Monday, April 6, 2009

satu

Aku pasti dia adalah isteri aku di planet Zargus. Atau di empat kelahiran lepas.

Andai dia mati hari ini, atau esok, atau lusa, walau aku tak tahu, nescaya akan aku cari kuburnya. Kemudian itu aku akan menangis puas-puas di kepala kubur itu, dan kemudian itu akan aku ceritakan kisah pokok-pokok, kisah arkeologi, kisah misteri alam, kisah sejarah.

Dan kemudian itu aku menangis lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.

Hingga hilang kisah pokok-pokok, kisah arkeologi, kisah misteri alam, kisah sejarah.

Kisah aku.

Sunday, April 5, 2009

titik

Ego aku stress. Tapi entah kerana mengusahakan yang minimum atau yang maksimum.

Friday, April 3, 2009

penghalang

Dan di suatu hari yang lain pula, aku terlambat mengambilnya dari sekolah. Adalah menjadi kesukaan aku memboncengnya, menyusuri jalan-jalan lengang melepasi kem askar wataniah, masjid daerah, istana hinggap, pejabat tanah, jeti, jambatan, pasar basah, dan akhirnya pulang ke rumah.

Tapi malang hari itu aku terkandas di kedai bingkai gambar tempat aku bekerja. Selesai mengecat, aku bergegas berkayuh ke sekolahnya. Ed sedia menarik muka masam setibanya aku di pagar. Lebih sial lagi, oleh kerana rajuknya telah berganti marah, dia merempan-merempan di boncengan. Sedang aku tersenget-senget mengimbangi, kaki kanan dewi itu pula tersepit di roda!

Ed terjerit-jerit, menumbuk belakang aku minta berhenti. Malah aku juga turut menjerit, takut yang keterlaluan lantaran dewi itu kesakitan. Mungkin aku belum merasakan takut mengabul ijab di pernikahan, tapi aku amat pasti takut ini adalah rasa terpaling asli. Barangkali lebih menakutkan daripada berkhatan!

Aku segera rebahkan basikal di bahu jalan depan kem askar wataniah itu. Tapi kala aku keluarkan kakinya penuh nyeri, dewi itu tidak sekali menangis, hanya cabul memaki aku. Persetan, aku berlari sekuatnya menuju ke jalan besar sebelum aku kembali bawakan beca buatnya. Kali ini makinya berselikan carut, kerana aku hantarkan dia pulang dengan beca bersama basikal tersendeng di kaki.

"Macam sarkis, bodoh!"

Aku telankan tawa aku jauh-jauh ke dalam perut tapi tersedak. Dewi itu turut ketawa, membasikan ketakutan aku. Pas beca itu bergerak, aku berlari-lari anak mengekornya dari belakang.

Hingga ke rumah.
Hinggalah sekarang.

Thursday, April 2, 2009

di

Dan suatu hari itu, Ed merajuk. Kerja rumah lukisannya yang aku siapkan digumal-gumal lantas dibaling ke kepala aku. Walau nakal, dia lengit diejek. Baran. Seharian aku mengejeknya kerana dilantik menjadi pengawas di sekolah agama kami.

Natijahnya, dia mencium pipi aku sedang aku menangkap ikan di baruh. Di depan kawan-kawan. Malunya rasa ditelanjangi, diarak, dan dialun-alun. Rasa aku berbaur, ekstatik tapi juga sedar dia sekadar menganiayakan aku saja.

Dia adalah seri dewi malam aku.

Yang tak pernah dapat kuingat paras rupanya, yang sentiasa berubah gerak lakunya, yang sering meninggalkan aku tertanya-tanya.

Seri dewi malam
Tabir gerbang alam
Dikau kawanku setia
Simpankanlah rahsia janjiku dan dia

Wednesday, April 1, 2009

tengahnya

Ed itu di waktu anak-anaknya dulu hitam. Dan gemuk. Hitam kerana sering berpanas meredah paya belukar dan melecek selut di Tanjung Ketapang. Gemuk pula kerana bondanya amat suka menggaring lempeng dan merebus ubi.

Bondanya seorang balu, juga tukang jahit. Pakai aku pada masa-masa itu, walau kotor dan lusuh, tak pernah koyak. Butang baju aku juga sentiasa cukup, malah kelengkang seluar aku juga tak pernah sempat lompang seharian.

Bonda juga menjahit seluar tidur untuk kami, asal dari kain batik buat Ed, dan kain pelekat buat aku. Hinggalah sekarang. baju melayu teluk belanga aku sentiasa sedia menjelang hari raya. Kain entah jenis apa, entah warna apa. Bonda pilih mengikut seleranya.

Di kalangan saudara dan jiran-jiran kami, Edlah yang terpaling comot. Satu-satunya budak perempuan yang berpanau, di muka dan di lengan. Guraunya sejak kecil penuh muslihat, juga sangat ektrem. Tiap diejek kerana bersama aku bermain guli dan bukannya anak patung, dia memaki kembali,

"Hoi! Kalau bapak kau mati, kau ingat mak kau belikan kau anak patung?"

Ketawa.

Ah, Ed. Kau bagaikan bola getah, yang memantul bila dibalun kuat. Bukan seperti bola tanah liat yang menempel!

"Aku tak cantik, miskin pula. Kalau aku tak pandai, mahukah kau berkawan dengan aku?"

Lebih dua puluh tahun berlalu, tiada bedanya dia. Gigi depannya masih senget, urusan kewangannya jahanam, panau di badannya walau telah hilang, kini bergantikan selulit. Masih, aku menjunjungnya lebih dari seorang kawan.

Penuh cinta.
Dan taksub.