Monday, May 26, 2008

bukan lampu jalan, tapi bulan



Di sana pungguk menanti,
Mengharap bulan membalas rindu di hati,
Di sini aku berdiri,
Menunggu penuh dengan kesabaran.

Aku merangkul mimpi-mimpi dunia naif, yang mana akulah antara jiwa yang menjadi korban masa silam, hampir aku putus asa pada cinta.

Cinta.

Aku tak betah lagi mempersoalkan tentang cinta. Lelah mendebatkan dukaku menyangga takdir. Tikaman aku hanya membelahkan angin ke dadanya, sedang luka berterusan berdarah dan takdir itu tidak terkesan untuk berubah.

Korban cinta. Aku atau dia?

"Menjadi korban itu adalah pilihan manusia sendiri. Pengorbanan dan penderitaan tidak tertakluk di tangan takdir, tetapi di tangan kamu!"

Mungkin.

Mungkin Ed tidak memilih penderitaan yang mengorbankan hatinya, jiwanya, raganya. Mungkin juga dia cuba bertahan, melawan... malah mungkin juga dia masih berpaut pada kepercayaan tentang kewujudan harapan, maruah, dan kebahagiaan masa depan.

Tapi... menjadi korban itu suatu godaan, kerana ia merupakan pembebasan daripada tanggungjawab dan perhatian. Ia adalah titik di mana ketakutan mengambil alih formasi kegagalan, dan kegagalan (demi cinta) itu tidak lagi memberi kesan rasa bersalah. Kerana kekecewaan itu tidak wujud, kerana kemarahan juga tidak wujud, hanya belas ehsan pada diri sendiri. Kononnya jiwa berteriak tanpa suara,

"Kasihanilah aku, cinta menindasku begitu kejam!"

Dan kemudian, tinggallah hati itu sendirian, tersudut dalam kelam. Mencari cahaya tidak lagi sesuatu keperluan, cukup sekadar diam. Apa lagi yang memberi makna, bukankah Ed hanya melihat dirinya sebagai korban cinta?

Kau yang bersembunyi di balik lara kekecewaan, sedang kunci kebahagiaan itu dalam genggamanmu. Kau yang melihat dirimu sebagai korban, sedang jiwa-jiwa selainnya kelemasan dalam pelukanmu.

Akan kukota janji kita,
Mendirikan Taj Mahal cinta,
Seteguh kasih Shah Jahan kepada Mumtaznya...

No comments: