Monday, October 20, 2008

laut budi tepian ilmu

"Art, aku cantik?"

Kau mahu aku lukakan hati kau?

Dua hari lepas adalah hari konvokesyen Ed untuk PhDnya. Dia menggayakan bonnet baldu hitam itu pelbagai aksi: gaya ilmuwan, gaya politikus, gaya penggoda, gaya penari erotik, juga gaya Cikgu Bedah (Adik Manja, 1980).

Ini adalah majlis penganugerahan sijil keempatnya yang aku hadiri, tidak termasuk commencement Michigan Tech untuk ijazah sarjana mudanya dan juga UKM untuk ijazah sarjananya. Yang terdahulu itu aku tiada kerana majlisnya di seberang laut. Yang kemudiannya itu dia telah dalam akad dengan mantannya, tuan tanah.

Keempat (dalam hati) sambil aku menghitung jari. Phd di Putra, Diploma di Yayasan, SPM di Maresma, juga Tabika Perpaduan di Parit Keroma. Hanya dan hanya di Taman Bimbingan Kanak-Kanak itu aku hadir sebagai penerima sijil setara, manakala yang selebihnya aku dipinta hadir menghantar bondanya.

"Kamu ni At, kalau cerdik boleh jadi teman berunding, kalau bodoh boleh disuruh diarah," kata bondanya sambil mencium dahiku 20 tahun lepas.

Kerja meneman ini tidak pernah menjadi masalah buat aku, malah aku bahagia merengkuh kenangan bersamanya. Tanggal 13 November 1982 itu, kami berpimpinan tangan naik ke pentas. Dia terkesot-kesot kemalu-maluan di belakangku, lantaran nama kami berpangkalkan abjad yang sama.

Bermula 27 tahun lalu, aku adalah sebahagian daripada legasi ilmunya. Bermulanya di situ, aku mengendong cinta buatnya.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Dr. We are what we choose to be, kan?