Tuesday, August 19, 2008

ed dan kari II

Yang sebetulnya kari Ed pada malam minggu lepas adalah cubaannya yang terbaik. Sedang aku memuji-muji enak karinya, dia pula memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memasak kari. Anak matanya bercahaya kala dia bercerita, dan hati kecil aku yang sepatutnya membisikkan syukur atas nikmat rezeki ini terdetik,

Jahanam (suapan kali pertama)...

Zin (suapan kali kedua)!

Ya, aku hanya mengenal berus-berus melukis dari pelbagai sumber bulu, dan bukannya kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih atau buah pelaga. Dan ya, aku juga yang menyorong jabat mereka kali pertama. Zin ini membawa kesan bukan-bukan pada Ed. Pertamanya itu masak kari. Keduanya itu memandu kereta manual. Kereta manual?

Petang semalam aku singgah lagi hantar basikalnya yang pancit pula. Telah pun aku isikan angin. Ed menyapa riang dari belakang sebelum daun pintu itu sempat kukuak.

"Art, hari ni bawa kau jalan-jalan ke bukit Universiti!"

Aku gamam. Ed memusing-musing kunci kereta di hujung jari telunjuknya. Mata dan kaki aku seiring menuruti langkahnya ke kereta Iswara putih yang rongak tanpa bumper depan. Aku tak sempat mentertawakan bumpernya, kerana mata aku terlebih dulu menginterpretasikan batang gear Iswara itu sebagai gear kereta manual.

Juga sebelum sempat aku memuji-muji pandainya dia mengimbangkan pedal klac dan minyaknya, dia memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memandu manual. Bibirnya basah dengan celotehnya berpesan,

"Kalau enjin terhenjut-henjut, kena tekan klac cepat-cepat!" Kali ini hati kecil aku berdetik lagi,

Jahanam (henjut kali pertama)...

Zin (henjut kali kedua)!

2 comments:

S.YanaZ said...

Art,

ha.ha.
*whoaaa*

Artozy said...

*whoaaa* yana,

aku pasti kali ini bukan untuk Amy Search atau aku tapi Remi!