Tuesday, November 20, 2007

mata hati

Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bila mana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Bait-bait irama dakwah itu terngiang-ngiang di gegendang telinga aku selepas setengah hari membasahi bibir Ed. Tak jadi balik ke kampung, aku diminta menemannya ke mana-mana. Ke mana-mana kerana dia sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju, ke hilir atau ke hulu. Mungkin juga selebih lirik itu menyindir aku.

Aku patuh memandu keluar masuk lebuhraya dengan pelbagai rupa kiosk tol yang tak pernah aku jumpa. Cuma dua perhentian yang aku buat, satu di Awan Besar membayar hutang makannya yang-entah-bila-dan-makcik-toke-kedai-pun-dah-lupa dan lagi satu meneman dia meneman Eleanor makan tengahari tapi-yang-ini-sekarang-dan-aku-suka. Dalam perjalanan balik dia menanyakan aku,

"Art, apakah yang lebih penting? Aku atau nyawamu?"

"Tentulah nyawaku!"

Ed diam. Tiada riak marah, tiada riak kecewa, jauh sekali merajuk. Roman wajah ini yang paling aku benci kerana ia tidak bersatah lantas sukar untuk aku tafsirkan andai ada lengkok, kelok, belok, lekuk, liku, cembung, cekung, mungkum, jeluk, kerut, ikal, melentik, kerinting, bulat atau sfera emosinya di dalam. Roman wajah ini aku panggil muka-pegi-jahanam. Malangnya bukan dia, tapi pasti yang terdekat iaitu aku.

Bodoh Art! Kalau mahu berhenti menyintai orang, jangan sekadar menutupkan mata kerana ia masih membukakan pintu hati!

Lekas bukakan matamu Ed, sedarlah bahawa nyawaku itu adalah kamu!

No comments: