Friday, April 3, 2009

penghalang

Dan di suatu hari yang lain pula, aku terlambat mengambilnya dari sekolah. Adalah menjadi kesukaan aku memboncengnya, menyusuri jalan-jalan lengang melepasi kem askar wataniah, masjid daerah, istana hinggap, pejabat tanah, jeti, jambatan, pasar basah, dan akhirnya pulang ke rumah.

Tapi malang hari itu aku terkandas di kedai bingkai gambar tempat aku bekerja. Selesai mengecat, aku bergegas berkayuh ke sekolahnya. Ed sedia menarik muka masam setibanya aku di pagar. Lebih sial lagi, oleh kerana rajuknya telah berganti marah, dia merempan-merempan di boncengan. Sedang aku tersenget-senget mengimbangi, kaki kanan dewi itu pula tersepit di roda!

Ed terjerit-jerit, menumbuk belakang aku minta berhenti. Malah aku juga turut menjerit, takut yang keterlaluan lantaran dewi itu kesakitan. Mungkin aku belum merasakan takut mengabul ijab di pernikahan, tapi aku amat pasti takut ini adalah rasa terpaling asli. Barangkali lebih menakutkan daripada berkhatan!

Aku segera rebahkan basikal di bahu jalan depan kem askar wataniah itu. Tapi kala aku keluarkan kakinya penuh nyeri, dewi itu tidak sekali menangis, hanya cabul memaki aku. Persetan, aku berlari sekuatnya menuju ke jalan besar sebelum aku kembali bawakan beca buatnya. Kali ini makinya berselikan carut, kerana aku hantarkan dia pulang dengan beca bersama basikal tersendeng di kaki.

"Macam sarkis, bodoh!"

Aku telankan tawa aku jauh-jauh ke dalam perut tapi tersedak. Dewi itu turut ketawa, membasikan ketakutan aku. Pas beca itu bergerak, aku berlari-lari anak mengekornya dari belakang.

Hingga ke rumah.
Hinggalah sekarang.

2 comments:

Anonymous said...

Dan, pimpinlah tanganku,
agar
aku
bisa
mencari jalan pulang...

-EZ-

Artozy said...

mencari kau,
berselopong dalam denai hidup,
akhir aku temui,
dalam mimpi.

pun bertemu kau,
bertelanjang dalam mimpi,
mengapa masih aku,
tercari-cari.