu aku, benci aku pada Eric, tahap agung! Tapi atas dasar cintaku yang tak berbelah bagi pada Ed, walau hanya bertepuk sebelah tangan.. aku setia di sisinya. Soalan mukadimahku satu, apa yang sanggup dia lakukan pada Eric agar menerimanya?

"Aku akan sujud dikakinya agar tidak meninggalkan aku!"

Jawapan Ed membuatkan aku terpempan. 15 tahun pencarian yang sia-sia, memang aku nampak kecewa pada garis-garis tua di matanya dan urat-urat hijau yang timbul di belakang tangannya. Tapi soalnya Ed, Eric ini bukan Eric yang kau tinggalkan dulu.. Eric ini Eric jelmaan! Yang kalau benar tulen sekalipun telah terpakai cintanya untuk seorang wanita lain.

Hell Ed, hidupnya sempurna dengan isteri dan cahayamata. Kau yang dah hampir buta dengan kenangan silam, pandangan kau berbalam-balam dengan sisa-sisa cinta dan carik-carik kasih.. Yet kau.. kau... kau sanggup sujud di kakinya minta tidak ditinggalkan? Kalau benar sekalipun kau tidak ditinggalkan, di mana agak-agak letaknya kau dalam riwayat hidupnya? Kekasih gelap? Perempuan simpanan?

Hati aku hancur untuk kesekian kalinya. Tapi bila aku tenung rona coklat matanya, tanpa kelim, sepet kecinaan.. aku kalah. Aku kalah pada cinta gabannya pada Eric. Kelak akan aku buktikan betapa gaban kuasa duanya cinta aku pada dia. Kasih aku biarkan dia melayan perasaan sambil dia mengira-ngira atas kertas. Begitu banyak angka, ratus, ribu, juta.. Oleh kerana aku pasti itu bukan nombor ekor, jadi aku malas bertanya. 5 minit, 10 minit, 15 minit, 20 minit..

Akhirnya Ed bersuara. Katanya Eric meminta dia buat keputusan tentang hubungan mereka. Katanya lagi, Eric sedia menerimanya pada bila-bila masa, dalam dua keadaan. Pertamanya Ed harus datang sebagai suri kedua kerana Eric benar telah menyintai wanita yang datang selepas Ed itu. Keduanya Eric hanya akan datang apabila Ed lepas bebas dari perjanjiannya dengan tuan tanah. Tuan tanah? Argh tuan tanah yang membelinya dengan harga 20 ribu tu? Ini bukan masanya aku berteleku memikirkan soal tuan tanah Ed, mungkin pada hari lain.

Soalnya sekarang adalah Eric! Kalau benarpun itu pilihan yang kau beri, kenapa sekarang? Tergamak kau meletakkan pilihan pada saat hati Ed baru menguntumkan bunga cinta? Tergamak kau asak hati dan akal lemah wanita malang ni untuk menimbang sendiri soal hidup atau mati seketul daging dalam tubuhnya yang bernama hati? Tergamak kau biarkan harapan gilanya untuk memenangi cinta kau itu meratah hatinya mentah-mentah? Tak cukupkah dengan deritanya?

Ke mana kau Eric di saat kekasih kita memerlukan kau? Kenapa kau benarkan dia hidup kosong tanpa cinta.. hanya kerana pick gitar kapok kau yang dipulangnya? Kenapa kau tak pegang dia kuat-kuat hinggakan dia lepas dihanyut arus lain yang lebih deras? Hinggakan dia terjual? Masih engkau berkira dengan cinta kau yang entah sebesar hama?

Hatinya... hatinya Eric, biarpun kosong tanpa cinta kau, adalah satu-satunya kelongsong yang ada untuk menghubungkan dirinya sekarang dengan Ed yang kita kenal 15 tahun yang dulu. Seharusnya.. inilah masanya kau bela hatinya, kau pupuk cintanya, kau semaikan kasih, hingga bercambah, berdaun dan berbunga... kerana mati hanya datang sekali..

No comments: