Sunday, August 26, 2007

lesu! buntu!

Semalam, sepetang aku meneman Ed di rumah anak-anak yatim perempuan di kampung. Ed cuma datang melawat rumah yang pernah didiaminya seawal kematian arwah abahnya.

"Aku setuju kerana mak menjanjikan aku sebuah basikal."

Senyumnya pahit. Kami lesu melayan fikiran masing-masing, sambil berkongsi ruang padang makan aiskrim Mat Kool bersama lebih kurang 30 anak-anak yang menghuni rumah itu. Pantas aku teringat kali pertama Ed bersalam dengan ayah (ayahku seorang tentera lantas jarang berada di rumah).

"Pakcik, saya anak yatim... boleh ikut At panggil pakcik ayah?"

Hatiku rusuh. Seumur hidupnya menagih perlindungan dan cinta, hatinya bertaut dari satu lelaki ke satu lelaki. Tapi kesemua cinta itu menemu jalan buntu, dan walau setelah 15 tahun, masih nama Eric terbit dari bibirnya, masih demi Eric manik airmata berjuraian di pipinya... masih Eric!

"Art, di tebing batu itu aku dan Eric bercerita... tentang Chow Sin Chi, tentang death metal, tentang demonic chant ia iak sakkakh iak sakkakth ia shaxul ia kingu ia cthulu ia azbul ia azabua, tentang Dean Koontz, juga tentang soal hati, betapa aku akan mati tanpanya..."

"Art, di bangku kayu itu Eric tidur... saban malam berselimutkan angin, berbumbungkan langit, berkawankan unggas, juga menghitung saat untuk kembali berjumpa aku pada esoknya, betapa kami masih rindu walau setelah seharian bersama..."

"Art, di kaki lima itu aku dan Eric berjalan... berpanas, berhujan, berpeluh, berlapar, bergurau, berdebat, berjenaka, betapa kami tidak peduli mencari perhentian untuk melepaskan lelah..."

"Art, aku cintakan Eric!"
"Art, aku rindu padanya!"


Ed, dengari jeritan nuraniku bahawa aku mencintai kamu!

No comments: