Sunday, November 25, 2007

bahawasanya

"Nampaknya kau kena tukar blog-awek-aku kepada blog-awek-awek-aku."

Suara Ed menyinggah di cuping telinga aku dalam kemam bibirnya menyalakan api rokok. Ya Tuhan! Rambutnya! Dua inci sahaja yang tinggal dari kulit kepala? Secara automatik aku menggaru kepalaku yang tidak gatal, sebenarnya mencongak-congak panjang rambutku yang kukira lebih seinci darinya. Aku pantas melarikan pandangan sedang dia mencangkung di sebelahku, konon-konon tidak heran dengan perubahan melampau itu. Turut melampau adalah ketagihan rokoknya yang dulu benar aku terima, tapi kebelakangan ini agak keterlaluan bagai sedang membunuh dirinya dalam diam.

"Lagu Rossa tu... dari Eleanor?"

Aku masih batukan diri sambil menconteng-conteng kanvas dengan warna-warna hati yang rusuh. Degup jantungku kencang dibebat bimbang. Aku tahu sebahagian daripada hatinya sedang memberontak minta dilepaskan, lepas bebas dari bayang-bayang cinta Eric dan persahabatan surinya Eleanor. Bahagian hatinya itu sedang berterusan mencari sumber, mencari alasan untuk melukakan diri sendiri, berterusan membunuh sebarang harapan pada cinta Eric. Bahagian hati itu juga tersangat lemah dan hampir buta penglihatannya pada zat cinta, hanya melihat kedukaannya sendiri dalam rindu dan lelah menunggu Eric, mengharap cintanya, menantikan belaiannya.

"Sungguh tak kelakar, mungkin kelak aku akan kehilangan kau di tangan Eleanor sebagaimana Eric! Benarlah semua lelaki hanya berkehendakkan perempuan yang cantik-cantik dan manja-manja belaka."

Aku berpaling merenung matanya tanda membantah. Hatiku segera melafazkan ikrar setia cintaku padanya, tapi mulutku terkunci. Kami saling bertenungan walau pada akhirnya aku kalah dan aku kembali mematikan pandanganku ke dada kanvas. Ah Ed, kau terlalu mengambil mudah urusan kebajikan hatimu dan hanya memikirkan perihal orang lain. Persetankan yang lain, tumpukan hanya pada satu, kalau Eric maka Eric, kalau aku maka aku, bahkan sesiapapun jua yang kau pilih. Tapi hati... kalau kau berterusan mencintai yang lain dalam pada yang sama berkerasan menidakkan cinta untuk sendiri, kelak akan mati!


"Art, sebahagian daripada hatiku ini sedang cuba sekeras-kerasnya untuk percaya bahawa akulah dewi cinta dalam hatinya, yang aku dan hanya aku yang wujud memenuhi tiap ruang akalnya, jasmaninya, rohaninya, nafsunya. Tapi hakikatnya amat sukar untuk aku tipukan pemikiran dan hatiku, apabila hakikat pancainderaku menafsirkan semua yang sebaliknya..."

Buktikan padaku kukuhnya pasak cintamu, Ed!

1 comment:

andongsari said...

Kenapa Ed cantas rambut ke 2 inci? Kecewa? Lepas geram? Atau saja nak bagi Art meluat? Maybe saja suka suka? Macam mana rasa? Lega?