Thursday, January 15, 2009

dinamika cinta

"Hidup ini tidak statik," kata Ed. Kemudiannya mencangkung di sisi aku sambil menghulur nasi bungkus. Kami ke tapak lama keretapi di Tanjung Emas, hujung dua minggu lepas.

Beriani gam kambing? Bukankah kau vegetarian?

"Seperti menstruasi, aku non-vegan bulanan! Tiap menjelang maskara aku akan merdeka."

Maskara yang itu. Ah, dewi ini juga sudah piawai bermaskara yang lagi satu. Piawai merias sebetulnya, dari kening jatuh ke kuku. Tas tangan tiap berpergian itu pastinya akan sedondon dengan sepatu. Langkahnya rapi, melenggok-lenggok manis, tidak lagi terenjut-enjut bahu. Hanya yang lestari itu adalah resminya merokok sambil memandu laju, sambil juga memaki hamun pengendara lain konon membuktikan betapa Melayunya dia.

"Ed memang gila dan tak guna." Andong.

Ed ini sangat ekstrem dalam membuat perubahan. Berterusan mencabar dirinya. Berlarutan menukar topengnya. Perubahan itu adalah suatu kemestian yang tanpanya, hidup dicemuhnya statik lantas tidak bermakna. Barangkali tempatnya itu lebih cocok di atas pentas, tapi bagaimana kerana dia tidak melakonkan watak selain dirinya?

Titik tumpu keghairahannya itu adalah menghidupkan watak-watak baru dalam diri, andai suri maka suri, andai ibu maka ibu, andai kekasih maka kekasih. Dan itulah yang paling menakutkan aku. Kerana pada tiap watak itu, dijiwai sesempurnanya, hinggakan keterlaluan hati aku mengeluh dan berbisik (lagi dan lagi),

kalaulah, kalaulah... kalaulah itu dirinya yang asli...

"Hidup adalah perjuangan terus-menerus untuk mandiri," kata Ed. Kemudiannya berdiri sambil membaling bungkus nasi ke dalam parit. Kami ke tapak lama keretapi di Tanjung Emas, hujung dua minggu lepas.

No comments: