Wednesday, January 2, 2008

padaku

Pertemuan dengan Ed semalam sangat manis. Rasionalnya telah mula bertunjang, emosinya terlipat kemas. Perjuangan akademiknya telah berakhir sekaligus membuka lembaran baru dalam tekadnya mencari rezeki halal di dunia, menghindarkan diri dari mengemis dan meminta-minta, mencukupkan keperluan keluarganya serta berbuat baik terhadap jiran-jirannya. Pada pundaknya itulah tertanggung semua.

"Tahun baru menjanjikan seribu harapan", katanya.

Maka Eric?

"Akan kucari jalan yang sunyi. Ini bukan perjuangan cinta lagi. Ini perjuangan rohani, antara aku dan aku."

Ed kemudiannya bercerita tentang plot jahat Umar Umayah yang mencukur sebelah misai dan sebelah janggut raja Parsi yang mengaku Tuhan, membina kerajaan semegah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Dan kemudian bagaimana Umar membunuh dan mengerat tubuh badan Bakhtik si menteri, lalu dimasakkan menjadi bubur lambuk hidangan raja.

Aku tekun mendengar, bukan kerana Hikayat Amir Hamzah kesukaannya itu, tapi mencari sumbang pada nada suaranya andai ada sekecil-kecil sedu tangis. Tiada!

Membujur lalu, melintang patah. Hatiku rawan melihatkan semangatnya.

No comments: