Tuesday, August 26, 2008

kecanduan

Aku keluar minum dengan Zin malam semalam. Bagaikan katak ditimpa kemarau, dia pantas mengadukan kemarau di hatinya. Tiada yang mengejutkan aku dalam keluh kesahnya tentang Ed. Darah Aquarius perempuan itu sering menuntut perubahan, sedangkan darah Taurus Zin berkerasan mengekangnya.

Status-quo tidak wujud dalam kamus hidupnya, bai! Bagaimana mungkin satu kapal dua nakhoda?

Kami keresahan. Saat ini aku metaforakan umpama bangkit dari mimpi. Kami ketelanjuran mendampinginya dengan sepasang mata rabun di bawah minda yang separa sedar. Saat ini juga aku rasakan sudah terlambat, untuk kami bina self-defense mechanism seumpamanya bagi menghadapi kebarangkalian kekecewaan.

Amarah kecewa
Meleleh dari rongga
Bergenanganlah hampa
Melemaskan jiwa

Kami juga sebenarnya kecanduan. Dilukakan itu benar menjadi suatu ketagihan kerana berada di sisi Ed sahaja itu sendiri melekakan. Hormon-hormon badan bergelandangan merembeskan endorfin, menerbitkan euphoria bahagia.

Logik ketagihan nikotin, misalnya, berdiri atas premis yang sama. Bahagia itu hanya terkesan sementara, sebelum graf endorfin menyusut. Setelah susut, maka jiwa rasa kosong dan ketagihan endorfin itu kembali memulakan kitarannya. Apa Ed itu seperti nikotin? Atau Ed sendiri adalah endorfin?

Ed memang kukenal dengan ending biasnya, tapi urusan penoktahan ini terlalu tergesa. Lebih kepada tidak adil sebenarnya, memandangkan Zin ini pesakit jantung!

"Kau tahu Ed sekarang adalah vegetarian dan non-smoker?"

Gampang Zin! Kau tahu kerana kau jugalah aku dipaksanya minum jus lobak dan daun saderi?

Monday, August 25, 2008

warna-warna kamu dan aku

Mabok kepayangku memuntahkan radang. Dinding plywood stor melukis aku kopak kuterajang.

"Hidup ini terajunya adalah akal. Kesedaran tentang hakikat kewujudan itu sangat penting. Wujudnya cinta, misalnya, untuk apa, untuk siapa? Kemudian itu barulah kamu layak mempersoalkan tentang hakikat kepercayaan. Mempercayai cinta, misalnya, apakah perlu bukti? Seandainya perlu membidas ragu, maka harus diyakini dengan bukti sebagaimana asli?"

Aku tintakan kata-kata itu ke dada plywood dalam dua warna. Merah dan biru. Pada warna merah itu aku serukan keberanian dan ketegasan buat akal yang menimbangkan pasak keputusan. Kemudian itu, aku bisikkan pada warna biru akan kesungguhan dan komitmen buat hati yang mempercayai.

Sebagaimana hitam itu warna hakikat dan putih itu warna fitrah aku dan kamu, maka membuat keputusan juga harus bulat dan mempercayai pula harus tanpa ragu!



title : hidup ini terajunya adalah akal
size : 1.5'x4.5'
media : oil on plywood

Wednesday, August 20, 2008

dalam laut dapat diduga

Di puncak bukit Universiti. Lewat petang semalam.

"Kasih sayang dan cinta aku untuk kamu adalah untuk kamu. Kasih sayang dan cinta aku untuk dia adalah untuk dia. Tiada istilah perkongsian, kamu atau dia!"

Bayu yang membawa cinta menerpa, melemaskan aku dalam pelukannya, membisikkan keraguanku padanya.

Pada cinta.
Pada dia.

Tuesday, August 19, 2008

ed dan kari II

Yang sebetulnya kari Ed pada malam minggu lepas adalah cubaannya yang terbaik. Sedang aku memuji-muji enak karinya, dia pula memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memasak kari. Anak matanya bercahaya kala dia bercerita, dan hati kecil aku yang sepatutnya membisikkan syukur atas nikmat rezeki ini terdetik,

Jahanam (suapan kali pertama)...

Zin (suapan kali kedua)!

Ya, aku hanya mengenal berus-berus melukis dari pelbagai sumber bulu, dan bukannya kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih atau buah pelaga. Dan ya, aku juga yang menyorong jabat mereka kali pertama. Zin ini membawa kesan bukan-bukan pada Ed. Pertamanya itu masak kari. Keduanya itu memandu kereta manual. Kereta manual?

Petang semalam aku singgah lagi hantar basikalnya yang pancit pula. Telah pun aku isikan angin. Ed menyapa riang dari belakang sebelum daun pintu itu sempat kukuak.

"Art, hari ni bawa kau jalan-jalan ke bukit Universiti!"

Aku gamam. Ed memusing-musing kunci kereta di hujung jari telunjuknya. Mata dan kaki aku seiring menuruti langkahnya ke kereta Iswara putih yang rongak tanpa bumper depan. Aku tak sempat mentertawakan bumpernya, kerana mata aku terlebih dulu menginterpretasikan batang gear Iswara itu sebagai gear kereta manual.

Juga sebelum sempat aku memuji-muji pandainya dia mengimbangkan pedal klac dan minyaknya, dia memuji-muji ketangguhan Zin mengajarnya memandu manual. Bibirnya basah dengan celotehnya berpesan,

"Kalau enjin terhenjut-henjut, kena tekan klac cepat-cepat!" Kali ini hati kecil aku berdetik lagi,

Jahanam (henjut kali pertama)...

Zin (henjut kali kedua)!

Thursday, August 14, 2008

ed dan kari I

Ada dua perkara yang paling ditakuti Ed. Pertamanya itu memandu kereta manual. Keduanya itu masak kari. Lauk karinya tak pernah memenuhi cita rasa aku. Ada kalanya terlalu masam tapi yang selalunya,

Wei! Ni masak kari ke masak lemak?

"Bodoh! Bersyukurlah!"

Masa, keringat, dan kudrat yang diusahakan ke arah memasak kari itu juga bukan kepalang sungguhnya. Resepinya dari pelbagai sumber, bonda, akrab, termasuklah resepi belakang paket serbuk kari sendiri. Persepsinya terhadap lauk kari ini terlalu agung. Ed mengangkat kari lebih mulia daripada lauk ayam masak merah atau masak lemak cili padi, bahkan rendang daging rusa betina putih!

Cubaan-cubaannya juga terlalu kompleks. Kari dengan santan atau tanpa santan? Kalau dengan santan, maka santan kelapa parut atau pati santan kotak? Kalau tanpa santan itu, mungkin dicubanya dengan susu. Susu tepung, susu segar, atau susu rendah lemak? Ini tak termasuk pilihan antara asam jawa atau asam keping. Terlalu kompleks!

Tolong! Aku hanya mahu makan nasi lauk kari!

Malam semalam aku singgah hantar basikalnya yang patah tongkat. Telah pun aku betulkan. Ed menyapa riang bila daun pintu itu kukuak.

"Art, hari ni aku cuba masak kari lagi!"

Aku telan air liur. Bukan terliur tapi bimbang kalau-kalau malam ini aku bakal kelaparan!

Wednesday, August 13, 2008

mabok kepayang

Malam itu kutelusuri
Raudhah tak bertepi
Kelanaku terhenti di pintumu
Gerbang penuh kerahsiaan

Kuselongkari bayang-bayangmu
Firasat yang terhijab
Takdapat kutafsir jisim itu
Lucutkan rupamu, lurutkan sifatmu
Lekas hampiri aku

Mabok kepayang
Nafsu mengerang
Kupanjat tangga langit
Tapi jatuh
Tersangkak bumi

Mabok kepayang
Roh menerjang
Zat jasmani menjerit
Aku mengengsot
Mendekati

Lepaskan aku
Aku ingin segera mendakapmu
Aku ingin lena dipangkumu
Wangian colok gaharu
Tidak mengekang inderaku
Dari menghidu wujudmu

Malam semakin gelita
Kala bayangmu lenyap
Bulan pun gerhana
Rohani jasmaniku,
Akal nafsuku,
Sujud bertemu aku!

Wednesday, August 6, 2008

euphoria di maskara x

"Sepertimana Sindiket Sol-jah, aku tidak mengamalkan seks sejenis dan aku juga suka pada benda-benda cantik. Tapak Sulaiman misalnya."

Entry: eu·pho·ria
Pronunciation: \yü-ˈfȯr-ē-ə\
Function: noun
Etymology: New Latin, from Greek, from euphoros healthy, from eu- + pherein to bear — more at bear
Date: circa 1751
Meaning: a feeling of well-being or elation
— eu·phor·ic \-ˈfȯr-ik, -ˈfär-\ adjective
— eu·phor·i·cal·ly \-i-k(ə-)lē\ adverb

Argh! Perasaan pada malam itu terlalu kompleks untuk aku kupaskan.