Thursday, October 16, 2008

helmet dan cinta

Kalau dulu, terpaling jauh aku bermotosikal tanpa helmet adalah dari Loke Yew ke Sungai Besi. Zaman itu zaman miskin. Aku melukis pasu-pasu bunga di tapak semaian, citra kuda laut bercatkan emas.

Suatu hari, di tapak semaian itu Ed datang dalam tangis yang panjang, mengadukan penganiayaan tuan tanah ke atas dirinya. Oleh kerana helmetku murah, tentu sekali yang pecah itu adalah helmet dan bukan kepala tuannya.

"Pengabdian seorang isteri pada suami bukan dalam cintanya, tapi taatnya!"

Persetan!

Dan di zaman itu juga, membeli helmet baru bukanlah kemampuanku serta merta.

Semalam adalah dejavu hari itu. Ed kembali padaku dalam sugul yang lara, membentak takdir yang menitip sunyi ke hatinya. Tatkala kami melepasi tol Sungai Besi, rasmilah catatan terbaik aku. Hatiku memurnikan alasan, ini bukan bermotosikal tanpa helmet, ini namanya bermotosikal demi cinta!

Sungguh, menjadi seorang pencinta itu adalah mudah, kerana modalnya hanya cinta. Tapi untuk membuktikan cinta itulah yang payah, lebih-lebih pada sang dewi yang telah mati hatinya dilumat sunyi.

"Setelah hampir kesemua nod-nod dalam Hidden Markov Model itu kuteroka, tetap, sunyi melemaskan aku sedang aku masih tercari-cari nod yang terakhir."

Ed, iradat cintamu telah lama terbata. Nod terakhir itu tak mungkin dapat kau temui. Kerana jalan keluar itu tidak wujud, kerana kembaramu itu tak mungkin tamat, selama kau menidakkan cinta (Dalam hati: aku pada kamu).

Maknai rasaku ini dengan satu pengertian, bukan sumpah ketaatan.

8 comments:

Anonymous said...

Indahnya bahasa kau kawan .
Aku ni takder lah suka sangat bahasa berbunga, rimas . Tapi bahasa kau ni indah dan senang faham.
Mana nasik kosong dengan telur goreng ?

"The Barbarian"

Artozy said...

hahaha! kau rupanya!

Anonymous said...

Nasib kau ingat , kalau tak ngan kau kau sekali aku NGAP !
boleh tak kau tulis pasal
Bandar Maharani, daerah kelahiran kita ?


"The Barbarian"

l.i.f.e said...

terkesan membaca entry entry kamu
semoga semua yg diinginkan akan dapat dicapai satu hari nanti

utopia said...

hai salam kenal...
emm semoga semua yg diinginkan akan dapat dicapai satu hari nanti

Artozy said...

j barbarian,

aku pasti akan tulis tentang bandar maharani. tentang ed, kau, termasuk awek-awek lain. hahaha!

life,
utopia,

amin... terima kasih kerana mendoakan.

rudy bluehikari said...

Cantik dan mulusnya bahasamu. Terkesima aku. Aku tidak mampu sebaik bahasa tinggimu.

Artozy said...

rudy,

terima kasih (dalam ketrwa kerana aku lebih menyukai gaya bahasa kau yang lebih membuai).